TRIP SATU HARI KE PANJAKENT, TAJIKISTAN

Share this article

7 Oktober 2024

Pengangkutan: Kereta/Starex

Di Samarkand, kami ambil tour satu hari ke Seven Lakes, Panjakent, Tajikistan. Memang lebih dekat untuk ke sini dari Samarkand. Biasanya pelancong masuk ke Tajikistan sebab nak merasai pengalaman melalui jalan raya Pamir Mountain. Tapi, selain daripada pengalaman melalui Pamir Mountain ni, Seven Lakes di Panjakent pun tak kurang menariknya.

Dapat juga merasai pengalaman naik gunung untuk menikmati pemandangan tujuh tasik di Fann Mountain, dan sangat sesuai untuk mereka yang tak punya masa yang panjang tapi nak merasai suasana yang lain daripada yang lain.

Tour ni cousin yang tolong uruskan. Aku memang rekemen kalau sesiapa yang rancang nak duduk lama sikit di Samarkand, supaya cari tour ke Panjakent, Tajikistan. Kompleks sempadan antara dua daerah di dua negara ni dibuka semula tahun 2018 jadi memang mudah nak ke Fann Mountain dari Samarkand.

Tour ni memang recommended sangat bagi korang yang memang minat alam semula jadi. Walaupun agak mahal tapi berbaloi sebenarnya. Lagi ramai bolehlah share cost sebenarnya. Tapi sebab berempat, harga satu kepala jadi USD80. Masa nak bayar memang berdebar-debar, tapi bila dah dalam perjalanan ke tasik yang pertama je, faham kenapa harga dia letak sampai macam tu sekali. So, aku nasihatkan pergilah ramai-ramai atau tanya tour company kalau mereka ada bawa small group ke Seven Lakes, supaya taklah terlalu mahal membayar.

Driver kata jam 7am dia akan datang ambil kami di hotel B&B Emir. Memang kena awal pagi sebab perjalanan ke tujuh-tujuh tasik di kawasan pergunungan memang panjang.

Peringatan buat semua. Bila masuk musim luruh, aka bulan 10, memang hotel-hotel di negara Stans ni akan naik harga sebab autumn/fall dikira peak season juga. Ramai orang ke sini sebab nak experience musim luruh. Nak tengok daun-daun bertukar warna.

Untuk Malaysians, kita tak perlu visa untuk masuk ke Tajikistan dan boleh tinggal di Tajikistan percuma sampai 30 hari.

Kalau yang nak adventure, tak perlu ambil service kereta ke kompleks sempadan. Korang boleh aje ambil #41 marshrutka (macam van) di Kaftarkhona Bus Station (tambang paling murah). Ataupun boleh aje ambil Yandex sama ada dari hotel atau dari Registan Square. Bergantung kepada bajet masing-masing.

Perjalanan ke sempadan antara Uzbekistan dengan Tajikistan ambil masa dalam 20 hingga 40 minit, bergantung kepada keadaan lalu lintas. Driver Uzbek, Umet, tinggalkan kami di border, untuk kami masuk sendiri ke Tajikistan. Dia akan ambil kami semula di border sebelah Uzbek dalam jam 5 petang.

Sebenarnya mudah sangat nak melintas sempadan di kedua-dua negara ni. Macam tak ada orang yang jaga. Beg kami tak diperiksa langsung. Jalan saja. Tak tahulah sebab awal pagi atau apa. Terus jalan sampai ke pejabat imigresen untuk dapatkan chop keluar dari Uzbekistan. Cuma bersedia dengan penduduk tempatan yang memang tak suka beratur tu.

Bertabahlah wahai pengembara!

Dari sempadan Uzbekistan, kami terus jalan kaki ke sempadan Tajikistan pula dan melalui proses yang sama di sebelah sana. Di kompleks Tajikistan ada money changer tapi tour guide dah beritahu tukar saja di pasar di Panjakent sebab nanti rate lebih cantik. Susah nak cari money changer di Uzbekistan untuk matawang Tajikistan, jadi lebih baik tukar duit USD di Tajikistan saja.

Lepas immigration process, driver dan guide sebelah Tajikistan dah menunggu. Kami naik Hyundai Starex. Dah macam 4×4 dah Starex ni, semua tempat boleh redah.

Pit stop pertama,bazar sebab nak tukar duit. Guna duit USD. Tak banyak beza antara currency Uzbekistan Sum dengan Tajikistan Somoni. Tapi kos mungkin tinggi sikit di Panjakent berbanding Samarkand.

Bazar yang kami singgah tu tak besar sangat, tapi yang aku perasan ramai peniaga wanita di sini dan keadaan agak kelam kabut sedikit sebab mereka berniaga di tepi jalan besar yang sudah sememangnya sibuk dengan kenderaan. Dan berbanding di Uzbekistan, di sini memang lebih havoc sikit. Tapi, orangnya tetap baik-baik dan mereka nampaknya dah biasa dengan pelancong asing.

Kami tak dapat nak explore bazar ni sangat sebab pemandu pelancong mahu kami bersegera buat pertukaran wang sum Tajikistan. Ada satu pengurup wang di celah-celah kedai di sini. Kalau ditanya balik di mana lokasinya memang aku dah tak tahu.

