31 Ogos 2024
Kami check out dari hotel jam 7:45 pagi sebab katanya van akan bawa kami ke stesen kereta api Luang Prabang dalam jam 8 ke 8.30 pagi. Jadi, sempat lagi untuk ambil sarapan sebelum menaiki van.
Tapi, van bukan angkut kami berdua aje, dia jemput lagi beberapa pelancong yang sama-sama nak ke stesen kereta api Luang Prabang. Agak lambat jugalah sebab van pun terlambat sampai dan kitaorang yang pertama sekali menaiki van. Dalam jam 9 lebih juga baru sampai ke stesen kereta api.
Untuk traveler, aku memang sarankan korang bawa beg haversack kalau nak menaiki kereta api di Laos atau Luang Prabang ke China. Ini sebab bawa beg troli walaupun senang di jalan rata, agak sukar bila nak naik turun tangga walaupun ramp di sediakan untuk beg troli tapi agak sukar juga.






Kami tak jumpa site yang jual tiket kereta api terus dari Luang Prabang ke Kunming, jadi kami terpaksa cari 3rd party apps untuk urusan pembelian. Alhamdulillah berjaya dan dapat tempat duduk berdua, tapi untuk perjalanan yang ini memang agak panjang dan walaupun kau orang dah beli tiket, dan diberi QR untuk online tiket, korang tetap kena dapatkan tiket fizikal dulu.
Untuk perjalanan internasional, merentas sempadan macam ni, bila dah dah dapat tiket kereta api online, korang kena ke kaunter tiket dulu untuk dapatkan tiket fizikal sebelum boleh masuk ke stesen. Kaunter tiket ada di sebelah kanan (apabila kita menghadap ke pintu masuk) bangunan stesen yang sama. Masuk aje ke kaunter tiket, cari kaunter untuk perjalanan antarabangsa, tingkap tiket tu pun di sebelah kanan sekali. Tunjuk tiket online yang korang dah download dan tunjuk sekali passport, nanti dorang akan print. Percuma aje.
Bila sudah dapat tiket fizikal baru boleh masuk ke stesen. Itupun kena scan body dengan beg dulu. Jangan bawa apa-apa barang terlarang, sama macam kalau kita nak naik kapalterbang. Bila semua dah selesai, tunggu kereta api tiba. Dan macam biasa di sini, lagi setengah jam kereta api dijadualkan sampai, orang dah beratur dah nak naik.
Di sinilah mulanya cabaran sebenar bermusafir.
Stesen ini walaupun modern tapi masih baharu jadi banyak fasiliti belum sedia untuk beri kemudahan kepada penumpang yang ramai.
Platform ke Kunming berada di seberang, jadi kami terpaksa turun tangga sambil bawa beg masing-masing. Walaupun beg troli aku tu saiz kabin dan taklah terlalu berat, tapi tetap mencabar untuk bawa turun naik tangga. Kalau aku yang bawa beg saiz kabin ni pun dah termengah-mengah bawa beg naik turun tangga, bayangkan rakyat China, Laos, Thailand, Vietnam yang bawa beg besar-besar nak naik kereta api.
Platform di sini memang terbuka, dan tidak ada larangan merokok macam di Malaysia, jadi bersedia dengan asap rokok berkepul-kepul sekeliling korang. Dan mulalah sesi masing-masing tak disiplin nak naik kereta api. Kenapa dorang macam kelam kabut sangat nak naik? Sebab bila masing-masing bawa beg besar dan banyak dan tempat letak beg pula terhad, mulahlah berebut nak letak beg masing-masing kat bawah. Kami bernasib baik sebab beg masing-masing masih manageable, maka boleh diletak di bahagian atas.







