ROAD TO AGRO TOURISM SIRI 4 BUKA LEBIH PELUANG PELANCONGAN BERASAS PERTANIAN

Share this article

MALAYSIA SEMEMANGNYA NEGARA yang sangat bertuah. Bukan sahaja mempunyai keistimewaan bentuk muka bumi yang indah, pantai dan laut yang menakjubkan, tanahnya juga subur untuk jenis tanaman tropika.

Tak sangka, bersempena hari jadi tahun ni, aku dijemput menyertai Road To Agro Tourism Siri 4 (RTA4) anjuran Majlis Pelancongan Malaysia yang meliputi beberapa kawasan di Kedah dan Perlis. Kumpulan kami yang terdiri dari beberapa wakil media arus perdana dan bloggers melawat beberapa lokasi agro dan tanaman yang boleh dijadikan tarikan pelancong dalam dan luar negara.

Sepanjang lawatan kami selama 6 hari ke dua-dua negeri di Utara Semenanjung Malaysia, kami didedahkan dengan pelbagai lokasi agro yang boleh dimajukan untuk dijadikan tarikan pelancongan terbaharu.

Pelepasan RTA4 ini telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah di Lembaga Pertubuhan Peladang, Azulita Salim di Menara LPP Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur.

Tiba sahaja di Kedah, kami dijamu dengan air nira nipah di Ladang Nipah Che Kaq di Jalan Kuala Sedaka, di daerah Yan, Kedah. Air nira yang nyaman menghilangkan segala penat lelah perjalanan yang panjang dari Kuala Lumpur.

Tak ramai yang tahu bahawa nira nipah asli mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan seperti menghindarkan demam dan mengatasi sembelit. Ia juga boleh diambil sebagai minuman membantu menjaga kecantikan untuk wanita.

Kedah dan Perlis merupakan negeri yang terkenal dengan sawah padi yang meluas. Dengan teknologi yang semakin canggih, penghasilan padi di Kedah juga dapat dioptimum, terutama di bawah bimbingan Lembagan Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Bahagian Industri Padi (BIP) bertanggungjawab dalam hal-hal yang berkaitan dengan system pengurusan berpusat Estet Padi NKEA , pengembangan pertanian dan pemindahan teknologi terkini, pemantauan benih padi yang berkualiti tinggi serta pengedaran Baja Skim Subsidi di dalam kawasan Muda.

Rombongan kami turut diberi peluang turun ke bendang untuk menanam padi dan menangkap ikan di Kolej Latihan Mada, Pendang. Satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh peserta.

Selain padi, MADA turut mempergiatkan pengusahaan tanaman lain untuk mempelbagaikan pengeluaran agro negeri Kedah. Antara yang semakin popular adalah penanaman buah mangga dari jenis Chokanan di Ladang Mempelam Tobiar, Pendang.

Sejak kebelakangan ini MADA semakin aktif mempromosikan hasil Chokanan dari Ladang Mempelam Tobiar ini bagi memaklumkan kepada masyarakat mengenai musim buah mangga jenis ini.

Ia turut bertujuan mempromosikan produk hiliran dan meningkatkan pendapatan projek melalui jualan mempelam atau mangga segar ini.

Tidak seperti Harumanis  yang kini menjadi ikon Perlis dan harga sekilogram mencecah hampir RM40, Chokanan ini lebih murah kira-kira RM10 sekilogram dan mudah didapati. Penjagaan pokok mangga Chokanan juga dikatakan tidak ‘cerewet’.

Bagi anda yang ingin merasai tidur dalam suasana rumah kampung yang berlatar-belakangkan sawah padi, bolehlah menginap di TamTeh Multicentre di Kampung Lubuk Pinang, Ayer Hitam, Alor Setar, Kedah. Terdapat banyak kemudahan disediakan di sini.

Selain daripada bilik dan homestay, ada juga ruang untuk pusat kursus, bengkel dan seminar juga majlis perkahwinan dan hari keluarga kerana kawasannya yang luas. Terdapat juga fasiliti untuk meletak karavan di sini.

Di Kedah, rombongan RTA4 berlepas ke destinasi seterusnya selepas dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan 1, yang juga pengerusi MADA, Datuk Wira Othman Aziz. RTA4 diteruskan dengan melawat  Muzium Padi yang terletak di Gunung Keriang, kira-kira 8 km dari Alor Setar.

