SESAT BARAT DALAM KEMERALTI

Share this article

Khamis: 24 Februari 2022

DAH PUAS REHAT semalam, hari ni kita belajar pula naik metro di Izmir. Stesen Metro yang paling dekat dengan apartmen penginapan kami, namanya Hilal. Dekat tak dekat jugalah, tapi tak sampai 1km jauhnya.

Kami beli kad izmirkart di mesin, atas tunjuk ajar polis di situ. Sistem kad sama macam touch&go, jadi kena pastikan balance kad mencukupi setiap kali nak naik tram, metro atau bas.

Dari Hilal, kami ke stesen metro Basmane. Stesen Basmane ni bawah tanah dan tak cantum terus dengan bangunan stesen kereta api Izmir Basmane Gari. Tapi kedudukannya tak lah jauh sangat di antara satu sama lain.

Hari ni kami nak jalan-jalan bandar lagi. Aku nak cuba ke Agora of Smyrma atau Agora of Izmir. Kalau ikut peta tempat ni tak jauh sangat dari Basmane Gari. Jadi, pagi-pagi tu kami dah menyusur jalan untuk ke sana. Hari gerimis, tapi ikut ajelah Google Map. Jalan dan terus jalan, sampai kami tiba di Anafartalar Cd.

Rupa-rupanya tempat ni macam pasar. Masa kami tiba di sini, penjual-penjual baru buka kedai. Ada kedai jual buah, sayur, ikan dan daging di sepanjang jalan. Harga barang-barang kat sini pun kira murah. Mungkin ini pasar orang tempatan datang untuk membeli.

Dari situ kami terus menyusur lagi ikut Google Map tu sampailah kami nampak Agora of Smyrna tapi sebab awal lagi dan hujan, maka niat untuk masuk ke dalam dan lihat runtuhan bangunan zaman Rom, dibatalkan. Asalnya tapak bangunan Smyrna ini dibina oleh orang Greek pada kurun ke 4 BC tapi penempatan ini runtuh akibat gempa bumi pada 178AD.

Pembinaan semula penempatan ini dibuat atas arahan maharaja Rom Marcus Aurelius. Runtuhan penempatan ini mula digali pada 1933 dan pada 2020 Agora of Smyrna menjadi Tapak Warisan Dunia sementara dan sebahagian Bandar Pelabuhan Bersejarah Izmir.

Bila dah jalan-jalan dalam hujan, perut pun lapar, jadi kami berhenti di sebuah restoran ni. Pekedainya macam gembira pula nampak kami. Sebab terkial-kial nak tahu menu apa, dia siap panggil seorang pelanggan dia minta translate ke bahasa Inggeris. Macam biasa, atok play safe, jadi dia order kebab aku pulak nak rasa yang bukan-bukan jadi aku pilih sup organ dalaman lembu.

Sebenarnya masih awal nak makan berat-berat, tapi lantakkan ajelah. Pekedai yang hairan tengok kami pun layankan aje. Sambil makan tu aku perhatikan aje kedai-kedai seberang jalan. Nampak macam antara deretan kedai tu ada lorong kecil dan di situ aku nampak macam pasar. Orang keluar masuk jinjing beg penuh dengan sayur, buah-buahan dan barang basah yang lain.

Lepas makan, kami jalan kaki lagi terus menyusur jalan Esrefpasa Cd nak cari stesen tram untuk ke Kemeralti Bazaar. Kalau ikutkan Google Map tu, ada stesen yang dekat di Gazi Bulvari. Jadi dah kenyang tu, dalam sejuk kami jalan kaki ke situ. Dari situ kami turun di stesen Konak Iskele dan boleh jalan kaki terus ke Kemeralti Bazaar tu.

Tapi sebelum ke Kemeralti Bazaar, apa kata berhenti sekejap kat Konak Meydani atau dataran Konak. Di situ ada bangunan-bangunan bersejarah yang menariklah juga. Salah satunya Izmir Saat Kulesi ataupun menara jam. Menara jam ni dibina pada awal 1900 dan bahagian atasnya pernah musnah akibat gempa bumi pada skala 6.4 pada 31 Mac 1928. Sekali lagi bahagian atas menaranya musnah akibat gempa bumi juga pada 1 Februari 1974.

Tapi, ada satu lagi fakta menarik fasal menara jam yang menjadi mercu tanda Izmir ini. Jam di menara ini pernah dicuri semasa protes percubaan kudeta Turkiye pada 2016. Kerja-kerja pemulihan menara jam ini dilakukan pada 2019.

Satu lagi bangunan yang menarik di dataran ni adalah sebuah masjid comel yang dikenali sebagai Konak Camii ataupun Yali Mosque. Berbentuk segi lapan, masjid ini terletak tidak jauh dari rumah agam Gabenor dan bersebelahan juga dengan Menara Jam.

