LUANG PRABANG, LAOS

Share this article

28 Ogos 2024

Kenderaan: Kereta api🚂

Dari hotel, kami ambil transport ke Stesen Kereta Api Vientiane sebab kami akan ke Luang Prabang menggunakan kereta api laju ke Luang Prabang. Stesen di tengah-tengah bandar. Sengaja kami ambil shuttle untuk mudahkan ke sana. Untuk shuttle kami terus saja booking siap-siap dengan staff di hotel.

Stesen kereta api Vientiane tidak sebesar Stesen Kereta Api Khamsavath, tapi cukup moden. Sebelum masuk, beg akan discan dan pegawai buat security check macam di airport juga. Dalam setengah jam sebelum kereta api tiba, penumpang sudah mula beratur untuk masuk ke platform.

Perjalanan ke Luang Prabang ni sekitar 2 jam sahaja. Tiket kereta api pun aku dah beli dari aplikasi 12GoAsia juga. Gunakan QR Code yang diberikan selepas pembelian tiket untuk scan masuk ke platform dan no seat train. Macam biasa, terpisah lagi kami berdua ni.

Kereta api laju ni menyambungkan Vientiane ke Luang Prabang dan seterusnya ke Kunming. Tapi, sebelum tiba ke Kunming, kereta api berhenti di Vang Vieng juga. Kereta api memang penuh. Tak tahulah mungkin sudah nak masuk pengakhiran musim panas, tapi memang pelancong dari Barat ramai yang turun dan naik dari Vang Vieng untuk ke Luang Prabang.

Kami tiba di Stesen Luang Prabang dalam jam 3 petang. Dan keluar saja dari stesen kami terus ikut saja orang ramai yang berjalan turun ke tempat meletak kereta sebab di situ van-van untuk bawa penumpang ke pekan Luang Prabang sudah menunggu. Naik saja mana-mana van, beritahu pemandu nama hotel dan apabila penuh, pemandu akan terus bergerak ke pekan.

Harga tiket untuk seorang adalah 40K dan pemandu akan bawa terus atau hampir ke hotel. Kami ambil Queen’s House. Agak mencabar juga nak cari lokasinya sebab terletak dalam lorong-lorong kecil tapi bila dah jumpa dan diberi bilik, seronok tengok bilik yang besar betul. Harga pula tak sampai RM100 untuk satu malam. Harga hotel di Luang Prabang memang variasi, sesuai dengan poket masing-masing

  • Queen’s House, Sisavangvong Road, Luang Prabang 00600, Laos

Alhamdulillah, bilik kami sangat luas dan selesa. Hotel ni pun masih baharu rasanya sebab fasiliti pun cantik lagi. Kedudukan pun ok sangat. Boleh berjalan kaki ke tepi sungai Mekong, pasar pagi dan pasar malam.

Pasar malam di sini lagi ‘sopan’ dari di Vientiane yang bingit dengan muzik yang kuat. Di sini lebih aman dan barang-barang yang dijual walaupun banyak barang komersial macam baju, seluar, kasut, tapi ada juga barang-barang cenderahati yang diperbuat daripada loyang, tembaga dan macam-macam lagi.

Hari pertama di Luang Prabang, kami tak buat apa sangat. Rehat saja sebab masih kepenatan. Sampai dalam jam 3.30pm, tiba di hotel dah jam 4pm. Jadi solat jama’ terus rehat. Buat pertama kali suami guna periuk karan buat masak mi instant. Kami cuma arrange untuk dapatkan motor esok hari untuk buat jalan-jalan pusing pekan. Malam pula, kami jalan-jalan saja di pasar malam yang tak jauh dari hotel. Beli air buah di sini murah saja, dalam 20K satu gelas plastik besar.

Pagi esoknya kami sarapan dulu sebab harga bilik dah termasuk dengan sarapan sekali. Sarapannya pun mewah. Ada beberapa menu disediakan dan setiap menu airnya mesti air buah. Memang sangat recommended untuk hotel ni, tapi macam aku cakap tadi, kedudukannya agak tersorok sikit.

Motor yang kami minta sewakan pun dah tersedia. Ada dua jenis motor yang boleh disewa. Untuk yang kecil sikit harganya dalam 120K sehari dan auto dan besar sikit 150K sehari. Cuma yang isi minyak tu agak mahal sikit, dalam 60K untuk penuh. Dahlah tu, aku cuma jumpa SATU saja petrol station di pekan Luang Prabang ni.

Helmet dah pakai, minyak motor dah penuh, jadi inilah masanya nak merempit di pekan Luang Prabang. Ok, pekan Luang Prabang ni sebenarnya tak besar mana pun, bawak motor pun slow-slow je. Kami pusing market lepas tu gi tempat wajib lawat dan pergi cari makan lunch.