Seni bina Muzium Padi yang unik melambangkan gemai padi, mempunyai 3 aras yang boleh dilawati.

  • Tingkat 1 : memaparkan sejarah penanaman padi di Kedah serta alat kelengkapan yang digunakan oleh petani
  • Tingkat 2: memaparkan 6 galeri lukisan yang menggambarkan kegiatan pertanian sejak zaman silam sehingga hari ini
  • Tingkat 3 : memaparkan pelantar putar untuk melihat mural panorama atau lukisan dinding sebesar 103 meter panjang dan 8 meter tinggi.

Berdekatan dengan muzium padi ini terdapat sebuah resort yang mendamaikan sesuai untuk mereka yang mahu lari dari hiruk pikuk dan kesesakan ibu kota.

Keriang Hill Resort menawarkan 15 penginapan yang dikenali sebagai pondok. Setiap pondok pula mewakili daerah-daerah di Kedah yang mempunyai rekaan tersendiri. Pokok-pokok dan kolam memberi ketenangan kepada penghuni resort yang menggunakan slogan “Back to Kampung Life” ini.

Kami turut dihidangkan dengan masakan Malaysia sebagai makan tengah hari di sini. Memang seronok dapat makan sambil menikmati pemandangan kolam dan angsa yang mendamaikan.

Rombongan RTA4 seterusnya Padang Perahu untuk menyaksikan pembuatan wau atau layang-layang tradisional di bawah kelolaan Persatuan Wau Kegeri Kedah.

Menurut Timbalan Yang Dipertuanya, Ghazali Md Isa, persatuan mereka kembali aktif sejak 2008 dan keahlian dalam kalangan generasi muda kini begitu menggalakkan.

Selain daripada melihat bagaimana wau dihasilkan, rombongan RTA4 berada di Kampung Pida 3 1/2 untuk melihat sendiri bagaimana padi diketam dan dituai menggunakan mesin New Holland.

Satu pengalaman yang mengujakan.

Untuk memastikan tiada pembaziran, jerami padi akan diproses menjadi makanan haiwan atau bahan pembungkus terbiodegradasi. Proses pembandela dilakukan secara serentak dengan penuaian padi.

Traktor pembandela jerami akan mengikuti mesin New Holland untuk mengutip jerami dan membandela jerami. Setiap bandela jerami yang terhasil seberat 400 kg dan dijual sekitar RM80 setiap satu. Bandela jerami ini biasanya akan dijual kepada penternak lembu atau kerbau untuk dijadikan makanan.

Keesokan harinya rombongan RTA4 meneruskan perjalanan ke Kuala Sanglang untuk menikmati Gulai Temenung Mak Teh yang terkenal. Memang enak gulai ikan temenung (ikan kembong) hasil tangan pengusaha restoran ini kerana beliau mendapat bekalan ikan segar terus dari nelayan.

Namun bukan gulai ikan temenung saja yang menggiurkan, lauk pilihan Udang Cili Telur Gedik yang dihidangkan memang menyelerakan! Mak Teh sempat mengajar kami resipi membuat Udang Cili Telur Gedik resipi beliau.

Setelah mengisi perut di Restoran Mak Teh, rombongan RTA4 terus bergerak ke Ladang Nipah Khipli untuk melihat hasil nira dari ladang itu pula. Setelah menghabiskan masa kira-kira setengah jam di ladang nipah itu, perjalanan diteruskan pula ke Langkawi.

Di Langkawi, kami dibawa melawat Taman Agro Mardi yang diusahakan sejak tahun 1990. Bukan hanya sebagai pusat pemindahan teknologi mengenai industri agro, taman ini direka sebagai eco-tourism untuk pelancong yang melawat Langkawi.

Ia terletak kira-kira 10 minit pemanduan dari Kuah atau Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Tarikan yang terdapat di sini adalah pusat teknologi maklumat, kebun buah tropika dan kebun sayur, juga ladang anggur yang menghasilkan buah yang manis.

Terdapat banyak tarikan yang memaparkan budaya dan busana Melayu di Langkawi. Satu pusat yang perlu dilawati oleh pengunjung ke pulau ini adalah Kompleks Kraf Langkawi.

Selain daripada busana daripada kain tradisional Melayu, seperti batik, terdapat juga kraf lain yang dijual di sini, seperti beg anyaman rotan dan daripada kain batik. Bagi mereka yang sukakan perhiasan seramik, selain pinggan mangkuk, terdapat juga perhiasan rumah yang unik yang dibuat daripada seramik.

