5 – 8 Oktober, 2024
Dari Khiva, kami akan ke Samarkand pula, tapi akan berhenti sehari di Bukhara untuk rehat dan ambil beg yang kami tinggalkan sebelum ke Khiva.
Untuk ke Samarkand dari Bukhara, kami ambil kereta api biasa saja sebab tiket untuk asfrosiyob (kereta api laju) dah habis. Jadi perjalanan dalam 2,3 jam lebih panjang.
Kami tiba di Samarkand Vokzal jam 7.24pm. Stesen kereta api Samarkand ini berganda besar dari Bukhara dan lebih besar dan mungkin juga dari Tashkent North. Untuk ke platform ada laluan bawah tanah, tak perlu melangkah trek kereta api. Tapi itulah, leceh juga naik turun tangga dengan beg-beg yang berat.
Macam di stesen kereta api Bukhara juga, ramai ulat teksi dah tunggu nak ambil penumpang. Agak mencabar juga nak lari dari ulat teksi sebab hari semakin malam dan hujan renyai-renyai pula tu. Tapi, kitaorang tetap hati nak ambil Yandex saja.
Jadi, sebaiknya korang kalau dalam situasi yang sama macam kami, tenang-tenang saja dan cari tempat yang jauh dari stesen kereta api untuk ambil Yandex. Kami jalan ke simpang yang dekat dengan deretan kedai-kedai dan tunggu di situ untuk tempah dan ambil Yandex.
Aku dah tempah bilik di B&B Emir. Ia guesthouse, orang tua yang uruskan. Oh lupa nak beritahu yang di Uzbekistan, walaupun di tempat-tempat popular pelancong, mereka lebih suka kita bayar guna tunai dan tak kiralah duit sum ataupun USD. Jadi sediakan duit tunai bila di Uzbekistan dan stans seterusnya. Lainlah di Kazakhstan, boleh lagi bayar pakai kad.
Untuk tiga malam di sini kami bayar dalam USD83.26. Bilik taklah besar mana, ada attached bathroom dan ruang sikit untuk solat.
Lokasi memang sangat-sangat best sebab belakang aje dari Kompleks Makam Gur-i Amir Temur. Kira selak langsir dah boleh nampak menara biru makam tu.
Sampai aje malam tu, kami dah fikir nak tidur saja. Tapi, sempat lagi masak indomie dalam periuk kecil. Penat, lapar semua ada. Dalam train cuma makan coklat dengan buah-buahan yang beli di bazar di Khiva saja.






Pagi esoknya, kami turun makan sarapan pagi. Kami book bilik dengan sarapan sekali jadi dah tak payah kalut nak cari makan sampai tengah hari. Tempat makan pun di basement. Best juga tempat ni recommended. Cuma sarapan selama 3 hari tu sama ajelah ye. Asyik telur, telur dan telur. Sampai sekarang aku jadi menyampah dengan telur mata haha
Misi hari ni nak cari tempat dobi baju. Baju kotor dah tak boleh nak recycle lagi, memang kena basuh. Berbekalkan Google Map kami berjalan dekat 2km ke Jalan Namozgoh (Улица Намозгох). Susah juga nak cari dobi yang buka hari Ahad tu.
Sambil-sambil jalan, tengok juga kehidupan orang tempatan di Samarkand. Hari Ahad memang hari rehat di Samarkand yang sesuai untuk orang tempatan duduk lepak sama kawan-kawan atau adakan kenduri kahwin. Berjalanlah kami dengan angkut baju-baju kotor dan berbekalkan senyuman dan ucapan Assalamualaikum hehehe
Selesai urusan menghantar pakaian untuk didobi, kami berjalan pulang, singgah pula di perkuburan (asyik lawatan ke makam aje kan, kita ke kubur bagi insof lagi). Unik betul batu nesan di sini, diukir dengan nama dan gambar si mati. Lagi besar batu nesan, lagi tinggi darjat si mati. Memang menarik dan cantik juga kawasan perkuburan ni.





Samarkand macam Bukhara juga, banyak tempat menarik yang boleh dilawati. Bangunan seni reka bentuk Uzbekistan memang sangat-sangat cantik. Destinasi pertama kami ke Bibi Khanum Mosque. Kedudukannya dekat dengan Bozor Siyob.

Bazar Siyob ni pun tempat tumpuan pelancong juga. Korang kalau suka pinggan-pinggan Uzbek lukisan tangan, boleh tengok di sini juga. Harga juga bergantung kepada kekemasan dan tukang yang buat lukisan. Hati-hati juga di sini, ramai peminta sedekah. Cuma sekali bagi nanti ramai yang datang.Siapa nak cari baju tradisional pun kat sini banyak. Peniaga pun tiba-tiba ramai pula yang pandai cakap Melayu. Hahaha. Siapa kata Bahasa Melayu ni susah nak belajar. Mana-mana pergi mesti akan ada peniaga yang pandai berbahasa Melayu.
Lazimnya di bazar, ada aje yang jual buah-buahan, kekacang dan barang-barang keperluan lain. Cuma kat sini lebih bersih dan lebih tersusun berbanding di Khiva, dan lebih kecil sedikit berbanding di Bukhara.
Kami pun ambil kesempatan makan kat kedai makan yang ada di sini. Dapatlah suami cuba balik (ikan) goreng yang dia memang teringin sangat. Yang lain macam biasa, plof dan laghman dan minum air teh. Satu lagi kalau ke Uzbekistan, jangan lupa cuba jus ceri. Memang sedap dan bagus untuk cuci perut hehehe
Lepas makan tengah hari di sini, kami jalan balik ke Bibi Khanum Mosque dan jalan-jalan di situ pula. Lepas jalan-jalan di bozor, kami masuk ke Bibi Khanym Mausoleum. Bayaran masuk 80,000sum untuk 2 orang. Bibi Khanym ni isteri Emir Timur yang satukan semua negara stans zaman dulu. Memang cantiklah tulisan kaligrafi Arab dan Al Quran kat dinding mausoleum tu. Sebenarnya struktur bangunan bersejarah ni banyak dah rosak tapi mereka restore balik kepada asal untuk jaga Sejarah peninggalan Emir Timur.