Kami teruskan perjalan ke Fann Mountain untuk ke Seven Lakes. Ketujuh-tujuh tasik ni berada di Pergunungan Fann, di Lembah Sungai Shing. Masuk dalam beberapa km dari pintu masuk kawasan pergunungan, jalan tar pun habis. Seeloknya bawa bekal untuk perjalanan ni sebab jalan memang berliku dan kalau perut kosong boleh mabuk. Nasib baik aku dah telan ubat mabuk sebiji. Makan crisp, pisang dengan buah plum yang kami bawa.

Hyundai Starex pun bertukar jadi 4×4 terus. Jalan macam nak kena lontar kiri kanan. Terhuyung hayang. Tapi Starex terus mendaki dengan yakin. Apa ada hal. Dari satu tasik ke satu tasik, semakin tinggi kitaorang mendaki. Semakin sempit jalan, semakin teruk hayunnya. Jalan kat pergunungan ni memang mencabar. Kalau musim sejuk ada kawasan yang terputus hubungan terus, 4X4 biasa memang tak boleh masuk. Sepanjang perjalanan tu ada juga kami nampak beberapa kenderaan berat bekas Soviet yang masih digunakan lagi.

Tasik pertama yang kami singgah namanya Nezhigon, atau bulu mata, sebab bentuknya yang berlekuk macam bulu mata. Airnya hijau pirus berkilau bila kena cahaya matahari. Katanya tasik-tasik ni terbentuk akibat gempa bumi berjuta tahun lalu dan laluan air bawah tanah.

Dari tasik pertama, kita ke tasik kedua namanya Soya. Nama tasik-tasik kat sini memang simple aje. Soya tu bermaksud bayang, gelap sebab airnya agak gelap. Simple kan dorang namakan tasik ni. So matter-of-factly. Begitu keadaan, begitulah namanya.

Terus mendaki ke Tasik ketiga, keempat Nofin, kelima Khurdak, keenam Marguzor (tasik terbesar) dan ke Hazorchashma (paling atas sekali)

Kebanyakan van pelancong akan berhentikan kenderaan dorang agak jauh sikit dari tasik ketujuh ni dan biasanya pelancong akan hiking untuk ke tasik Hazorchashma tapi our driver, si Bobo dengan confident drive sampai ke padang dan hampir ke gigi tasik. Memang hebat!

Ni kalau aku yang hiking masuk mungkin makan masa sejam untuk 300 meter ke dalam tu, sebab tu driver kata lebih baik dia drive. Terasa macam naik kereta kuda zaman koboi dulu (berangan tak salah, walaupun tak hidup zaman koboi dan tak pernah naik kuda atau kereta kuda seumur hidup)

Pemandangan di setiap tasik memang susah nak diucap. Pusing sini lawa, pusing sana cantik. Kamera aje yang tak cantik. Alhamdulillah hari tu pun panas dan matahari memancar-mancar. Guide kata kalau datang hari sebelumnya, mungkin tak dapat naik sebab hujan.

Walaupun cahaya matahari memancar, tapi suhu di sini tetap rendah. Jadi pastikan korang kalau nak ke sini, pakai baju yang sesuai dan kasut yang sesuai. Kalau kami alhamdulillah dapat driver yang terus ke gigi tasik, takut driver korang ambil tak nak masuk dan korang terpaksa hiking ke dalam. Bawak sekali spek hitam dan topi. Aku yang gelap ni bertambah gelap sebab sunburn.

But it’s okay, I am happy with my melanin (cakap untuk happykan diri sendiri).

Time turun dari pergunungan memang semua dah kepenatan, macamlah hiking berkm km jauhnya. Padahal naik turun Starex, posing ambil gambar aje. Tapi semua ketiduran termasuklah guide.

Kami stop makan lewat tengah hari dulu kemudian singgah masjid untuk solat jama’ zohor dan asar. Bobo hantar balik ke sempadan, kami melintas sempadan balik ke Samarkand, Uzbekistan. Kembali mengulangi proses melintas sempadan sekali lagi. Umet dah menunggu dan hantar terus balik ke hotel.

Sebenarnya satu hari tak cukup untuk explore Panjakent sungguh2 tapi boleh lah kalau nak buat introduction pada Tajikistan. Mungkin lepas ni boleh terus explore sampai Dushanbe pulak.

Oh, btw ‘Panje’ bermaksud lima kent tu macam tempat. Macam di Kazakhstan ada Shimkent, di Uzbekistan ada Tashkent, maka di Tajikistan ada Panjakent. Ada lagi kent kent tempat lain, cuma aku tak pasti Kent, England tu termasuk dalam senarai ni ke tak.

Sebelum pulang ke sempadan, kami minta singgah sebentar di masjid sebab nak solat jamak takhir. Rasanya kalau tak diminta, pemandu ni tak nak berhenti agaknya.

Masjid tua yang berdekatan dengan bazar kami singgah awal pagi tadi tidak berapa mesra muslimah. Macam biasa di sini, tempat wuduk di bangunan luar, jadi kita perlu ambil wuduk dan berjalan ke bangunan solat. Dan wanita pula tiada tempat khusus untuk bersolat (i.e ruangan solat wanita) dan kami berdua solat di baranda saja. Selesai solat baru kami teruskan perjalanan ke sempadan.

Perjalanan masuk ke sempadan semula pun smooth saja, cuma beratur agak panjang di imigresen Tajikistan. Perjalanan balik tu agak ramai pula orang yang masuk kembali ke Samarkand. Kami berjalan laju juga sebab pemandu dah tunggu nak bawa kami pulang ke hotel.

You might also enjoy