26-29 September 2024
Pagi hari ketiga di Tashkent, kami dah bersiap-siap nak ke destinasi seterusnya di Uzbekistan, Buxoro atau Bukhara. Alhamdulillah booking hotel Retro ni sekali dengan sarapan jadi, jam 7 pagi dah turun untuk sarapan.
Aku suka sarapan kat hotel ni sebab hidangan untuk sarapan pun banyak. Tapi yang paling aku suka sejenis bijirin buckwheat dengan susu. Ala-ala oat dengan susu. Ini antara sarapan tradisional di Uzbekistan selain daripada berjenis keju, roti, pastri, sosej, zaitun dan buah.
Aku makan 2 mangkuk terus sebab yang lain macam tekak aku tak berapa nak suka. Nak buat senang aje, buckwheat, atau rolled oats, susu, gula atau madu dengan sedikit butter masa dihidang. Atau korang search aje resepi Grechkali kasha.
Macam biasa, kami ambil Yandex ke stesen kereta api. Untuk negara di Asia Tengah ni, aplikasi e-hailing paling terkenal memang Yandex Go, jadi korang download aje dan link dengan kad debit/kredit untuk payment. Aku link dengan kad Bigpay aje.
Kami ambil train jam 9.13 dan ini slow train bukan jenis Afrosiyob. Jadi perjalanan agak panjang, selama 7 jam. Kalau korang nak naik kereta api dari Tashkent ke Bukhara, boleh cuba Afrosiyob sebab lagi cepat, dalam 3 jam dah sampai.
Kami sengaja keluar awal dari Tashkent sebab nak ambil peluang untuk solat Jumaat di Bukhara nanti.









Cabaran yang pertama untuk kitaorang baru bermula. Dalam perjalanan tu, tiba-tiba masuk notification kata hotel yang kami book tu ada masalah ‘canalization’.
Dah… apa pulak canalization ni? Tak pernah dengar. Cuba reasoning sendiri dan anggap bahawa hotel ada masalah pembentungan.
Bukhara memang ada masalah air sebab kedudukan muka bumi dia. Lagilah sekarang ni pelancong semakin ramai, jadi hotel memang tumbuh macam cendawan lepas hujan. Jadi permintaan air memang meningkat.
Yang menyebabkan kekurangan air bersih makin rumit adalah pertanian kat sini guna banyak sangat baja nak bagi tanah subur, jadi kandungan salin dalam air bawah tanah pun meningkat.
Dalam keadaan internet yang macam biskut tu, kitaorang akhirnya berjaya book hotel lain. Harga memang agak mahal juga, kedudukan pun jauh sikit dari tempat tourists spot tapi review sangat baik.
Hotel Qamar yang kami pilih, macam kebanyakan hotel kat Bukhara, family owned and run. So, layanan memang tip top.
Alhamdulillah permintaan untuk bilik kat bawah dipenuhi. Tak larat ooo… kalau nak bawak beg naik tangga ke tingkat atas sebab kebanyakan hotel kat sini tak ada lif, kecuali hotel yang mahal-mahal.
Banyak pilihan kediaman kalau ke Bukhara, ada yang mahal dan ada yang murah, ikut bajet masing-masing. Yang paling dekat mestilah kat old city tu, tapi kena ingat, teksi atau e-hailing tak dibenarkan masuk ke dalam kawasan old city jadi korang ada option sama ada nak tarik/pikul beg masing-masing atau naik buggy (dikenakan bayaran sudah tentu). Tapi kebanyakannya pelancong mat salleh ni pikul aje beg masing-masing.
Cuma kalau boleh jangan pilih guesthouse sebab kadang-kadang ni guesthouse susah nak cari hahaha. Tapi kalau dapat driver yang prihatin, bagi aje nombor telefon guesthouse tu kat dorang dan dorang akan call untuk cari alamat yang betul.
Kami tiba di stesen kereta api Bukhara tepat 4.24 petang. Macam biasa, kami akan pilih nak naik Yandex, walaupun ulat teksi kat luar stesen tu ramai sungguh. Tak macam kat tempat lain, ulat teksi kat sini agak agresif, sampai nak tengok phone korang kalau buat order lalu Yandex Go. Driver e-hailing pun tak nak ambil penumpang dekat-dekat dengan stesen kereta api, takut dengan driver teksi kat situ.
Jadi, korang kalau ke Bukhara menaiki kereta api, jalan jauh sikit dari stesen ke stesen bas kat seberang jalan. Kalau boleh jalan jauh lagi sikit kalau nak ambil Yandex. Tolak dengan baik kalau ada driver teksi yang approach korang nak offer teksi. Kecuali kalau korang agree dengan harga teksi tu dan ia lebih murah dari Yandex.
Cuma kebanyakan harga dorang lagi tinggi dan yang takut, sampai destinasi tukar harga lain pulak.