Ada satu lagenda berkenaan Bibi Khanym ni. Dia sebenarnya isteri Sultan Timur (yang menyatukan negara Stans sebelum ni) dan mahu membina masjid paling megah. Dia arahkan arkitek terbaik untuk bina projek tu tapi lelaki tu jatuh cinta dengan Bibi-Khanum yang jelita dan enggan menyiapkan projek tu tanpa dapatkan satu ciuman.
Bibi-Khanum kemudian bawa 40 biji telur yang dicat berwarna-warni dan menunjukkan bahawa walaupun luarnya berbeza, isinya tetap sama. Dia tawarkan gadis-gadis lain kepadanya, tetapi si arkitek menolak, sambil berkata bahawa jika dia mempunyai 40 baldi air dan satu baldi berisi wain, hanya yang berisi wain yang dapat menarik perhatiannya. Kalah dengan hujahnya, Bibi-Khanum akhirnya bersetuju untuk memberinya satu ciuman di pipi.
Tepat sebelum dia sempat menyentuhnya, dia meletakkan bantal di antara mereka, tetapi ciuman lelaki itu begitu penuh semangat hingga tetap meninggalkan kesan di pipinya. Malu dengan tanda itu, sang permaisuri mengarahkan semua wanita untuk menutup wajah mereka.
Bila Timur tahu fasal ciuman itu, baginda mengarahkan kedua-duanya dihumban dari puncak menara. Namun, saat arkitek itu berdiri di atas menara, tiba-tiba sayap muncul di bahunya dan dia terbang pergi.
Sementara itu, Bibi-Khanum meminta izin untuk memakai semua gaun sutera miliknya sekaligus. Maka, apabila dia terjun, pakaian-pakaian itu berfungsi sebagai kusyen atau mungkin juga seperti payung terjun, menyelamatkannya daripada maut.
Dari mausoleum kami jalan ke Registan Square pula. Yang ni entrance fee dia mahal sikit sebab ada 3 bangunan besar dalam tu. Entrance fee dia 130,000 sum untuk 2 orang. Bangunan yang pertama dinamakan Ulugh Beg Madrasah. Dibangunkan oleh anak Emir Timur Ulugh Begh ni sebab beliau sendiri seorang ahli matematik dan astronomer. Seberang madrasah Ulugh Beg ni, satu lagi madrasah Sher-Dor Madrasah, dibina selepas madrasah Ulugh Beg oleh emir Samarkand baru Yelangtush Bahadur pada 1612. Kat Tengah-tengah tu pulak, Tilla-Kori Madrassah dibina 10 tahun selepas Sher-Dor Madrassah.
Waktu malam kami datang balik ke Registan Square ni sebab nak tengok pertunjukan lampu. Kami duduk-duduk aje kat tanggah yang menghadap ke Registan Square ni sama-sama dengan pelancong-pelancong negara lain. Persembahan bermula jam 8pm selama setengah jam. Bawaklah alas kotak ke atau kain tebal sebab lantai marble kat dataran tu sejuk bila malam.
Esoknya kami ke Panjakent. Ok yang ni cerita lain pulak.
Hari terakhir kat Samarkand, kami ke Emir Timur Mausoleum. Sebab dekat sangat dengan hotel, hari nak balik barulah masuk. Kami pergi awal. Jam 9.30am kitaorang dah beratur beli tiket masuk. Harga 80,000sum untuk dua orang.






Emir Timur ni ketua yang disukai dan disayangi rakyat. Dia pula sangat sayangkan gurunya. Jadi bila dia mati, dia minta dikuburkan sama dengan gurunya. Besar kubur gurunya, Emir Timur ni dikuburkan di bahagian kaki gurunya. Kesemua kubur ni batu jade putih tetapi kubur Emir batunya onyx hitam. Simple aje. Cuma warna membezakan kuburnya dengan kubur yang lain.
Lepas ziarah kubur Emir, kami ke Shah-I-Zinda pula. Ini pun kompleks makam-makam diraja keturunan Emir Timur dan panglima dan orang-orang penting. Tapi yang mesti korang lawat, kubur Kusam Ibn Abbas, sepupu Rasulullah SAW.








Rasulullah pernah beritahu, sekiranya sesiapa yang mahu tahu bagaimana perawakan dan perwatakan baginda, lihatlah pada Kusam Ibn Abbas. Alhamdulillah.
Yang lain-lain makam pun eloklah dilawat dan sedekahkan Al-Fatihah pada mereka yang dikuburkan di sini walaupun siapapun mereka. Kadang-kadang sedih juga tengok kubur jadi daya tarikan, dengan orang bukan Islam yang tak jaga aurat dan jaga adab melawat kubur. Tapi, kita doakan yang baik-baik saja untuk mereka.
Oh ya, jangan bimbang jugak kalau korang nak solat, sebab kat sini pun ada musolah untuk kita solat bila sampai waktu. Cuma kalau nak ambil wudu’ tu kena keluar dari komopleks dan masuk ke dalam WC, ada tempat wuduk khas kat situ. Nak solat, patah balik ke kompleks. Lelaki ada tempat solat di pintu masuk, yang Perempuan kena naik tangga ke arah makam, dalam 5 steps, masuk ke bangunan sebelah kiri, ada tempat solat. Kalau tak tahu, tanya guard kat situ, mana tempat nak namaz?