Tak lama dalam kereta api, dalam sejam lebih macam tu, kitaorang dah sampai ke Stesen Kereta Api Boten. Ini juga stesen sempadan Laos. Kat sini korang kena turun dari kereta api, bawa sekali beg masing-masing turun tangga, naik tangga untuk proses selanjutnya. Melalui body and bag scanner, terus ke imigresen untuk stamp keluar dari Laos. Jangan lupa beri keratan VOA (Visa on Arrival) yang dapat masa awal-awal masuk Laos. Selesai urusan, bersegeralah bawa beg turun tangga, naik tangga, masuk gerabak, letak beg di atas tempat beg, duduk dan tunggu penumpang lain semua masuk.
Kereta api bergerak tak lama, sampai pula ke Stesen Kereta Api Mohan dan sekali lagi angkut beg turun tangga, naik tangga, lalu scanner badan dan beg dan beratur pula untuk imigresen China. Ok, kat sini memang lama sebab line memang panjang dan masing-masing kena scrutiny dengan ketat oleh imigresen China. Jangan lupa isi borang VOA di sini. Sediakan pen siap-siap.
Antara yang ramai-ramai tu, cuma kami aje bawa passport warna merah, yang lain kebanyakannya biru saja. Ada juga pasukan bola sama-sama nak ke China, mungkin ada pelawanan persahabatan. Nak tanya lebih pun masing-masing tak faham jadi agak-agak aje lah sebab mereka pakai baju sukan.
Sebab kami muka asing agaknya dan aku pakai tudung, alhamdulillah kami diarah ke kaunter yang staff imigresen boleh berbahasa inggeris, cukuplah untuk faham yang penting-penting saja. Soalan biasa ditanya, berapa hari dan nak ke mana. Jawab aje dengan tenang. Scan 4 jari dan bila selesai boleh terus keluar. Oh ya, scanner jari tu pun ada dalam Bahasa Melayu tau.
Masa kami ke China, kebenaran untuk berada di sana free visa adalah 15 hari saja. Sekarang katanya sudah 30 hari tapi check betul-betul dulu. Jangan overstay, kalau tak susah nanti sebab China memang sangat strict. Kebenaran masuk tanpa visa bagi rakyat Malaysia pun masih baru dikuatkuasa jadi jangan takut bila pegawai imigresen tanya mana visa untuk masuk China. Jawab aje dengan tenang, tak perlu.
Sekali lagi tak ada masa nak tunggu, terus jalan turun tangga, naik tangga dan masuk gerabak. Aduh, letih sungguh proses yang ini. Tak tahulah fasiliti ini memang untuk menyusahkan pelancong atau apa, redho aje lah.
Sepanjang perjalanan ke Kunming, kita memang dihadiahkan pemandangan gunung ganang hutan tebal dan sungai kuning yang melingkar. Tapi pemandangan ini diselang seli dengan terowong gelap yang panjang. Masuk terowong tu memang agak membosankan tapi tetap terpesona dengan kejuruteraan China, yang boleh membina terowong menembus gunung dan kelajuan kereta api yang mencapai kelajuan 240km sejam.
Ada cafe dalam kereta api dan ada juga pramusaji yang bawa makanan untuk penumpang beli. Untuk jimat duit, kami dah sediakan kudap dari Luang Prabang saja.
Perjalanan ke Kunming selepas Stesen Kereta Api Mohan memang panjang. Kereta api akan berhenti di Stesen Kereta Api Xishuangbana dan Stesen Kereta Api Pu’er sebelum tiba di Stesen Kereta Api Kunming South. Perlu diingat, kereta api Kunming South ni letaknya agak jauh dari pusat bandar. Jadi korang kena naik Metro untuk ke pusat bandar.





Nak keluar dari platform di stesen kereta api Kunming South, bagi pelancong, kena guna passport, jadi cari laluan yang untuk orang tua atau pelancong yang ada security yang jaga sebab kebanyakan laluan kat situ just tap id and go.
Keluar aje dari platform tu dah ada ramai ulat teksi menunggu. Pandai-pandailah menolak dengan baik dan terus aje ke arah kiri yang tunjuk arah ke Metro.
Cabaran seterusnya kat sini, hampir kesemua tanda bangunan kat Cina memang majority tulisan Mandarin jadi ada beberapa apps yang sebaiknya korang download sebelum ke China.
- 1. Google Translate: Untuk memudahkan komunikasi. Boleh teks, voice record atau guna google lens untuk terjemahan papan tanda, menu atau apa-apa yang bertulis.
- 2. Trip.com: Untuk memudahkan korang book tiket kapal terbang, kereta api, bas atau hotel.
- 3. Didi: untuk book e-hailing. Macam Grab atau Uber
- 4. Baidu Map: Google ban China, maka China tak nak kerjasama dengan Google. Baidu Map memang sangat tepat. Cuma agak leceh sikit nak guna sebab dalam Mandarin.
- 5. Touch & Go: untuk membeli belah guna QRCode.
- 6. Wechat: untuk beli belah dan aplikasi Alipay.
Terkial-kial juga nak beli tiket metro sebab ini pertama kali di China dan akan guna public transport di sini. Mesin tiket ada dalam Bahasa Inggeris. Apa yang perlu, cari nama stesen metro yang kita nak turun, kemudian tekan untuk harga tiket, di situ tengok juga berapa line kita kena ambil dan tukar di mana. Masukkan duit, dan token akan diberikan.
Di stesen juga, pemeriksaan keselamatan memang ketat, macam biasa kena melalui body scanner and beg sebelum dibenarkan masuk ke platform. Dan, pastikan juga line mana yang kita nak pergi sebab di sesetengah wilayah, sistem metro banyak sangat laluan. Tapi tak apa, staff kat metro pun banyak membantu sebab dia tahu kita ni pelancong. Dorang pun kena jaga penduduk dorang sebab jenis mereka ni kalau tak di monitor dengan betul, suka ambil peluang, potong queue dan tolak menolak berebut untuk duduk. Berhati-hatilah.
Jadi nasihat kami, ambil masa untuk study laluan mana kita nak pergi. Tak perlu kelam kabut sebab di China ini pun keadaannya macam di Kuala Lumpur. Bandar besar Kunming tidur lambat haha, jadi tak perlu terburu-buru. Didi banyak beroperasi dan mereka memang perlu service oriented. Maka, mereka sentiasa beri servis yang terbaik untuk pelancong.

Sampai stesen metro di bandar Kunming Keluar saja dari stesen metro DongFeng Square, hari memang dah malam dan buat pertama kalinya kami lihat bandar Kunming yang besar dan bangunan tinggi berhias lampu hiasan berwarna warni. Kami memang tak menyangka bandar Kunming meriah macam Kuala Lumpur.








