10-15 Oktober 2024
Pengangkutan, kereta api, bas.
Bermulalah perjalanan yang panjang untuk ke Kyrgyzstan pula.
Sebenarnya kalau nak ke Bishkek, Kyrgyzstan, lebih mudah lagi dari Almaty, Kazakhstan tapi sebab kami detour ke Uzbekistan dulu, dan nak teruskan jalan darat naik kereta api, maka kami terpaksa patah balik ke Kazakhstan sebelum masuk ke Bishkek.
Ada saja servis bas yang menyambungkan antara Tashkent dan Bishkek, tapi sebab kami nak tidur dan selesa saja dalam perjalanan, kami pilih naik kereta api terus dari Samarkand ke Tashkent, dan Tashkent ke Almaty. Kemudian menaiki bas dari Almaty ke Bishkek pula. Berpusing-pusing sebenarnya, tapi kami enjoy train ride.
Untuk yang nak naik bas dari Tashkent ke Bishkek, korang boleh ambil bas di Tashkent Bus Terminal. Harga tiket dalam RM100 seorang. Perjalanan dalam 13jam dan perkhidmatan bas dua kali sehari.
Kami ambil kereta api petang dan tiba di Tashkent pada waktu malam. Untuk perjalanan ini, kami ambil seat saja walaupun panjang.
Kami tiba di stesen kereta api Tashkent kira-kira jam 10 malam, Jadi ada lebih kurang 5 jam menunggu kereta api berikutnya. Memang tersengguk-sengguk dibuatnya sebab kereta api kami ke Almaty, jam 4.30 pagi dan dijangka tiba jam 10 malam. Untuk perjalanan merentas sempadan ni kami pilih kabin tidur untuk 2 orang.
Untuk merentas sempadan, penumpang tak perlu turun. Duduk aje di seat atau dalam kabin. Pihak imigresen dengan kastam akan naik dan check pasport. Ada juga anjing pengesan untuk mengesan sama ada penumpang seludup barang terlarang dalam kereta api atau tidak.
Lama juga kereta api berhenti di sempadan, bergantung kepada jumlah penumpang juga. Aku rasa ada dalam 3 jam juga di sini. Lepas imigresen Uzbekistan selesai, giliran imigresen dan pihak berkuasa Kazakhstan juga. Kalau tak sebab terlalu mengantuk dan letih, mungkin menarik juga kalau dapat observe prosesnya. Ini tak, mata dah tutup aje sambil duduk.
Paginya barulah segar sikit. Macam biasa di luar cabin ada pemanas air untuk sesiapa yang nak air panas. Untuk train yang ini, kabin agak luas sikit sebab tidak ada personal toilet. Toilet ada di bahagian hadapan dan belakang gerabak. Toilet bersih dan moden, ada sinki untuk gosok gigi dan freshen up tapi bawalah portable bidet untuk keselesaaan beristinjak.


Pagi tu kami makan pagi di kantin, tapi sebab lewat jadi banyak juga makanan dah habis. Digalakkan bawa duit cash dalam train sebab di sini bayaran tunai sahaja sama ada dalam sums Uzbekistan atau tenge Kazakhstan. Mereka tak terima kad. Nasib baik ada lagi lebihan duit sum Uzbekistan.
Kami banyak habiskan masa tengok pemandangan luar dan berborak dengan jiran sebelah kabin. Jumpa pula dengan treveler solo dari India. Budaknya macam nerd tapi semangat kembara sangat tinggi. Kelakar juga tengok cara dia. Biasa kembara solo ni bawa backpack, tapi dia bawa beg tarik. Simple aje orangnya.
Kami tiba di Almaty lewat sejam daripada yang dijadualkan. Untuk satu malam di Almaty, kami pilih Hostel Tahar. Dalam 1km dari stesen kereta api. Alhamdulillah ada juga kedai runcit yang masih buka di jalan nak ke hotel, jadi bolehlah beli air dengan jajan buat alas perut sebelum tidur.
Hostel Tahar ni pun tempatnya di blok residen, jadi memang agak blur-blur juga nak cari tengah-tengah malam macam ni. Ramai pula tu budak-budak muda melepak sambil-sambil minum kat situ, tanya ajelah mereka mana Hostel Tahar ni.
Esoknya pagi-pagi lagi kami dah check out untuk kejar bas ke Bishkek jam 10pagi. Kami memang ambil Yandex ke Stesen Bas Sayran (masa ni terminal bas ke Bishkek masih lagi di sini, sekarang dah bertukar di tempat lain). Hujan renyai makin lebat pula tu. Masuk ke stesen kami cari pula kaunter tiket. Kaunter tiket terletak ke belakang. Bertanya-tanya juga dengan orang kat situ, mana kaunter tiket bas nak ke Bishkek.


