MELINTAS SEMPADAN JALAN DARAT KAZAKHSTAN – UZBEKISTAN

Share this article

23 – 25 September 2024

Pengangkutan: e-hailing.

Kami pilih untuk ke Tashkent, Uzbekistan dari Shymkent, Kazakhstan.

Sehari sebelum memulakan perjalanan, kami tukar duit tenge Kazakhstan kepada sum Uzbekistan. Matawang sum lagi rendah berbanding tenge. Dari pembacaan ada yang kata seeloknya guna tunai sum ataupun matawang USD di Uzbekistan kerana biasanya hotel atau kedai lebih suka transaksi dalam USD atau tunai sum kerana penggunaan kad akan dikenakan bayaran cukai.

Kalau nak tukar duit Uzbekistan di Shymkent, ada deretan pengurup wang tak jauh dari Central Park. Tukarannya tak berapa menarik tapi bolehlah untuk persendiaan apabila masuk ke Uzbekistan.

Kami menyeberang sempadan Kazakhstan ke Uzbekistan melalui jalan darat. Lepas tolak kali bahagi, dan sebab kami berempat, kami ambil keputusan untuk ke sempadan dengan Yandex Go saja. Kos pun dalam kurang dari RM100 satu kereta. Perjalanan kira-kira 120km ke Selatan dari Shymkent dalam dua jam menaiki kereta.

Kami seberang di Zhibek Joly di bahagian Kazakhstan dan masuk ke Uzbekistan di Chernayevka. Proses menyeberang ni tak susah mana tetapi terpaksa melalui sekurang-kurangnya empat check point dan agak letih juga tarik dan pikul barang, dah macam berlumba jalan kaki dengan penduduk di sana yang nak seberang sempadan juga sambil bawa barang-barang dagangan mereka.

Macam pekan sempadan di negara-negara lain, di sini juga sangat sibuk dengan mereka yang keluar masuk buat perniagaan ‘import-export’ secara kecil-kecilan. Ada perkhidmatan porter juga untuk tolong angkut barang ke sempadan dan ada juga perkhidmatan tolak/sorong kerusi roda bagi sesiapa yang memerlukan.

Terselit dicelah-celah orang tempatan antara kazakhs dan uzbek tu ada juga terselit empat orang Malaysia kat situ. Nak melintas sempadan ni, sama juga peraturannya di mana-mana pun. Jangan bawa barang terlarang dan pastikan duit USD tak melebihi 10k sebab mereka akan tanya dan check.

Beg akan discan, pasport ditengok lepas tu dichop. Jangan bimbang, ramai travelers Malaysia yang dah land cross border kat sini. Dorang kenal orang Malaysia.

Bila dah sampai sempadan Uzbekistan kat luar bangunan tu ada ramai ulat teksi menunggu nak bawa ke Tashkent. Terpulang pada masing-masing, nak ambil teksi atau tak. Ada juga orang offer nak tukar duit Uzbekistan. Nak beli sim kad kat sini pun boleh.

Sebenarnya boleh saja nak buat di sini tapi kami dah tukar duit siap-siap sebelum ke sempadan dan tak perlukan sim tempatan sebab aku memang dari awal dah roaming.

Kami order Yandex terus sebab malas nak tawar menawar dengan teksi. Korang kalau banyak masa, boleh compare price Yandex di apps dengan harga yang ulat teksi offer. Kalau lebih murah dan lebih kurang boleh aje ambil teksi terus dari situ.

Bandar Tashkent ni kira-kira 30 minit dari sempadan dan memang besar. Tapi sudah tentu Almaty lagi besar dan moden dari Tashkent. Kami tak lama kat Tashkent jadi tak dapat nak betul-betul explore bandar ni.

Kami duduk di hotel Retro Palace. Hotel pun dalam 10 minit dari stesen Metro Oybek. OK la hotelnya, walaupun harga bagi aku agak mahal jugaklah dalam RM130 semalam campur tax. Kat Uzbekistan ni better korang sediakan duit sum atau USD untuk bayar hotel sebab dorang tak berapa suka bayaran guna kad. Kami tak cukup duit kecil USD jadi dia bagi diskaun sikit. Alhamdulillah.

Lepas letak beg, solat, kami ambil keputusan nak explore sikit bandar Tashkent ni. Travellers yang lain pernah bagi tip, stesen underground metro memang unik. Bayaran tiket pun dalam 1400 sum ke mana-mana stesen. Tak sampai seringgit pun duit kita. Train dia pun ada yang model lama zaman Soviet dulu dan ada yang baru. Memang penuh time rush hours.

Boleh guna kad debit masing-masing untuk bayar tiket atau beli di kaunter dan mesin tiket. Jika guna kad debit, akan ada beberapa sen ditolak sebagai service charge. Aku guna aje Kad Visa (fizikal) Touch & Go dengan kad Wise untuk kami berdua.

Lepas explore metro station, kami ke Besh Qozon pilaf centre. Katanya kat sinilah kalau nak try pilaf sedap di Uzbekistan. Restoran ni dah macam tourist attraction dan dorang memang cuma offer 4 jenis pilaf aje, tradisional, pedas, kenduri kahwin dengan samarkand.

Kami cuba yang tradisional dengan pedas. Bolehlah tapi masih lagi tak berapa celus tekak aku hahaha.

Banyak tempat menarik sebenarnya di Tashkent ni, tapi hari kedua kami pilih ke Chorsu Bazaar. Seronok datang bazaar cuma cuaca memang terik betul dan bazaar dia sangatlah besar.

Memang keluar aje stesen Chorsu tu… nah kau! Bersusun gerai jual buah dengan kekacang. Berpinau mata tengok buah-buahan kat sini. Bulat-bulat, gebu-gebu… mesti juicy. Kalau korang suka jus delima, belilah kat Central Asia ni. Memang manis. Kitaorang pulak akan cari jus ceri.

Chorsu bazaar ni memang dah lama. Main pasar dia terletak dalam kubah yang besar. Kat situ memang tempat menjual daging dan tenusu macam keju. Bahagian atas pula untuk buah-buahan kering dan kekacang. Korang yang minat kacang walnut, pecan, almond dan semua jenis kacang mahal memang akan rambang mata kat sini. Yang suka buah-buahan kering macam kiwi kering tu pun mesti geram je.

Bahagian luar pasar ni pulak tempat jual-jualan baju, ketayap, kasut etc, buah-buahan segar dengan sayuran. Tomato dia besar-besar bulat, juicy. Pelancong ntah dari mana ntah, beli tomato besar penumbuk, makan macam tu aje. Sedap pulak aku tengok.

Selain bazaar, korang kalau nak lepak, memang banyak taman kat sini. Semuanya accessible naik metro. Metro ni ada 4 line: merah, biru, hijau dengan putih.

Aku duduk kat line biru, dekat aje dengan metro ke Stesen Kereta api (Utara). Kalau malas nak naik metro, boleh aje pilih naik Yandex, tak adalah mahal mana pun. Boleh pilih yang ekonomi, jadi dapatlah Yandex kereta saiz kancil.

You might also enjoy