MUSLIM QUARTERS XI’AN

Share this article

6 -9 September 2024

Pengangkutan: Metro & Bas 🚇🚌

Highlight perjalanan di China adalah di Xi’an. Kami memang akan spend lebih masa di Xi’an sebab antara tempat yang aku nak lawat adalah di Qin Shi Huang atau Terracotta Army.

Cuaca di Xi’an lebih kurang di Chengdu. Panas lit-lit. Jarak antara Chengdu ke Xi’an sekitar 650km dan perjalanan dengan kereta api kira-kira dalam 3 jam saja. Kami ambil kereta api jam 8 pagi dan dianggarkan tiba di Xi’an kira-kira jam 12 tengah hari. Sekiranya sempat bolehlah suami buat solat Jumaat di Xian.

Sebenarnya kami kalau boleh akan elak mana-mana perjalanan pada hari Jumaat sebab nak bagi peluang suami solat Jumaat di mana-mana bandar yang kami singgah, tapi ada masanya tak ada pilihan dan terpaksa melakukan perjalanan pada hari Jumaat.

Jadi pagi-pagi selepas sarapan ala kadar di bilik dan bawa bekal roti inti daging yang dibeli semalam serta buah-buahan, kami terus tempah Didi untuk bawa kami ke stesen kereta api Chengdu.

Kami tiba di Xian kira-kira jam 11 pagi dan ingatnya sempatlah untuk suami pergi cari masjid untuk solat Jumaat, tapi rupanya nak cari hotel jadi berpusing-pusing satu Xian hahaha.

Dipendekkan cerita, dalam perjalanan yang panjang, suami tak sempat pun nak ke masjid untuk solat Jumaat. Sudahnya solat jama’ lah kami berdua suami isteri di bilik hotel.

Kami duduk di Pinyu Hotel dekat dengan Ancient City Wall. Cuma seberang jalan saja. Jadi ambil kesempatan juga untuk berjalan ke kota lama ini. Ingatkan nak masuk ke dalam kota, tapi disebabkan cara membeli tiketnya ini 100% menggunakan aplikasi dan tidak tourists friendly (100% bertulisan Cina) maka kami batalkan niat untuk masuk. Kalau setiap arahan kami terpaksa copy and paste dalam Google Translate, agak makan masa juga sekadar nak beli tiket. Lagipun harga tiket nak masuk juga agak mahal. Jadi bergambar di luar sajalah.

Jadi kami ambil keputusan untuk jalan kaki saja ke Muslim Quarters. Xi’an ni wilayah yang menarik sebab ia adalah antara bandar terawal di China yang menerima Islam hasil kerana ia terletak dalam laluan perdagangan sutera. Masjid pertama yang dibina (Masjid Besar Xi’an) pun dikatakan dibina pada 742 Masihi.

Lepas berehat sebentar di bilik, kami jalan kaki ke Muslim Quarters Xi’an yang terkenal tu untuk jalan-jalan dan cari makan. Macam biasa mi tarik adalah makanan pilihan di China. Beli semangkuk kongsi dua orang. Beli juga roti daging di Xi’an buat alas perut malam nanti.

Kami memang banyak jalan-jalan di Muslim Quarters dan melawat Masjid Besar Xi’an. Cari guna Baidu Map saja. Mungkin sebab aku bertudung, dapatlah masuk ke dalam masjid secara percuma. Kalau tak, setiap pelawat dikenakan charge 25yuan untuk melawat masjid. Kebetulan pula bertemu dengan Imam masjid, dan dia ajak kami beli buku yang dia tulis mengenai sejarah Masjid Besar Xi’an ini.

Masjid Besar Xi’an yang dibina kira-kira 742 Masihi di zaman Dinasti Tang ini juga dikenali sebagai Masjid Huajuexiang kerana ia terletak di lorong Huajue, barat laut Gerbang Gendang, iaitu salah satu tanda mercu bandar Xi’an.

Melangkah masuk ke persekitaran masjid ni, suasana hiruk pikuk di luar terus bertukar tenang. Bunyi bising orang berdagang di luar langsung tak menembusi dinding pagar masjid. Memang automatik terasa tenang. Reka bentuk masjid memang 100% mengikut tradisi Cina. Ada beberapa pintu gerbang yang mewakili setiap abad di mana masjid dibesarkan atau dibaiki.

Salah satu elemen paling menarik di Masjid Besar Xi’an ialah kehadiran bixi iaitu makhluk mitos seperti kura-kura yang sering ditemui di kuil-kuil Konfusianisme. Mungkin ada yang keliru sebab dalam Islam rekaan berunsur haiwan tidak dibenarkan sama sekali apatah lagi sekiranya dibuat di dalam masjdi.

Tapi di masjid ini terdapat batu bersurat (stelae) dipasang di atas belakang bixi sebagai sebahagian daripada seni bina kompleks masjid. Ia melambangkan percampuran agama dan kepercayaan tradisi tempatan. Dalam mitologi Cina, kura-kura adalah salah satu daripada Empat Haiwan Langit, mewakili arah Utara serta melambangkan umur panjang dan kestabilan. Penempatan bixi dalam masjid mencerminkan penghormatan terhadap elemen simbolik ini.

Walaupun Masjid Besar Xi’an ialah tempat ibadah utama bagi masyarakat Islam tempatan, penggunaan elemen tradisional seperti bixi memperkayakan lagi nilai sejarah dan kebudayaan tapak ini. Ia bukan sahaja tempat sembahyang, tetapi juga lambang interaksi harmoni antara dua tamadun agung, Islam dan Cina.

Kawasan di sekitar Muslim Quarters ini memang terkenal sebagai kawasan tarikan pelancong dalam dan luar negara. Lain betul suasananya yang lebih tenang ketika kami mula-mula tiba di sini pada hari Jumaat. Hari Sabtu ramai sungguh orang berkunjung di sini.

Bila di Xi’an ambil lah peluang untuk mencuba banyak jenis makanan di sini. Memang syurga makanan halal di China. Selain roti inti daging yang juga terkenal di Malaysia kala ini, ada macam-macam makanan yang dijual di sini. Sotong bakar antara makanan yang suami cuba. Dan yang lebih menarik dan jarang ditemui di tempat lain – Coklat-coklat buatan Rusia.

Aku memang pernah tengok video orang Cina yang suka beli coklat-coklat buatan Rusia yang dibawa masuk ke Cina. Jadi bila jumpa kedainya, aku ambil peluang beli satu dua jenis coklat Rusia. Rasanya mungkin kurang daripada coklat premium Belgium atau mungkin Cardbury, tapi menarik juga dapat merasa coklat dari Rusia ini.

You might also enjoy