Kami sempat sarapan di stesen bas. Tapi macam biasa aku dah muak dengan makanan Asia Tengah (mungkin sebab berlemak dan berminyak dan tidak pedas) hahaha. Tekak cuma nak Indomie goreng aje hahaha. Tapi demi isi perut, makan jugalah. Sneakers pun dah jadi makanan wajib untuk alas perut.
Sebaiknya untuk pengembara, digalakkan makan makanan berkhasiat dan jangan bergantung kepada gula, lagilah orang yang ada penyakit berbahaya macam aku ni, tapi sebabkan berjalan banyak, jadi bolehlah tapi jangan selalu.
Perjalanan ke Bishkek ambil masa dalam 6 jam bergantung kepada trafik. Bas akan berhenti sekali di satu restoran. Ada toilet juga. Tapi, aku sarankan kalau korang ambil bas jam 10pagi dari Almaty, janganlah ambil masa lama kat restoran tu, pemandu bas tak peka dengan penumpang. Ada seorang minah ni hampir kena tinggal sebab pemandu terus aje nak jalan lepas berhenti, tak count head langsung.
Kami masuk ke Bishkek melalui sempadan Korday. Kami masuk tengah peak hours. Orang sana memang jenis menolak, potong queue. Jangan leha leho. Kalau boleh hadang, korang hadang aje dengan beg besar korang tu. Yang paling teruk sekali makcik-makcik tua ni. Selamba aje potong queue. Tak payah baik sangat, dorang tak kira, kalau dorang maki ke apa ke, pekak telinga, bukan faham pun… sebab apa?
Sebab terlalu lama kat imigresen kedua-dua negara ni, kitaorang tertinggal bas. Macam aku cakap tadi driver bas tak peka dengan penumpang. Depa main jalan aje. Hampir separuh bas kosong pun dia buat tak tahu aje. Padahal kitaorang dah ambil no bas dah, ingatkan salah tunggu ke apa kan… rupanya dia dah tinggal kitaorang. Kami berdua aje palancong asia yang kena tinggal. Yang lain, mat salleh pun ada kena tinggal juga.
Nak tak nak, kami ambil teksi ke bandar. Dalam RM50 juga depa ketuk padahal dalam 20km aje ke bandar. Itupun dah puas tawar. Nasib baik ada duit lebih Kazakhs dengan Uzbekistan, kami tukar dekat pengurup wang kat situ. Boleh guna untuk bayar teksi. Terpaksa juga ambil sebab tak nak masuk Bishkek bila dah gelap. Itupun sebenarnya dah lewat dah tu.
Sekarang, kami cuma nak rehat, tidur dengan selesa dan makan. Aku dah stock pile mi segera aje jadi memang tak makan apa malamnya, cuma indomie, buah dengan coklat saja.
Kami duduk di Eva at Home, dekat dengan Osh Bazaar. Tak ada lift, jadi kita naik tangga ke tingkat 3. Tapi bilik sangat luas dan selesa walaupun lokasi hotel ni agak dodgy juga. Dan malam tu kami berdua pengsan!


Esoknya kami tak explore jauh sangat, pergi dekat-dekat situ. Yang penting masuk Osh Bazaar. Tempat ni memang macam pasar kelas ke 3. Kat tepi-tepi jalan pun ada orang berniaga barang-barang second hand. Misi hari ni cari buah-buahan lagi, beli simkad untuk suami dengan cari ATM untuk keluarkan duit.
Berpusing-pusing, tapi akhirnya ketiga-tiga misi berjaya.