NIRA NIPAH: MANIS TAPI BERKHASIAT

Share this article

BAGI MEREKA YANG tidak biasa, air nira nipah dianggap sebagai minuman eksotik. Begitu juga dengan mereka yang mempunyai kandungan gula dalam badan yang tinggi, mungkin tidak akan berani untuk minum walau seteguk air nira nipah.

Sebenarnya, nira nipah ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri dan menjadi minuman biasa oleh mereka yang mengetahui khasiatnya, sejak turun temurun.

Nira nipah asli dapat membantu menyejukkan badan, membantu merawat demam dan mengurangkan batuk sederhana. Malah, air nira juga dapat melawaskan pembuangan air kecil dan mencuci buah pinggang dan memecahkan batu karang.

Baru-baru ini saya dijemput mengikuti Road To Agro Tourism Siri 4 (RTA4) yang meliputi beberapa kawasan di Utara Semenanjung Malaysia, di Kedah dan Perlis dan anjuran Majlis Pelancongan Malaysia (MTC).

Sepanjang lawatan ke Utara, kami dibawa ke dua ladang nipah. Ladang Nipah Che Kaq (Ladang Nipah Che Kar) di Jalan Kuala Sedaka, di daerah Yan, Kedah dan Ladang Nipah Khipli di Kampung Tanah Timbul Kuala Sanglang, Perlis.

Waktu dahulu, nira dikumpulkan mengunakan buluh yang dikenali sebagai tokey, maka nira yang terkumpul sangat wangi. Namun sekarang, nira dikumpul menggunakan botol plastik kerana ia lebih mudah didapati.

Bagi mendapatkan khasiat-khasiat yang terkandung dalam nira ini, ia perlu asli dan berkualiti dan tidak langsung dicampur dengan gula.

Selain daripada airnya diminum, ia juga boleh dijadikan cuka dan mempunyai khasiat-khasiat lain seperti membantu mengubati kencing manis, menurunkan tekanan darah tinggi dan membantu mengurangkan kolesterol.

Percaya atau tidak, cuka nira juga bleh melegakan sakit gout dan penyakit migrain. Antara khasiat lain cuka nira, ia dapat membantu mencegah obesiti, buasir dan masalah usus, membuang toksid dalam badan dan membantu menjaga kecantikan badan secara semula jadi.

Bagi mereka yang ingin mencuba air nira bolehlah berkunjung  ke kedua-dua ladang nipah ini untuk menikmati air nira nipah asli di bawah rimbunan pohon nipah yang redup sambil menikmati pemandangan sawah bendang di Ladang Nipah Che Kaq.

Selain daripada air nira, pengunjung boleh juga mencuba ubi rebus dengan sos nira. Selain itu terdapta juga Laksa Kedah yang enak.

Istimewanya makan di restoran terbuka ini, pengunjung dapat menikmati kemanisan air nira sejuk dan laksa Kedah di bawah rimbunan pohon nipah dan menghadap pemandangan bendang yang luas. Memang nyaman sekali.

Lebih mendamaikan lagi apabila mendengar desiran pelepah nipah ditiup angin sambil melihat burung bangau yang mencari makan di bendang.

Suasana kampung memang dapat dirasai oleh pengunjung yang mungkin sudah jemu dengan keadaan bandar yang sibuk dan menyesakkan.

Satu set minuman nira berharga RM11. Tapi bagi pengunjung yang ingin menikmati nira dalam gelas kecil harganya cuma RM2 dan gelas besar RM3 sahaja.

Sementara itu, sekiranya anda berada di Perlis, bolehlah merasai kemanisan air nipah ini di Ladang Nipah Khipli yang terletak di Kampung Tanah Timbul, Kuala Sanglang, Perlis. Di sini ladang nipahnya lebih luas.

Kalau di Ladang Nipah Che Kaq pengunjung dapat merasa Laksa Kedah, di Ladang Nipah Khipli, bolehlah mencuba Laksa Perlis pula. Yang membezakan laksa Kedah dengan laksa Perlis, adalah mi laksanya itu. Laksa Perlis menggunakan tepung beras menjadikan ia lebih ringan.

Kuahnya pula agak pekat kerana setiap bahannya seperti ikan kembung, ikan selayang, bunga kantan dan daun kesum dikisar bersama sehingga hancur dan sebati. Kuantiti ikan yang digunakan juga lebih berbanding laksa di negeri lain dan kerana itulah kuah Laksa Perlis berwarna cerah dan tidak kemerahan (cili) seperti Laksa Kedah.

Ketika mengunjungi Ladang Khipli, kami juga dijamu makanan tradisional masyarakat Melayu di Utara, seperti pulut udang dan serabai dengan kuah durian.

Kedua-dua perusahaan nira ini mendapat bimbingan daripada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

#10000langkahberbusanacenang, #agrobymtc, #camcaravan, #caravancam, #caravanpark, #dssm, #duniasenisilatmelayu, #eksotik, #islandlangkawi, #JomAgroTourism, #kerianghillresort, #lada, #lpp, #mada, #maketourismchampion, #nipah, #nira, #niranipah, #pusatkraflangkawi, #RoadtoAgroTourism, #roadtoagrotourismmtc, #tamtehkampungstay, #tourismnetworkingnight, #tuak #laksa #serabai

You might also enjoy