Tertangkap Berkubang
“BOLEH TAK JANGAN kacau kita orang? Abang Arman ni selalu dengki kat kita orang. Nak main pun tak senang!”
“Dengki!”
“Busuk hati!”

Arman tenung wajah tiga dara pingitan di hadapannya. Dia berdiri di ban sambil bercekak pinggang. Setiap seorang dia beri tenung maut. Pandangan tajam diberi lebih lama kepada Khalida.
“Tak kuasa aku nak kacau…” Dia pandang Khalida.
“Dengki.”
Pandangan dialihkan kepada Asma yang acah-acah berani tetapi sebenarnya penakut. Nasib baik ada Khalida dengan Ati, beranilah sikit budak ni.
“Atau busuk hati.” Kali ini ‘tenungan’ maut ditala kepada Ati. Gadis yang tak makan saman. Taiko yang mengajar budak berdua ni buat benda-benda yang tak pernah dia orang buat sebelum ini.
Mastermind yang kalau tak dikawal dari sekarang, akan membesar menjadi ketua mafia yang bakal jadi buruan polis di kampung yang sebelum ini aman damai.
“Aku cari kau orang ni pun sebab ayah suruh. Dari hujan turun sampai berhenti tak nampak muka kau orang… rupanya main hujan, berkubang, macam kerbau!”

Arman pandang ketiga-tiga ‘adik perempuannya’ yang basah kuyup dan berdiri macam patung cendana. Badan dan pakaian masing-masing kotor dek lumpur.
Yang paling kotor sekali pastinya si Asma. Seluruh badan terpalit lumpur. Rambutnya juga sudah rupa orang Rastafari Jamaica.
Kenal Bob Marley dengan rambut bertali-tali? Hm… macam itulah rambut si Asma kala ini. Memang akan kenalah dengan ayah, budak-budak ni.
“Baik kau orang balik sekarang dan bersedialah kena sebat dengan ayah,” kata Arman dengan tenang. Di hujung bibir tersungging sebuah senyuman kecil. Mengejek.
Dia mengangkat basikal lalu berpusing 180 darjah. Dengan hati senang dan siulan yang menjengkelkan, dia mengayuh basikalnya meninggalkan tiga sahabat yang terpinga-pinga.
“Habislah kita, As. Ayah mesti mengamuk dengan kita,” kata Khalida lalu menarik tangan Asma naik ke atas ban. Ati mengekor dari belakang.
Muka Asma sudah berubah. Nak menangis. Malah sudah menangispun. Laju sahaja air matanya jatuh menuruni pipi.
Gerun hatinya apabila memikirkan ayah akan sebat mereka dengan rotan yang selalu dibiarkan tersepit dekat para Al-Quran.
“Kau kena tolong aku Khalid. Jangan biarkan ayah sebat aku. Lagipun kau yang tolak aku masuk kubang,” kata Asma. Dia mengelap muka dengan t-shirt yang kotor.
Khalida tersengih. “Nanti aku usahakan. Tapi, kalau ayah marah juga, sama-samalah kita tadah bontot ye?”
Ati mengangguk. “Aku tak kisah kalau ayah nak sebat bontot aku. Aku yang tarik korang main hujan, lepas tu berkubang dalam sawah.”
Khalida menggenggam tangan Ati dan Asma. “Kita kan sahabat. Kita main sama-sama, kita kena hukumpun sama-sama.”
Asma tarik nafas dalam-dalam dan dikeluarkan perlahan. Semangatnya naik tinggi mendengar ikrar Khalida itu.
Namun, dalam hati dia berdoa, janganlah Khalida paling tadah nanti bila berdepan dengan muka garang ayah.
Memang sungguh seperti yang diduga. Ayah sudah menyambut kepulangan mereka dengan rotan di tangan.
Ayah tak perlu cakap apa. Dia hanya berdiri di anjung dengan rotan sepanjang sedepa di tangan kanan.
Asma memang cukup gerun dengan rotan ayah. Bunyi berdesing ketika rotan dilibas atas angin saja sudah boleh buatkan dia menangis. Itu belum lagi kalau rotan singgah di punggungnya, mahu meraung dengar satu kampung.
Belum sempat ayah tanya, Asma sudah buka mulut.
“Maafkan kami ayah! As, Khalid dengan Ati main hujan tadi…. Maafkan kami ayah.. Maafkan kami. Ayah jangan rotan ye, ayah!” Asma sudah merayu-rayu. Air mata berjujuran menuruni pipi yang comot.
Wajah ayah tidak berubah. Wajah anak-anak perempuannya itu ditenung satu persatu.
“Kalau ayah tak suruh Arman cari kamu bertiga, agaknya kamu tak balik lagi sampai sekarang!” jerkah ayah.
Sekonyong-konyong itu Arman keluar dan duduk di tangga kayu yang menyambung anjung dengan rumah ibu, sambil mengunyah sebiji epal. Macam unta.
Khalida rasa waktu itu mahu saja dia rampas epal itu dari tangan Arman dan campak ke tanah. Mahu saja dia suruh Ati belasah abang yang bukanpun abang kandung mereka itu.
Katanya sudah tingkatan lima, tapi perangai macam budak darjah enam. Suka sangat beri masalah kepada mereka bertiga.
Khalida alih pandangannya kepada ayah. Dia ubah air muka. Biar nampak lebih comel dan lebih polos.
Memang benar kata Asma. Ayah memang ada soft spot dengan Khalida. Mungkin juga sebab Khalida memang yang tercomel antara mereka bertiga, dan mungkin juga Khalida anak angkat pertama ayah dan emak.
Sebab itu ayah lebih sayangkan Khalida.
Khalida lepaskan nafas perlahan-lahan. Dia kebilkan mata dua tiga kali. “Ayah…”
– Bersambung –
Bahagian 3
#kerbau #sawah #berkubang #kubang #novel #khairynothman








