MERAH BUNGA KERTAS 4

Share this article

DALAM HIDUP KITA ada perkara yang kita memang kena lawan habis-habisan, tak boleh bagi chance langsung,” kata Hanif. Dia merenung gelas teh tarik yang isinya tinggal separuh.

Gelas itu kemudian diangkat dan isinya diteguk sedikit. Dia meletakkan kembali gelas di atas meja. Tepat di atas bulatan sisa air teh yang mengalir dan melekat di atas meja plastik empat segi warna merah.

“Tapi ada perkara juga yang kita, walaupun tak suka, perlu kita terima seikhlas hati. Perlu reda.”

Hafiz pandang wajah abang sulungnya dalam-dalam. “Maksud kau?”

Hanif angkat wajah pandang Hafiz. Pandangan mereka bertaut seketika. Dia tersengih. “Kau terima ajelah cadangan mak nak jodohkan kau dengan perempuan yang dia suka tu.”

“Eh?” Hafiz beliakkan mata. Dia kemudian berpaling memandang Fadhil yang mendiamkan diri dari tadi.

Mereka bertiga duduk di warung kopi Pak Senan di hujung jalan. Malam-malam begini warung kopi Pak Senan memang sibuk dengan pelanggan, terutamanya anak-anak muda awal 20-an yang suka bersembang hingga dinihari.

Tapi warung Pak Senan ini dikunjungi pelanggan bukan sebab nak melepak saja, tetapi juga sebab nasi lemak pelbagai lauk Pak Senan tu, sedap. Kalah Nasi Lemak Antarabangsa yang dah difrancaiskan sekarang ni. Harganya pun jauh lebih murah.

“Aku dah 30 tahun. Tak patutkah aku buat keputusan aku sendiri fasal siapa jodoh aku?” soal Hafiz. Soalan itu sebenarnya tidak ditujukan kepada sesiapa pun. Dia cuma menyatakan fakta dari sudut kata soal.

“Silap.” Tiba-tiba saja Fadhil bersuara. “Hal jodoh dan mati itu urusan Allah. Kita cuma perlu berusaha untuk mendapatkan yang terbaik.”

“Adoyai!” Hafiz terjerit kecil. “Boleh tak? Aku tak nak kahwin dengan tukang jahit tu.”

Fadhil dan Hanif saling berpandangan. Isy! Umur saja sudah menjangkau 30 tahun, tapi perangai macam budak umur 13 tahun. Tak matang langsung!

“Kau ni memang dah tetap hatilah ni nak kahwin dengan Safia?” soal Hanif. Hal cinta ni memang sulit, Hafiz pula seorang yang degil. Ah! Anak-anak mak ni, siapa yang tak degil?

“Aku memang nak kahwin sangat dengan Safia,” jawab Hafiz.

“Safia nak kahwin dengan kau?” soal Fadhil pula. Dia memandang tajam wajah Hafiz. Sibuk sangat nak kahwin dengan Safia, tapi betulkah wanita itu mahukan si Hafiz?

Hafiz terdiam. Safia masih boleh dipujuk menjadi isteri Hafiz dengan bersyarat. Safia akan jadi isteri Hafiz sekiranya semua orang, termasuk ibu Hafiz merestui perkahwinan mereka.

“Safia okey, tapi… dia kata kami mesti dapat restu semua orang,” jawab Hafiz jujur. Walaupun dia sudah berusia 30 tahun, dia masih lagi punya keluarga, punya abang dan kakak, dan yang paling penting sekali, punya emak.

Huh! Matang lagi Safia kalau nak dibandingkan dengan Hafiz, fikir Hanif. Ah! Mungkin kerana Safia sudah mengalami hidup berumah tangga, bukan macam Hafiz yang masih lagi bujang trang tang tang!

Hafiz mendengus. Sedegil-degil dia, dia masih lagi belum menderhaka kepada ibunya. Dan dia tidak mahulah mulakan penderhakaan yang pertama dengan mengahwini perempuan tanpa restu orang tua. Tak aman hidup. Ataupun nanti kena sumpah jadi batu macam Si Tanggang atau Si Malin Kundang.

“Kalau macam tu, kau terima ajelah pilihan mak,” usul Fadhil.

“Macam mana aku nak terima, kalau hati aku sendiri tak boleh terima perempuan tu?” soal Hafiz. Dia memandang wajah Fadhil. “Ini perkara seumur hidup, pengembangan zuriat. Bukan hal seminggu dua!”

Fadhil tersengih. Mungkin tak ramai lelaki macam dia dan Hanif yang boleh terima sesiapa saja jodoh mereka yang telah ditetapkan Allah dan direstui oleh ibu bapa masing-masing.

Fadhil tak berapa memilih tentang jodoh. Yang penting ibu bapanya setuju dan dia pun setuju dengan pilihan itu kerana dia tahu ibu bapanya pasti akan memilih seorang wanita yang patuh pada ajaran agama. Itu yang penting!

Tidak ada ibu bapa dalam dunia ini yang mahu anaknya menderita.

“Apa kurangnya perempuan yang mak pilih untuk kau tu?” soal Hanif. Dia mengangkat gelas teh tarik. Isinya dihirup hingga habis.

“Bukan kurang tapi lebih,” jawab Hafiz acuh tak acuh.

“Lebih? Baguslah kalau banyak kelebihan…”

“Kelebihan lemak.” Pintas Hafiz. Dia menjegilkan mata. “Gemuk!”

