“LAGIPUN AWAK SUDAH ada pengganti saya, bukan?”
Soalan dari Hafiz menyebabkan Asma angkat muka dan tenung wajah suami dengan penuh tanda tanya.
“Pengganti?” soalnya bingung.
“Ya, tadi saya tengok awak balik berhantar. Tak pernah-pernah sebelum ini awak balik berhantar. Lagipun saya tidak terima apa-apa mesej dari awak mengatakan ada orang akan hantar awak balik,” kata Hafiz menyindir, mengulang soalan sinis yang diutarakan awal tadi.
Asma melemparkan satu senyuman hambar. “Awak nak ceraikan saya?” soalnya.

“Saya tidak sebutpun soal cerai. Kenapa awak bangkitkan fasal cerai? Awak mahu saya ceraikan awak?” soal Hafiz lagi. “Saya tidak ada masalah, tapi nanti awak sendirilah yang kena jawab kenapa awak minta cerai.”
Asma rasa tiba-tiba kepalanya berdenyut. Jantungnya usah disebut, memang sudah sakit sejak awal-awal lagi. Terkesan sungguh dia dengan tuduhan Hafiz itu.
Asma terus beristighfar dalam hati. Ingat Tuhan, As. Jangan diikut hati yang sakit, jiwa yang tertekan, kelak kau dapat hadiah dosa percuma dari Allah SWT.
“Yang hantar saya pulang tadi itu Syukri, tunang pekerja saya, Ramlah,” jawab Asma tenang. “Mereka nampak saya tunggu bas seorang diri dalam hujan. Lepas hantar Ramlah pulang, Ramlah minta tunangnya hantarkan saya pulang kalau saya masih lagi menunggu bas seorang diri di situ.”
Asma tenung lagi wajah suaminya. “Saya tidak pernah minta awak ceraikan saya. Tapi, kalau suami sendiri tidak mahu tahu, bertanggungjawab ambil peduli keselamatan atau kebajikan isteri sendiri, apalah salahnya kalau ada orang lain yang bimbangkan diri saya?”
Pedas. Menikam jauh ke sanubari, membuatkan Hafiz tersentak. Sudah pandai melawan sekarang ini ye, Asma?
“Saya harap awak tidak buat lagi. Naik saja bas, jangan minta orang lain hantar awak pulang. Tolong jaga air muka saya sebagai suami…”
“Bagaimana dengan air muka saya sebagai isteri? Awak keluar rumah juga tidak beritahu saya. Apa saya nak jawab kalau emak tanya awak ke mana?” soal Asma. Ada getaran di hujung ayat. Sabarlah wahai hati.
“Jawab saja saya dengan Safia.”
“Sampai hati awak cakap macam tu dengan saya….”
Hafiz tersenyum kecil. Mengejek. “Awak dah suka saya ke? Dah mula jatuh cinta?”
Hampir berderai air mata Asma saat itu. Perlukah dia nafikan demi menjaga air muka atau perlukah dia buang semua egonya dan mengaku serta menerimanya.
Entah, Asma bukan seorang yang pandai mainkan perasaan orang, apatah lagi orang itu suami sendiri. Bukankah Asma tidak pernah bercinta?
Akhirnya Asma angguk. “Ya,” jawabnya ringkas. Dalam hati dia menyambung: Saya sudah sayangkan awak.
“Jadi sungguh awak tak nak bercerai? Sanggup bermadu?” soal Hafiz dengan nada mengejek lagi. “Atau sebab awak tak nak keluar dari rumah ni? Tapi, saya tak tahulah Safia mahu bermadu dengan awak atau tidak. Kalau saya kahwin dengan Safia pun, sudah pasti saya nak tinggal dengan dia. Awak sanggup ke?”
Kali ini Asma angkat muka dan tatap wajah Hafiz sedalam-dalamnya. Kata-kata Hafiz itu bak pisau yang menusuk ke dalam jantungnya. Dirobek dari atas hingga ke bawah. Hampir terbelah.
“Saya orang susah dan sudah biasa hidup susah. Kalau awak tak izinkan saya tinggal di sini, saya tak ada masalah untuk keluar dari rumah ni.
“Dalam hal ini, Allah beri keistimewaan kepada suami. Poligami itu halal dan kuasa menceraikan juga di tangan suami.
“Jadi, setiap keputusan di tangan awak, tapi selama saya menjadi isteri awak, awak tetap ada tanggungjawab terhadap saya. Itu janji awak pada Allah, pada saya, dan awak tidak boleh nafikan hak saya sebagai isteri awak,” ujar Asma dengan lancar.
Namun, sendu yang ditahan, tetap terbabas. Setitis air mata akhirnya gugur mengalir ke pipi. Dibiarkan saja ia mengalir, biar Hafiz lihat sendiri. Tafsir sendiri.
Asma rasa hatinya hancur lumat kala itu. Sampai hati Hafiz sakitkan hatinya macam itu sekali. Apakah Hafiz tidak tahu menyakitkan hati isteri tanpa sebab itu juga sudah dikira berdosa?
Apakah Hafiz tidak tahu menjaga maruah isterinya sendiri?
Asma angkat punggung dan terus berjalan meninggalkan Hafiz di situ. Walaupun hatinya hancur, dia belum ada kekuatan untuk berdepan atau menderhaka kepada suaminya sendiri.
Bukan, bukan Asma lemah tapi Asma tidak mahu mengeluarkan kata-kata yang akan membuatkan dia menyesal di kemudian hari nanti.
– Tamat. Sila Dapatkan Edisi Cetak Terbitan Jemari Seni –
#hatiluka #poligami #cerai #novelcinta #cinta #novel #khairynothman #merahbungakertas #jemariseni