BUKHARA – TEMPAT PALING SESUAI UNTUK REFLEK DIRI

Share this article

Bukhara

Kalau ikutkan Sejarah Bukhara atau Buxoro, bandar ni sudah berusia beribu-ribu tahun dan banyak kali dirampas dan diperintah. Lagilah sebab kedudukan Bukhara ni di tengah-tengah laluan sutera, jadi bandar ni memang hot spot.

Cuma masa dalam pemerintahan Islam, Bukhara semakin makmur. Banyak masjid dan madrasah dibina di sini. Senibina Asia Tengah diserikan lagi dengan jubin dan kaligrafi Arab yang berbunga atau geometri memang jadikan Bukhara pusat architecture yang sangat unik dan cantik.

Bukan saja penduduk Bukhara dulu peluk agama Islam, mereka pun serap juga pengaruh Arab dalam kehidupan. Antaranya reka bentuk rumah kotak dengan atap rata (rasanya memang sesuai dengan keadaan cuaca kering di sini), baju tradisional, alatan muzik, pinggan seramik dan banyak lagi.

Jadi, tak hairanlah Old City Bukhara ni jadi Tapak Warisan Dunia Unesco. Kesenian tradisi lama memang dikekalkan, bangunan lama dibaik pulih, walaupun ada yang dah semakin rosak dek elemen cuaca.

Tapi, kalau rasa nak absorb vibe masyarakat tempatan zaman sekarang, bolehlah ke Buxoro Markaziy bozori. Tak jauh sangat dari Old City sebenarnya. Kami memang suka pergi market, bukan saja sebab barang-barang di market biasanya lebih murah, tapi kat market ni, macam-macam boleh tengok.

Macam di Chorsu Bazaar Tashkent juga, pasar kat sini pun dibahagikan kepada beberapa bahagian. Ada bahagian basah, bahagian kering, barangan rumah, beg-beg dan aksesori, pakaian dan macam-macam lagilah.

Pasar ni memang besar, siap ada mesin ATM beratur. Nak keluarkan duit, walaupun keadaan agak huru hara tapi di Bukhara ni selamat aje. Luar dalam bangunan ada aje orang berjualan. Kalau kat tepi jalan tu pun banyak restoran atau warung jual akanan Uzbekistan. Cuma itulah makanan Uzbek saja yang ada.

Buat aku rasa bersyukur sangat, kita kat Malaysia berbilang bangsa, jadi bukan aje kita kongsi negara kita duduk, kita juga kongsi makanan bangsa-bangsa lain. Jadi taklah taste bud kita monotonous aje. Lidah kita jadi biasa dengan makanan pedas, masam, masin, manis, berlemak, berempah etc.

Tapi, kalau korang yang jenis suka makanan Uzbek atau Asia Tengah, boleh aje cuba di sini. Kami suka Camca (samosa) dan di setiap wilayah, doh rotinya ada beza. Ada yang flaky, ada yang gebu-gebas dan ada yang liat sikit.

Lepas berpusing-pusing kat pasar kami patah balik ke hala ke Registan tapi belok ke Bolo Hauz, antara masjid yang cantik di sini. Masjid ni dibina pada 1712 dan dianggap masjid paling muda berbanding bangunan masjid dan madrasah di Old City.

Apa yang menarik kat sini selain daripada senibinanya, ada menara azan dan kolam berbentuk heksagon. Kalau dijaga bersih kolam ni mesti cantik, sebab boleh reflek binaan masjid kalau berdiri bertentangan dengan kolam dan masjid. Rasanya kolam ni digunakan untuk ambil wuduk zaman dulu.

Dan kolam ni lah yang beri nama bangunan masjid. Bolo-hauz kalau diterjemah dari bahasa Uzbek bermaksuk kolam kanak-kanak (children pool).

Masjid ni rasanya masih beroperasi terutama untuk solat Jumaat. Sebenarnya ruang solat dan kawasan di luar tidaklah besar sangat. Biasanya pelancong ke sini sebab nak admire ukiran bumbung, dan tiang-tiang Uzbek. Kalau di bahagian dalam pula penuh dengan kaligrafi dan hiasan geometri di dinding dan bumbung. Ada penjaga akan jaga adab pelancong. Kena berpakaian sopan. Yang perempuan kalau boleh perlu tutup kepala.

Tapi bagi yang beragama Islam, kalau korang nak solat kat dalam ni, memang dibenarkan. Pakcik yang jaga siap ajak kami solat sunat tapi memandang aku tak ada wuduk, aku tolak tapi boleh aje kalau nak solat, dia tak marah. Kita pun bolehlah minta izin.

Dah seronok ambil gambar di situ, kami ke Ark Fortress pula. Tak silap bayaran masuk dia dalam 40,000 sum. Boleh bayar pakai kad. Biasalah kubu jadi, kedudukannya kena tinggi dan kalau tinggi, maknanya korang kena panjat bukit sikit.

Kalau ke sini dalam musim panas, pastikan korang well prepared. Kasut pakailah sport shoes yang selesa sebab banyak berjalan. Banyak akan keluar masuk muzium. Dan sebab dah bayar entry fee lebih baik explore betul-betul kan? Pakai topi dengan shades sebab matahari memang memancar-mancar bila brejalan di luar. Dapat tengok luasnya bandar lama Bukhara dari sini.

Take your time bila jalan-jalan di sini. Kalau lapar, cari makan, banyak tempat makan juga sebenarnya. Dah penat jalan, duduk sekejap, people watching dan admire bangunan-bangunan lama dari jauh. Cuba imagine macam mana sibuknya bandar ni masa zaman kegemilangannya. Mesti seronok agaknya.

Kecantikan bandar lama Bukhara ni bukan terletak pada bandar itu sendiri tapi lebih kepada bangunan-bangunan yang ada di situ. Dibina dengan utuh sampai tahan beribu tahun, dijaga rapi, dibaik pulih ikut pada binaan asal hanya nak bagi generasi zaman sekarang lihat dan hargai.

Bukhara ni juga tempat lahir Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Ju’fiy al-Bukhari, atau Imam Al-bukhari yang hafaz hadis-hadis nabi sehingga Sahih Bukhari dibukukan. Banyak jasa beliau pada pengetahuan Islam kini.

Telah berkata syeikh al-Islam ibn Taimiyyah rahimahullah:

“Tidak ada di bawah permukaan langit ini kitab yang lebih sahih selepas al-Qur’an daripada sahih al-Bukhari dan Muslim”.

Tapi sayang, sebab kekuatan iman, pemerintah pula tidak suka, ada kisah yang menyebabkan dia dihalau keluar dari Bukhara dan bermastautin di Samarkand.Sedangkan Bukhara inilah tanah airnya.

Telah berkata Abdul Quddus bin Abd al-Jabbar al-Samarqandi:

Pada satu malam, aku terdengar beliau (imam al-Bukhari) berdoa setelah selesai solat malam, “Ya Allah dunia telah sempit bagiku, sedangkan ianya luas, maka Kau cabutlah nyawaku wahai Allah”.

Tidak sampai sebulan selepas itu, Allah SWT telah memperkenankan doanya.

Akhirnya beliau disemadikan di Samarkand juga. Makam beliau terletak kampung Khartang, daerah Payaryk, wilayah Samarkand. Tapi, sekarang belum boleh dilawat sebab dalam proses pembaikan.

Samarkand juga, satu destinasi yang kami pergi di Uzbekistan, tapi sebelum ke sana, kami singgah ke Khiva dulu.

You might also enjoy