Hampir tersembur teh tarik Hanif. Cepat-cepat dia telan. Dia terbatuk-batuk hingga matanya berair. Fadhil di sebelah sudah ketawa berdekah-dekah.

“Gemuk sangat ke?” soal Hanif setelah batuknya reda. Dia menarik sehelai tisu dari tempat tisu berbentuk bulat, warna merah jambu. “Gemuk gedempol?”

Sekali lagi ketawa Fadhil meletus. Dia ketawa sampai tertunduk-tunduk kepala.

Hafiz turut ketawa melihat gelagat abang sulung dan abang iparnya. Kedua-dua mereka menarik tisu lagi lalu mengelap mata yang berair.

“Tak adalah gemuk gedempol,” kata Hafiz setelah tawanya reda. “Tapi tak menarik langsung.”

“Maksud kau, tak ada potongan badan?” soal Hanif lagi. Sudah alang kepalang bercerita, biarlah sampai dia faham… hehehe.

“Bukan tak ada potongan badan… tapi, jenis yang tak pandai bergaya. Ada juga orang yang tembam ke gemuk ke, tapi masih lagi nampak menarik sebab tahu bergaya. Ini baju kurung dengan tudung ala mini telekung. Susahlah nak buat lelaki terpikat,” jawab Hafiz dengan selamba.

Hanif dan Fadhil berpandangan. Akhirnya Fadhil berdeham.

“Kau nak cari isteri ikut nafsu ke ikut sunnah Rasulullah Sallallahualaihiwasallam?” soal Fadhil. “Dinikahi seorang isteri itu kerana empat perkara; harta, keturunan, kecantikan dan agamanya, tapi pilihlah agamanya, nescaya akan bahagia.”

“Bukan tak boleh pilih atas sebab harta, keturunan atau kecantikan sebab kita memang diberi kebebasan memilih, tapi ada juga hadis yang mengingatkan kalau kecantikan atau harta yang dipilih sebagai kriteria utama, Allah boleh lenyapkan semua dengan sekelip mata saja. Tapi kalau memilih agama sebagai tunjang, Allah akan kurniakan harta dan kecantikan.”

Hanif menganggukkan kepala tanda setuju. “Tak silap aku hadis yang di riwayat Baihaqi pun ada ingatkan juga, lebih kurang macam ni… kalau pilih hamba sahaya yang hitam itu pun lebih baik, asalkan dia beragama.”

“Hm… itu yang penting sebenarnya Hafiz. Kami tak larang kau kalau kau nak beristerikan Safia tapi kenalah dengan kehendak agama. Jangan belakangkan orang tua sebab tanpa restu orang tua, hidup kau tak berkat,” kata Hanif.

“Haah, dan carilah calon seperti yang disarankan oleh Rasulullah Sallallahualaihiwasallam, insya-Allah hidup kau akan terjamin,” kata Fadhil pula.

Lama juga Hafiz diam cuba mencernakan nasihat-nasihat dari abang dan abang iparnya. Kemudian dia memandang mereka satu persatu.

“Ikut sunnah?”

Fadhil mengangguk. Hanif turut menangguk perlahan. Matanya memicing memandang wajah adiknya.

“Kalau ikut sunnah Rasulullah…”

“Sallallahualaihiwasallam,” sahut Fadhil dan Hanif serentak.

“Sallallahualaihiwasallam,” jawab Hafiz. “Maknanya… aku bolehlah…”

“Poligami?” soal Hanif sudah dapat meneka.

Hafiz tersengih.

“Isy! Budak ni!!”

– Bersambung –

Bahagian 5

#sunnah #poligami #payungemas #reda #merahbungakertas #novel #khairynothman

You might also enjoy

KE DUBLIN

Isnin lepas, saya mengendeng ikut ‘housemate’ pergi ke menyeberang laut

DESTINASI TERAKHIR: MANCHESTER

Jumaat: 18 Mac 2022 HARI NI KAMI tinggalkan Glasgow dan mulakan perjalanan ke Manchester pula. Ini bandar terakhir kami di UK sebelum…

DUNEDIN, IBU KOTA SCOTLAND

Rabu: 16 Mac 2022 BAS KAMI KE Edinburgh bertolak jam 9.40 pagi. Awal pagi kami dah ke Buchanan Bus Station untuk naik bas ke ibu kota…

HELLO GLASGOW!

Selasa: 15 Mac 2022 INILAH TEMPAT JATUH bangun selama 5 tahun. Banyak kenangan pahit manis di sini. Bandar yang menyatukan kami yang ke…

BYE HULL, SAMPAI KETEMU LAGI

Isnin: 14 Mac 2022 TIBA MASA KAMI tinggalkan bandar York dan pasangan yang dah jadi keluarga angkat aku. Hari ni kami akan ke Glasgow…

KOTA DI BALIK TEMBOK

Sunday: 13 Mac 2022 HARI NI KAMI ke York pula. Asalnya nak cari carboot tapi memandangkan masih lagi dalam bulan musim sejuk, belum ada…

KNARESBOROUGH PEKAN FAIRY TALE

Sabtu: 12 Mac 2022 HARI NI KAMI ke Knaresborough. Tempat ni lebih kurang 70 batu jauhnya dari Hull. Jadi, pagi lepas sarapan, kami pun…

PERJALANAN KE HULL

Jumaat: 11 Mac 2022 JAM 6AM, KAMI dah sedia nak keluar heret beg ke stesen kereta api King Cross. Pembantu hotel kata, tak perlu buat…