ATI MERENUNG SKRIN komputer dengan penuh tumpuan. Sekejap-sekejap dia tekan tetikus, sekejap-sekejap dia menaip. Setiap arahan yang tertera di skrin diikut satu persatu. Dengan teliti. Apabila dia rasakan semuanya sudah lengkap, dia terus tekan butang finish. Dua saat kemudian gambar di skrin bertukar. Ati rasa macam hendak tepuk tangan kegembiraan. Sukses!
“Dari tadi duk tenung skrin macam nak telan, aku ingatkan buat kerja, rupanya buka akaun Facebook!” Rasa macam jantung Ati melompat naik hingga ke tekak sebelum jatuh balik ke tempat asal. Terperanjat bila disergah dari belakang, macam tu.

“Kerja dah siaplah!” balas Ati acuh tak acuh.
“Oh sebab kerja dah siaplah boleh ber-FB, ye?” usik Linda lagi.
Ati biarkan saja usikan Linda berlalu tanpa balasan.
“Itulah, aku dah kata hari tu, buka akaun FB, kau tak nak. Sekarang ni baru tergerak hati nak buka?” Linda tersengih. “Sebab Jack suruh ke?” usik Linda lagi.
“Aku nak tengok macam mana Khalida kat sana,” balas Ati dengan suara mendatar. Tanpa perasaan. Biarlah Khalida di US yang menjadi alasan dia membuka akaun FB. Tapi, memang betul pun, niatnya membuka akaun FB adalah untuk mengetahui berita terbaru tentang sahabatnya di sana.
Linda terus ketawa lalu berjalan ke mejanya. Tanpa memberitahu Ati, dia segera log-in akaun FB-nya sendiri. Dia lihat ikon bust mempunyai tanda nombor satu berwarna merah. Dia klik di situ. Ati telah add dia sebagai kawan.
Wah, bijak juga Ati, ye? Linda terus klik butang accept. Sedetik kemudian dia klik pula pada profil Ati. Masih banyak yang kosong. Gambar profil pun belum ada lagi. Dengan cepat dia menulis di wall Ati.
Ati yang di belakang pula tersenyum apabila mendapat mesej yang dia sekarang sudah berkawan dengan Linda. Seketika kemudian ikon bumi pula menyala, menandakan ada notification baru. Ati klik pada ikon bumi. Linda menulis sesuatu di ‘dinding’.
– Selamat datang ke FB, my friend ♥ ♥ ♥
Wah! Siap dengan tiga ‘jantung’ diberikan. Ati ketawa kecil.
Dia menulis di bahagian komen;
– Thanks friend.
Tak sampai setengah minit tiba-tiba saja dia mendapat notification baru. Ada angka satu berwarna merah menyala di ikon bust. Ati klik di ikon itu.
Abdul Razak (Jack) request as friend.
1 mutual friend.
Ati kerut dahi. Cepatnya Jack tahu dia ada akaun FB? Matanya merenung skrin komputer dengan rasa tidak percaya. Kemudian pandangannya dialihkan kepada sahabat yang sedang ‘tekun’ mengetuk keyboard. Sah! Ini mesti kerja Linda.
“Cepatnya berita tersebar! Kerja orang tu mengalahkan reporter antarabangsa pula,” sindir Ati.
Linda tak menjawab. Sengaja buat tidak faham walaupun senyuman lebar menghiasi wajah. Apabila dia berpusing menghadap Ati, senyumannya sudah hilang. Hanya matanya saja bersinar girang.
“Cuba tengok sikit, ada aku bukak FB? Aku dah log out dah tau,” katanya dengan suara tidak bersalah. Dia mengebilkan mata berkali-kali. Sebelah tangannya cuba menyembunyikan telefon bimbit.
Memanglah dia sudah log out akaun FB tapi tadi dia telah SMS Jack memberitahu Ati sudah membuka akaun Facebook dan mahu Jack mencari nama Ati Nordin. dan add sendiri Ati sebagai sahabat Facebook-nya.
Ati pandang sekilas ke arah Linda. Dia mendengus perlahan lalu mengalihkan perhatiannya kembali ke skrin.

JACK MERENUNG SKRIN telefon bimbit. Kemudian telefon itu diletakkan di sebelah. Tak sampai seminit, dia ambil kembali telefon pintarnya dan skrol ke ikon FB. Kemudian jari-jemarinya mengetuk-ngetuk stereng kereta. Belum lagi.
Tadi, sebaik saja dia terima SMS dari Linda, dia terus berhentikan kereta di tepi jalan dan buka FB melalui telefon bimbit. Dia taip nama Ati Nordin. dan terus add Ati sebagai kawan. Walaupun belum ada gambar profil, Jack tahu itu Norhayati Nordin sebab dia baru ada satu kawan yang sama, Linda.
Sekali lagi Jack skrol ikon FB. Haish! Tiba-tiba pula connection lembap. Dia terpaksa menunggu lagi. Dia memicingkan matanya membaca tulisan-tulisan kecil yang terpapar di skrin telefon.
– Abdul Razak (Jack) is now friend with Ati Nordin.
“Yes!” Jack menjerit girang.
– Bersambung –
#merahbungadahlia #novel #novelcinta #cinta #khairynothman #atidanjack