Terdapat juga demonstrasi mencanting batik dan bagi pengunjung yang mahu melukis inai di tangan dan kaki, bolehlah mencubanya di sini.

Kunjungan kami ke Utara, kembali ke Perlis untuk melawat ladang Harumanis di Pertubuhan Peladang Kawasan Paya yang sudah menjadi ikon negeri itu.  Ladang seluas 1.14 hektar ini mempunyai 3 unit rumah hijau yang memuatkan 508 pokok.

Setiap buah yang dihasilkan akan digred. Buah yang paling elok akan dijual kepada pembekal manakala yang kurang cantik akan dijadikan produk hiliran seperti bes kordial dan kerepek.

Kunjungan di bawah RTA4 anjuran MTC ini benar-benar membawa manfaat kepada peserta. Bukan sahaja ia dapat membuka mata mengenai kecantikan bentuk muka dan alam semulajadi Malaysia, tetapi ia juga memberi pengetahuan mengenai hasil bumi dan juga cara hidup masyarakat di Malaysia yang boleh dikomersialkan untuk tarikan pelancong melalu pelancongan agro.

Sementara itu Presiden Majlis Pelancongan Malaysia, Uzaidi Udanis berrkata, lawatan ini dapat membantu mempromosikan lebih banyak lagi lokasi agro-tourism di Malaysia bukan sahaja untuk menarik pelancong asing, tetapi juga pelancong tempatan.

Selain itu, menurut beliau, pihak perhotelan terutama hotel-hotel mewah juga boleh turut membantu mempromosikan produk tempatan dengan meletakkan buah-buahan tempatan seperti pisang, jambu, belimbing dalam bakul buah-buahan di setiap bilik tetamu di premis mereka.

“Daripada meletakkan buah-buahan import seperti epal, sebaiknya pihak hotel memberi buah-buahan tempatan untuk tetamu mereka dan dengan cara ini mereka dapat membantu industri agro-tourism di Malaysia,” katanya. 

Kunjungan RTA4 ini mendapat sokongan dan tajaan daripada #MADA, #LADA, #MARDI, #HOLIDAYVILLA, #AKIEFVILLA, #SANDYBEACH, #DELIMAHOMESTAY, #AMZARMOTEL, #LPPPERLIS, #PPKPAYA, #TELAGAWALK, #TAMTEHKAMPUNGSTAY, #MAKTEHGULAITERMENUNG.

You might also enjoy

KE DUBLIN

Isnin lepas, saya mengendeng ikut ‘housemate’ pergi ke menyeberang laut

DESTINASI TERAKHIR: MANCHESTER

Jumaat: 18 Mac 2022 HARI NI KAMI tinggalkan Glasgow dan mulakan perjalanan ke Manchester pula. Ini bandar terakhir kami di UK sebelum…

DUNEDIN, IBU KOTA SCOTLAND

Rabu: 16 Mac 2022 BAS KAMI KE Edinburgh bertolak jam 9.40 pagi. Awal pagi kami dah ke Buchanan Bus Station untuk naik bas ke ibu kota…

HELLO GLASGOW!

Selasa: 15 Mac 2022 INILAH TEMPAT JATUH bangun selama 5 tahun. Banyak kenangan pahit manis di sini. Bandar yang menyatukan kami yang ke…

BYE HULL, SAMPAI KETEMU LAGI

Isnin: 14 Mac 2022 TIBA MASA KAMI tinggalkan bandar York dan pasangan yang dah jadi keluarga angkat aku. Hari ni kami akan ke Glasgow…

KOTA DI BALIK TEMBOK

Sunday: 13 Mac 2022 HARI NI KAMI ke York pula. Asalnya nak cari carboot tapi memandangkan masih lagi dalam bulan musim sejuk, belum ada…

KNARESBOROUGH PEKAN FAIRY TALE

Sabtu: 12 Mac 2022 HARI NI KAMI ke Knaresborough. Tempat ni lebih kurang 70 batu jauhnya dari Hull. Jadi, pagi lepas sarapan, kami pun…

PERJALANAN KE HULL

Jumaat: 11 Mac 2022 JAM 6AM, KAMI dah sedia nak keluar heret beg ke stesen kereta api King Cross. Pembantu hotel kata, tak perlu buat…