VIENTIANE, LAOS

Share this article

24 -28 Ogos 2024

Kenderaan: kereta api 🚂

Kami ambil kereta api malam dari Bangkok untuk ke Vientiane. Tiket pun beli dari 12go.com dan sekali lagi dapat duduk berasingan. Tapi Alhamdulillah, ada orang nak tukar tempat duduk dengan aku jadi boleh duduk sama berdua. Tiket untuk sleepers memang dah habis. Terpaksa duduk sepanjang perjalanan selama lebih kurang 12 jam.

Kami sengaja pergi awal ke Stesen Kereta Api Krung Thep Aphiwat sebab tak nak terkandas disebabkan keadaan kesesakan jalan raya di Bangkok. Stesen kereta api ni besar dan selesa. Banyak kedai-kedai yang jual kudap-kudapan. Ada juga beberapa pilihan halal, jadi tak ada masalah sangat di sini.

Surau yang disediakan untuk penumpang Islam pun besar. Disebabkan ia masih baru, jadi tak berapa selesa lagi. Dan selama aku berada di stesen kereta api ni, aku ajelah satu-satu muslimah yang bersolat (waktu itu) di surau baru tu. Sunyi aje.

Satu lagi perkhidmatan yang aku rasa sangat-sangat bagus di stesen ni adalah, banyak tempat charger handphone disediakan. Dan yang lagi seronok aku tengok, mereka biasa saja tinggalkan handphone masing-masing di situ sementara tungguh bateri penuh. Tak takut dicuri. Tapi, walaupun begitu, tetap juga pasang mata atas harta benda masing-masing.

Kereta api terus ke Vientiane baru aje diperkenal. Kalau dulu pengembara kena berhenti di Nong Khai dan sambung naik kereta api di Thanaleng atau terus naik bas dari Friendship Bridge untuk ke Vientiane, tapi sekarang dah tak perlu tukar. Cuma turun untuk chop immigresen di Nong Khai dan naik kereta api terus ke stesen Kamsavath yang baharu.

Kamsavath Train Station ni stesen kereta api yang kedua dibina dan baru aje siap, tak silap tahun 2023. Di sini penumpang turun, isi borang visa on arrival dan melalui imigresen sebelum keluar dari stesen. Aku tengok ada beberapa Chinese selit 10baht dalam pasport dorang tapi aku tak buat, kira tawakal ajelah. Tak naklah tiba-tiba dituduh beri rasuah pulak.

Kat kawasan legar stesen ada servis tukar duit, sim kad telefon dan cafe jual kopi. Buat masa ni tandas memang sangat bersih dan yang penting ada pili air, senang hati walaupun ada bawa botol istinjak sama.

Kami tak tukar duit kip Laos di Malaysia atau Thailand sebab memang susah nak cari duit sana. Jadi kami memang bawa USD dan bila ditukar ke duit kip tu dia… berkepuk-kepuk masuk dalam beg dan poket. Tak tukar banyak dalam 100USD saja dan banyak digunakan untuk bayar hotel dan pengangkutan.

Untuk ke pusat bandar, boleh aje ambil bas awam (bas hijau no 135) dan akan bawa terus ke terminal bas di bandar. Tapi, sebab kitaorang dah kepenatan, seharian dalam kereta api, kami ambil keputusan untuk naik teksi aje. Harga memang mahal dalam 250,000 kip tapi seronok juga sebab kali pertama dapatlah naik kereta elektrik BYD.

Vientiane bagi aku macam bandar Ampang sekitar tahun 80-an. Memang kebelakang. Walaupun ibu negara, tapi tak banyak bangunan tinggi, masih boleh lagi rasa vibe-vibe retro kat sini. Tapi, tetaplah ada mall yang gah. Bolehlah…

Kami duduk di Vientiane Memory Hotel untuk 3 malam. Agak mahal juga tapi itu yang paling affordable yang kitaorang jumpa.

  • Memory Hotel, 88 Chao Anou Road

Kawasan ni kira kawasan pelancongan juga sebab ada banyak hotel di sini. Dari yang murah hinggalah yang agak mahal. Untuk bajet kami, kami pilih Memory Hotel ni tapi hotel ni tak ada lif, jadi kena angkut beg naik ke tingkat 2. Walaupun hotel ni agak old school juga, tapi bilik kami luas dan yang penting, aircond berfungsi dengan baik sebab Laos ni panas!.

Makanan halal di Vientiane ni kena rajin cari. Tapi, alhamdulillah, ada restoran halal yang dekat dengan hotel. Namanya Restoran Nazim. Selesai aje solat jama’ dan qada’ solat Subuh, terus turun cari makan. Sekali lagi harga makanan kat sini memang mahal. Sebab, rasanya dorang memang target untuk tourists.

Kawasan esplanade Sungai Mekong tak jauh sangat dari hotel dan memang meriah kalau waktu malam. Dah macam uptown atau pasar malam di situ. Memang tempat warga Vientiane melepak atau hiburkan hati anak-anak. Kami tak membeli apa pun di Vientiane kecuali minum kopi atau untuk makan saja. Untuk yang suka kopi, boleh cuba Cafe Amazon, kedai ni memang di merata tempat di Vientiane,

Hari kedua dan ketiga, kami jalan-jalan di sini. Walaupun banyak tuk tuk offer nak bawak kitaorang berjalan-jalan sekitar bandar, kami tolak dengan baik. Sebab tempat nak melawat pun banyak wat atau temple aje jadi malaslah. Kitaorang jalan kaki ke mall, atau di taman saja. Sempat juga jalan kaki cari masjid yang berdepan dengan Kedutaan Brunei Darussalam.

Kami ni setakat beli buah, makan kat esplanade tapi tulah kat situ tak ada bangku duduk-duduk nak enjoy pemandangan Sungai Mekong. Tapi nak duduk pun jenuh sebab Vientiane ni panas lit-lit. Akhirnya kitaorang duduk atas batu bawah pokok sambil makan duku. Kalau ke pasar malam tu nak beli ole-ole pun tak seronok sebab susah nak jumpa barang-barang tradisional kat sini. Yang banyaknya barang-barang macam baju, kasut, perhiasan diri dari China. Macam kalau kita jalan-jalan di uptown market. Nak makan pun banyak yang tak halal. Jadi kitaorang memang people watching sambil jalan-jalan aje.

Sebab kat sini panas, badan cepat berpeluh dan sangat perlu untuk membasuh baju. Akhirnya jumpa laundry juga kat sini. Tapi tak ada self service laundry. Harga 1kg dalam 35,000 kip. Kebanyakannya family business. Hantar pagi, petang dah boleh ambil. Siap lipat.

Memang tak banyak aktiviti menarik yang kitaorang buat kat sini, cuma nak kenal bandar Vientiane ni macam mana. Lagipun bulan Oktober (2024), Vientiane jadi host untuk Asean Summit, nak tahu juga apa persediaan dorang nak sambut delegates dari luar.

Malam terakhir kat sini pun kitaorang terserempak dengan sekumpulan penjawat awam Malaysia dari Home Ministry dan PMO sebab nak recce keadaan di Vientiane dan persiapan Laos.

Cukup 3 malam kitaorang kat sini, kami dah nak gerak ke Vientiane Railway Station untuk naik kereta api laju ke Luang Prabang. Vientiane Railway Station ni bukan yang Khamsavath tu ye. Kami ambil transfer dari Hotel ke stesen kereta api ni.

Vientiane Railway Station ni pun besar juga. Dan macam biasa, nak masuk kena melalui metal scan dan beg pun kena scan juga.

You might also enjoy