Masjid ini kecil aje tapi tetap dikenali sebagai mercu tanda Izmir kerana bentuk segi lapannya dan hiasan jubin yang sarat di dinding-dindingnya. Masjid di bawah naungan Ayse Hanim, dibina pada 1755 dan beliau adalah isteri kepada Katipzade Mehmet Pasa, gabenor Izmir waktu itu. Masjid ini cuma ada satu menara, satu kubah dan satu pintu masuk. Agak unik sikit berbanding masjid-masjid lain di Turki. Sementara itu, jubin yang cantik-cantik itu dibawa khas dari Kütahya. Candelier dalam masjid ini direka oleh Ümran Baradan.

Di dataran ni pun banyak merpati dan orang jual makanan merpati. Jadi kalau sesiapa nak bersedekah atau beri makan merpati, boleh beli dedak atau kuaci dari orang yang menjual di sekitar bazaar. Rasanya tak mahal, lebih kurang TLR1 atau TLR2 untuk satu cawan kecil.

Dari dataran, kami teruskan perjalanan masuk ke Kemeralti Bazaar ni. Memang sepanjang jalan tu kedai saja. Macam-macam barang dagangan korang boleh tengok dan beli kat sini. Dari kasut, baju, mainan, tudung semua ada. Kafe-kafe comel jual kopi Turki pun banyak kat sini. Kalau yang suka manisan pun boleh cuba kat sini. Lorong-lorongnya pun panjang. Kira korang memang boleh sesat kat dalam ni. Masuk kiri masuk kanan. Kalau korang dah jumpa barang berkenan nak dibeli, aku syorkan terus beli. Sebabnya kalau korang kata nak patah balik, confirm korang tak jumpa lorong tadi.

Kat sini juga aku masuk kedai Waikiki yang katanya murah tu. Memang oklah harga baju-baju kat sini. Atok gi beli tali pinggang kulit, aku pulak cari cardigan, saja je persediaan untuk bila cuaca makin panas, jadi dah bolehlah jalan-jalan tak pakai fleece tebal lagi (berangan).

Jalan-jalan lagi keluar masuk lorong kat sini, kami tiba di bahagian barang-barang basah. Kiri kanan kedai jual keju, dan terus lagi kedai-kedai jual buah-buahan dan sayur. Kami ambil kesempatan belilah sikit buah kat sini sebab buah-buahannya nampak segar. Tapi itulah tak dapatlah membeli dengan kuantiti yang sedikit.

Kat pasar ni aku beli juga paha ayam, boleh goreng dengan keju dan makan dengan nasi panas. Rasa? Nanti kita alterlah ikut rempah yang kita boleh dapat. Aku pun memang dari hari tu nak cuba rempah sumac, jadi kami beli juga cili dan rempah sumac sikit untuk ole-ole bawa balik ke Malaysia. Yang atok pulak, geram aje tengok ikan-ikan yang dijual kat pasar tu. Tapi Nini ni kenalah ingatkan atok, kalau kita duduk kat Izmir ni bolehlah beli ikan, ni kita cuma melancong aje, pots and pans kat apartmen tu pun terhad. Dah la dapurnya pun cinonet aje.

Jalan terus, sampai jumpa laluan ke jalan besar. Tengok alamak! Inilah laluan yang aku nampak dari restoran yang kita makan pagi tadi. Sebenarnya tak perlulah nak jalan kaki pergi naik tram, padahal laluan nak ke Kemeralti ni banyak. Boleh aje kami tadi tu seberang jalan dan terus masuk ke sini. Lagi senang! Tapi tak pe. Dah namanya pelancong kan?

You might also enjoy

KE DUBLIN

Isnin lepas, saya mengendeng ikut ‘housemate’ pergi ke menyeberang laut

DESTINASI TERAKHIR: MANCHESTER

Jumaat: 18 Mac 2022 HARI NI KAMI tinggalkan Glasgow dan mulakan perjalanan ke Manchester pula. Ini bandar terakhir kami di UK sebelum…

DUNEDIN, IBU KOTA SCOTLAND

Rabu: 16 Mac 2022 BAS KAMI KE Edinburgh bertolak jam 9.40 pagi. Awal pagi kami dah ke Buchanan Bus Station untuk naik bas ke ibu kota…

HELLO GLASGOW!

Selasa: 15 Mac 2022 INILAH TEMPAT JATUH bangun selama 5 tahun. Banyak kenangan pahit manis di sini. Bandar yang menyatukan kami yang ke…

BYE HULL, SAMPAI KETEMU LAGI

Isnin: 14 Mac 2022 TIBA MASA KAMI tinggalkan bandar York dan pasangan yang dah jadi keluarga angkat aku. Hari ni kami akan ke Glasgow…

KOTA DI BALIK TEMBOK

Sunday: 13 Mac 2022 HARI NI KAMI ke York pula. Asalnya nak cari carboot tapi memandangkan masih lagi dalam bulan musim sejuk, belum ada…

KNARESBOROUGH PEKAN FAIRY TALE

Sabtu: 12 Mac 2022 HARI NI KAMI ke Knaresborough. Tempat ni lebih kurang 70 batu jauhnya dari Hull. Jadi, pagi lepas sarapan, kami pun…

PERJALANAN KE HULL

Jumaat: 11 Mac 2022 JAM 6AM, KAMI dah sedia nak keluar heret beg ke stesen kereta api King Cross. Pembantu hotel kata, tak perlu buat…