Masa di Vientiane dah Google makanan halal di Luang Prabang. Terjumpa satu kedai halal namanya Wat That dan sediakan makanan Melayu Malaysia. Antara makanan yang dicadangkan, ayam masak lemak. Eh seronok pula nak mencari. Di Thailand dah banyak makan tomyam apa kata kita cuba ayam masak lemak di Luang Prabang pula. Pusing sana sini akhirnya jumpalah kedainya di kawasan perumahan. Owner nama Aisyah pernah duduk Kuantan 5 tahun. Walaupun kedainya humble saja dan masakannya ahem! kurang authentic macam aku masak (hahahahaha). Alhamdulillah kenyang.

Misi kedua hari tu adalah pergi cari satu-satunya masjid di Luang Prabang. Kedudukannya berada di luar pekan, perlu menyeberang Sungai Mekong dan melalui jambatan kekuda (truss bridge). Masjid Jamek Luang Prabang ini pun masih baharu. Imam org Bangladesh tapi ada jemaah tabligh dari Malaysia semasa kami tiba di situ. Dapatlah suami solat and berkenalan dengan jemaah tadi.

Tak macam di Eropah, kita bergantung kepada jemaah Islam yang ramai dari pelbagai negara, di sini, biasanya kita terpaksa bergantung kepada dakwah yang dimulakan dari Pakistan dan Bangladesh kerana orang mereka yang rajin merantau, berdakwah dan akhirnya membuka perniagaan di negara yang belum menerima syiar Islam.

Hari kedua pula kami ingat nak ke Air Terjun Tad Sae tapi itulah tak buat research. Rupa-rupanya nak ke air terjun ini, pelawat perlu naik bot ke seberang sungai Nam Khan. Tapi, kalau ke Air Terjun Kuang Si, pelawat tak perlu naik bot seberang sungai cuma kedudukan Perjalanan ke Air Terjun Tad Sae ni ambil masa kira-kira 40 minit dari pekan Luang Prabang dan nak ke air terjun, kena melalui jeti ni pula.

Dalam perjalanan balik tu kami berhenti di pekan baru dan beli buah di gerai tepi jalan. Suami memang suka buah mata kucing dan aku pula suka buah manggis. Jadi kami beli sekilo satu. Tiba di pekan Luang Prabang, kami cari spot bawah pokok duduk tepi sungai sambil makan buah. Terserempak pula dengan adik-adik comel dari Kunming, China yang datang holiday naik kereta api ke Luang Prabang. Kami offer makan buah sekali.

Bagi aku di Luang Prabang ni suasananya tenang walaupun penuh dengan pelancong dari Barat. Dan berjalan di waktu malam di sini pun rasa selamat, walaupun cahaya agak suram sebab ini bukan pekan yang meriah dengan lampu neon.

Nak makan pun tak susah kalau kita bukan jenis yang cerewet makan. Ada aje nasi goreng di kedai halal tepi sungai tu, kalau nak makan agak ringan sikit, ada juga kedai makanan India Muslim yang jual roti pratha dengan kari ayam.

Cuma kita kena faham, di tempat-tempat begini, harganya mungkin agak mahal sikit sebab ia tumpuan pelancong. Kalau nak jimat lagi, jangan lupa bawalah mi segera buat makan untuk alas perut.

Tapi bagi aku dan suami, mi segera ni tak berapa digalakkanlah sebab kami dua orang sudah berpenyakit. Cuma bila terdesak dan kalau dah satu hari berjalan kaki lebih 10,000 langkah, bolehlah dimaafkan. Buat sekali sekala.

Selesai hari-hari di Luang Prabang, esok kami akan teruskan perjalanan ke destinasi seterusnya. Ini satu lagi perjalanan panjang tapi kami tak sabar sebab ini pertama kali kami akan masuk ke negara China melalui jalan darat.

Kalau korang tanya berapa hari yang sesuai untuk berjalan-jalan di Luang Prabang, aku akan jawab: bergantung kepada apa aktiviti yang kau orang nak buat. Kalau yang suka outdoor, mungkin 4 hari yang padat pun dah cukup sebab di sini tarikannya adalah aktiviti alam semula jadi macam pergi ke air terjun dan buat aktiviti sungai. Tapi, kalau kau orang yang santai-santai macam kami, 2 hari sudah memadai.

Tapi aku memang recommend sewalah motor di sini, memudahkan kau orang untuk berjalan ke sana ke mari dan trafik tidaklah terlalu sesak macam di bandar-bandar besar.

Bagi yang dari Vientiane yang nak ke Kunming, memang aku saran sangat-sangat korang berhenti dulu di Luang Prabang sebab perjalanan kalau terus dari Vientiane ke Kunming, China ni sangat-sangat jauh dan memenatkan, walaupun dengan high speed train.

You might also enjoy