PULAU INCHCOLM MERUPAKAN pulau tercantik antara pulau-pulau yang lain di Firth of Forth, Scotland. Ia terletak kira-kira empat batu di timur Jambatan Forth, satu jambatan ikonik di Scotland, dan satu batu jauhnya dari persisiran Fife dekat Aberdour (pautan Google Map here)
Pulau ini dibawah jagaan Historic Scotland dan umumnya ia dikenali sebagai “iona of the East” kerana mirip pulau Iona yang terletak di bagagian barat Scotland. Inchcolm Abbey ini dibina pada abad ke-12 dan diasaskan oleh King David I selepas adiknya King Alexandar I terpaksa mencari perlindungan di situ akibat ribut ketika menyeberangi Forth pada 1123. Abbey atau biara itu antara kumpulan bangunan keagamaan yang dijaga baik di Scotland.
Ini kali pertama aku ke Inchcolm, ikut kumpulan pelajar Universiti of Glasgow ke sini. Aku ambil peluang ikut housemate. Kalau tak, memang tak merasalah aku ke sini. Perjalanan dari Glasgow ke jeti South Queensferry, mengambil masa kira-kira satu jam.
Dari jeti, kami menaiki feri Maid of the Forth ke Inchcolm Island dan perjalanan mengambil masa setengah jam. Dalam perjalanan kapten feri ada beritahu, selalunya akan ada ikan lumba-lumba yang mereka namakan Dolly The Dolphin mengejar feri, namun kumpulan kami tak terserempak
pun dengan si Dolly ni. Hanya dalam perjalanan balik sahaja kami melihat dua ekor anjing laut sedang ‘sun-baking’ di atas bayou. Seekor kami gelarkan Silly the Seal. hahahaha
Yang seronoknya menaiki feri ke Pulau Inchcolm ini bila kita lalu di bawah Forth Rail Bridge. Tapi, kali ini cuaca tak berapa baik, berkabus sahaja, jadi tak dapat benar-benar menikmati pemandangan jambatan kereta api ini. Tapi, kabus di sepanjang sungai ni menjadikan suasana seperti berselubung misteri. Memang menarik.
Tarikan utama Pulau Inchcolm ni sudah pasti biara yang berusia lebih 1000 tahun ni. Pelancong ke sini memang boleh bersiar dengan santai di sekeliling biara. Malah korang pun boleh naik ke menara untuk menikmati pemandangan pulau yang cantik.
Seperti biasa, ada juga kedai cenderahati dan pusat pelancong di sini. Jadi sesiapa yang datang ke sini dan nak tahu lebih lanjut fasal sejarah Pulau Inchcolm, boleh dapatkan maklumat di sini. Selain tu, ada juga disediakan toilet untuk pengunjung.
Bukan itu saja, ada tarikan sejarah lain di pulau ni. Semasa Perang Dunia Pertama dan Kedua, pulau ni menjadi tempat lebih 500 askar yang menjadikan tempat ini sebagai Kubu Forth atau Fortress Forth di mana mereka melindungi pangkalan Tentera Laut DiRaja di Rosyth dan Jambatan Kereta Api dari diserang dari arah laut. Peninggalan sejarah ni masih dapat dilihat sampai sekarang. Walaupun kini tiada askar ditempatkan di sini, tempat ini bertukar menjadi sarang burung camar pula.
Pulau ini memang agak popular di kalangan pelancong domestik. Ada pantai yang cantik dan disediakan bangku panjang untuk pelancong berehat dan berpiknik sambil menikmati suasana yang sunyi dan cantik.
Kami ambil masa juga untuk solat jamak di sini. Solat di tempat terbuka secara berjemaah, feel dia memang lain macam!