Sampai aje kat Hotel Qamar terus solat jama’ zohor dan asar dan dah teruja sangat nak jalan-jalan ke Old City. Dari hotel jalan kaki dalam 2 km ke Old City.
Waktu lewat petang dengan malam di Old City memang cantik dengan lampu-lampu kuning yang menghalakan sinaran ke bangunan-bangunan lama. Memang vibes macam kisah 1001 malam.
Kami sengaja cari restoran kat situ (yang mahal berdentam dentum) untuk makan malam. Sesekali nak splurge apa salahnya kalau dari Kazakhstan sampai Uzbekistan asyik makan Camca (samsa/samosa) aje hahaha. Lagipun dah save duit pagi tadi sebab sarapan di hotel aje.
Lepak sana sini sekejap, kemudian jalan balik. Kat sini cuma jalan utama yang banyak hotel mewah aje yang berlampu ye, kawasan perumahan lain agak gelap. Tapi, alhamdulillah selamat aje walaupun dua orang ni jalan macam askar pencen tengah berkawad.
Esok harinya, pagi-pagi lagi dah sarapan. Owner hotel memang baik hati. Mungkin tengok kitaorang ni orang Asia Tenggara agaknya, sampai ajar aku sarapan macam orang tempatan. Nampak aku suka buah tin, dia bagi lagi suruh makan hahaha.
Lepas sarapan dah berkawad balik ke Old City. Pagi-pagi memang orang tak ramai jadi memang seronok berjalan kat sini, tenang-tenang aje. Dari satu madrasah, masjid, hamam, ambil gambar di merata ceruk. Kat sini pun banyak orang tempatan jual barangan souvenirs. Macam-macam ada.
Dari karpet, barangan tembaga, kayu, baju tradisional, semua ada. Memang warna warni dan menarik sangat.



Macam biasa, cuci mata kat sini memang best. Kami jalan-jalan sekitar sini sebab nak tunggu masuk waktu solat Jumaat. Masjid yang terkenal kat sini Masjid Kalon. Nak masuk kena bayar 15,000 sum. Boleh bayar guna card.
Saja tunggu sampai masuk waktu, duduk berehat bawah pokok yang usianya dah hampir 1,000 tahun. Sebenarnya kalau masuk waktu solat, pengunjung akan disuruh keluar, tapi yang nak bersolat boleh aje solat kat dalam. Dan kalau nak bersolat sebenarnya free aje. Ada entrance lain kat belakang yang korang boleh masuk. Tapi kami anggap entrance fee kami ni sedekah sebab duit tu digunakan untuk restoration masjid.
Tempat wuduk dengan toilet terletak di bahagian belakang. Sebenarnya ada juga tempat wuduk di bahagian perempuan tapi masa aku ke sana, tengah tutup untuk dibersihkan, jadi masuk di bahagian lelaki tapi dipisahkan dengan partition. Nak buang air pun sebenarnya toilet sangat-sangat bersih. Mungkin sebab pergi dah nak solat Jumaat agaknya.
Untuk solat pula, bahagian wanita ada di sebelah kanan bangunan. Pun tengah dalam restoration. Ye lah bangunan dah dekat 1,000 tahun pasti perlu dibaik pulih. Berkenalan pula dengan satu pakcik ni yang tengah buat kerja. Dia tanya dari mana, aku jawab Malaysia. Seronok dia sebab dia kata dia pernah kerja 2 tahun di Malaysia. Tapi dah lama sangat, masa tu pembinaan Masjid Shah Alam, tak silap aku dia cakap. Tapi dia masih ingat “Apa khabar” dengan “Dah makan” hahaha.
Dalam tempat solat pulak bertemu dengan dua makcik Pakistan tapi dah jadi PR di UK. Berborakla dengan makcik-makcik pula (alasan tutup Al-Quran, kan… memang tak senonoh, dahlah baca Kahfi separuh je). Dia kata anak lelaki dia kahwin dengan orang Malaysia. Aku tak adalah tanya lebih-lebih. Saja melancong ke Bukhara.
Solat kat sini khutbahnya pendek saja. Yang panjang tu tazkirah. Selesai solat, kitaorang jalan-jalan lagi ke Old City sebelum nak jalan balik ke hotel. Sebelum sampai hotel sempat singgah pula di satu-satunya mall kat bandar Bukhara ni. Macam kat Vientianne juga, mall-nya tak adalah apa sangat. Di bahagian bawah pula ada kedai-kedai macam pasar. Kami beli buah-buahan kat sini. Tengah jalan-jalan tu, boleh pula black-out hahahaha.. teruslah keluar dan jalan kaki balik.
Singgah kat kedai makan dekat dengan hotel. Rupanya kami pelanggan terakhir hari tu. Kedai nak tutup awal sebab hari Jumaat, mungkin. Lepas makan lewat petang tu, dan dah sedia kudap-kudap, kitaorang just rest aje di hotel.








