SINGGAH SEHARI DI LANZHOU

Share this article

9 September 2024

Kita merancang, Allah juga merancang dan Allah adalah sebaik-baik Perancang.

Apabila kita mengembara ni, terutama bila secara DIY, kita memang sentiasa perlu bersikap terbuka dengan rancangan yang terpaksa ditukar atau perjalanan ditunda.

Kami memang kesuntukan masa di China. Dengan hanya 15 hari free visa, kami kena pastikan kami keluar dari China ketika atau sebelum visa percuma ini tamat. Kami cuma ada 4, 5 hari saja lagi sebelum perlu keluar dari negara ini, sedangkan perjalanan untuk ke sempadan masih jauh.

Rancangan asalnya dari Xi’an, kami ke Urumqi kemudian menaiki kereta api ke Yining, sambung ke Altynkol dan seterusnya masuk ke Kazakhstan. Tapi disebabkan kekangan masa, kami tak dapat buat macam tu. Perjalanan dari Xi’an ke Urumqi dengan kereta api pun dah makan masa dua hari.

Akhirnya kami buat keputusan untuk bahagi dua perjalanan kami. Kami berhenti di Lanzhou semalam untuk rehat kemudian baru sambung perjalanan ke Urumqi dan dari Ueumqi kami terpaksa terbang masuk ke Almaty, Kazakhstan.

Tapi kalau korang nak buat perjalanan darat dari China ke Kazakhstan, korang boleh ikut laluan yang kami sebutkan tadi, tapi pastikan jangan overstay di China sebab kerajaan mereka sangat strict.

Jam 6.30 pagi kami dah sedia depan hotel menunggu Didi untuk ke stesen kereta api. Sebab kereta api kami awal pagi time orang pergi kerja, jadi daripada tersangkut dalam jem, lebih baik kami awal.

Tip: Kalau memesan Didi, pastikan GPS tepat. Kalau rasa tak tepat, boleh letak nama hotel sebagai tempat pick up, jadi teksi akan datang tepat di pintu masuk hotel. Kami tersilap, tiba-tiba location pula seberang jalan. Sudahlah nak melintas tak ada pedestrian light crossing yang ada cuma zebra line aje. Berpeluh-peluh juga nak melintas dengan beg masing-masing dan kenderaan yang bersimpang siur.

Di China ni memang kenderaan sentiasa bersimpang siur tapi dalam kesesakan trafik tu, keadaan masih lagi terkawal. Tak ada kemalangan melibatkan pejalan kaki walaupun melintas ketika waktu puncak dan di zebra crossing tanpa lampu isyarat.

Perjalanan dari Xi’an ke Lanzhou ambil masa dalam 3 jam dengan bullet train. Kami ambil train jam 8.10pagi dan tiba di Stesen kereta api Lanzhou West jam 11.23am.

Macam biasa, stesen metro sebumbung dengan stesen kereta api, jadi cari aje sign metro. Kali ni cuma ada 2 line metro saja, Dan orang pun tak ramai. Agak tenang. Kami turun di Stesen metro Lanzhou Train Station. Ini pun train station juga. Esok kami akan naik train dari sini pulak.

Bandar Lanzhou terletak di wilayah Gansu, China, dan merupakan ibu kota wilayah serta bandar terbesar di sana. Ia dikenali sebagai hab pengangkutan utama di rantau ini dan memainkan peranan penting sebagai jambatan di Laluan Sutera Utara serta Jambatan Darat Eurasia Baharu.

Cuaca di Lanzhou sangat nyaman. Beza banyak dengan Xi’an. Kalau sana 34 – 37C hari ni sini 15C, lebih kurang sama macam cuaca di Kunming. Bandar Lanzhou ni pula berada di lembah pergunungan. Tak macam wilayah China yang kami dah pergi, bandar Lanzhou agak kecil dan tak berapa pedestrian friendly.

Lanzhou dikenali sebagai Mutiara Sungai Kuning menawarkan pelbagai tarikan pelancong, termasuk Gunung Wuqian, Gunung Baita, Lembah Shifo, Lutu Tusi Yamen, Pekan Purba Hekou, Bandar Purba Qingcheng, dan tapak yang lebih baharu seperti Shuimo Danxia, Menara Sungai Kuning, Taman Hidupan Liar dan Kompleks Desa Lijiazhuang.

Mungkin kerana kedudukan muka bumi yang berbukit. Deretan kedai-kedai yang berdekatan dengan stesen kereta api pun banyak yang bertangga. Tapi di sini, memang ramai umat Islam, jadi nak cari kedai halal memang banyak di sini.

Lanzhou juga dikenali sebagai wilayah asal mi tarik. Kalau ditempat lain, mi tarik makan macam sup mi, di sini kuahnya dituang di atas mi dan tekstur mi di sini lebih tebal dan kenyal. Sekali makan memang tahan kenyang separuh hari.

Kami pilih untuk duduk semalaman Mercure Hotel Feitian (Lanzhou Railway Station Subway Station) sebab kedudukannya cuma 200 meter jarak dari Stesen Kereta Api Lanzhou. Sebab book train melalui Trip, kami dapat diskaun hotel harga 166.00 yuan semalam. (Harga tanpa diskaun 242 yuan)

Lepas check-in hotel, kitaorang pusing sekitar kawasan sini. Jumpa kedai makan tak jauh dari hotel dan macam biasa, beli sepinggan makan berdua. Sebab udara yang dingin jadi seronok dapat berjalan kaki ke sana ke sini.

Sebab cuma ada sehari saja di sini, kami malas nak ke mana-mana jadi jalan-jalan sampai jumpa pasar orang tempatan. Dapatlah top up buah-buahan yang kami suka contoh buah plum kat sini, harga ½kg 10yuan saja. Boleh buat bekal esok dalam train.

Sambil jalan-jalan tengok buah, buah-buahan kering, roti, sayur, daging halal, sempat lagi tengok orang main dam. Kecoh! Inilah cara isi masa lapang rata-rata orang tua-tua di China. Duduk-duduk sambil berbual, main dam atau daun terup. Aku pulak sibuk nak ambil video sampai kena halau hahaha.. Sebab orang kat sini serius kalau main daun terup. Takut aku jadi spy agaknya.

Kami tak sempat nak gi mana-mana pun di Lanzhou ni sebab cuma singgah untuk satu malam. Esoknya kami gerak ke Urumqi pula. Perjalanan makan masa 16 jam 46 minit

You might also enjoy