KUNMING, CHINA

Share this article

31 Ogos – 3 September

Kadang-kadang walaupun kita dah buat research sesuatu tempat tu dengan mendalam, kalau tak melaluinya sendiri, kita tak akan tahu. Macam itulah yang berlaku pada kami. Dah study habis fasal China, apa apps yang patut download, macam mana nak travel dari satu tempat ke tempat yang lain dan macam-macam, tapi bila tibanya, semua jadi blank macam kita tak buat research langsung.

Malam pertama tiba di Kunming, kita orang memang macam orang buta, tak tahu nak buat apa, tak tahu nak order Didi macam mana, nak ambil kat mana. Nak pergi mana semua pening. Tapi Alhamdulillah orang di Kunming memang sangat-sangat membantu dan baik hati.

Tapi itulah yang tak faham, kenapa pelancong dari China kalau datang ke tempat kita, perangai masing-masing nauzubillah, tapi bila kita berada di tempat mereka, kita dilayan dengan sangat baik. Dari pekedai, pemandu teksi, polis, semua membantu.

Dalam kelam kabut, malam dan hujan, renyai akhirnya kami sampai juga ke hotel yang kami book melalui aplikasi trip. Aku memang sarankan untuk sesiapa yang nak melancong ke China, seeloknya book hotel korang dari aplikasi Trip.com. Aplikasi yang memang dibangunkan di China ni memang sangat memudahkan sebab dia ada nama hotel dan alamat dalam Bahasa Mandarin.

Jadi bila korang dah book hotel, boleh lihat di situ nama dan alamat dalam Mandarin. Tunjuk aje pada pemandu ehailing dan mereka akan bawa korang ke hotel. Dorang tak pandai baca tulisan roman, sebab semua dalam Mandarin. Kadang-kadang sebutan lokal pun tak sama dengan nama hotel.

Bagaimana kita tak faham huruf Cina, macam itulah mereka tidak faham huruf Roman. Kadang-kadang kita pandang remeh hal ini. Kita anggap semua orang di dunia ini boleh baca tulisan roman. Hakikatnya di sesebuah negara itu macam Arab, China, India dan Thailand contohnya ada bahasa dan tulisannya sendiri. Dan tidak mudah untuk mereka belajar bahasa dan tulisan yang dianggap sebagai antara lingua franca popular di dunia.

Kami duduk 4 hari di Yunshang Four Seasons Hotel (Kunming Old Street Nanping Pedestrian Street). Nak cari tempat ni pun, pemandu Didi tinggalkan kami di jalan besar sebab ini memang pedestrian road, kenderaan tak boleh masuk. Bermulalah sesi ayam dan itik, dan guna Trip guna Google Translate nak cari hotel. Alhamdulillah akhirnya jumpa. Malam pertama memang rehat aje.

Esoknya barulah merayau di kawasan tu tapi sebab dah penat sangat sebab perjalanan semalam yang panjang dan angkut beg naik turun tangga, kitaorang cuma pusing keliling tengok pasar bunga, pasar burung yang dekat dengan hotel. Jalan-jalan lagi laaa nampak Parkson pula. Saja ambil gambar di luar, tak masuk pun. Memang terpegun dengan bandar Kunming yang modern dan sibuk ni. Keliling bangunan banyak yang tinggi-tinggi.

Hari seterusnya barulah nak cari Masjid Yongning. Waktu ni masih menggunakan Google Map yang dah outdated di sini. Tapi, alhamdulillah akhirnya jumpa juga. Sebelum ke masjid, kitaorang bergambar dulu di pintu gerbang Golden Horses and Chicken dan makan brunch di satu restoran Muslim di seberang jalan. Sebab semalam dah nampak portion makanan kat sini macam mana, kami minta semangkuk beef noodles, makan berdua.

Perlu diingat, di Kunming ni, kalau makan street food, memang tak ada dijual air kopi ke teh ke. Kalau nak minum, ada restoran makanan yang sedia menjual air tin atau air mineral. Harga tak mahal, dalam 4yuan ke atas. Kalau boleh, jangan lupa bawa tisu sekali sebab memang makanan dorang, walaupun sup agak berminyak. Payment boleh Ali Pay QR Code Touch n Go atau tunai.

Selesai makan, kami pusing-pusing kawasan sekitar. Ada taman kat situ tapi tengah renovation, jadi ditutup untuk public. Kami terus seberang jalan ke Masjid Yongning.

Nak dijadikan cerita, Allah beri rezeki lagi hari ni. Berjumpa dengan freelance tour guide, namanya pun Dayah (hehehe), dia bawa seorang aje client. Sepatutnya berenam, tapi lima tak jadi datang, jadi dia bawa seorang pelancong aje lah dengan dia. Dayah offer ajak kami ikut dia sekali jalan2 di Kunming. Apa lagi. dari berdua jadi berempat dengan dia dan client, Encik Yazid. Btw Dayah ajar aku macam mana nak guna Map Baidu.

Alhamdulillah Dayah ni boleh berbahasa Mandarin jadi senang banyak perjalanan kami hari ni. Dari Masjid Yongning, kami naik teksi ke Green Lake. Orang kata, kalau ke Kunming kena pergi ke Green Lake. Tempatnya memang luas, hari pulak mendung, tapi nyaman berjalan-jalan di taman.

Dari taman Green Lake, kami jalan kaki ke Military Museum, ingatkan buka, rupanya tutup. Kami kembali ke Nanping Pedestrian area ni sebab kawasan ni memang kawasan pelancongan. Makan sate kambing dengan daging sebelum jalan lagi. Suami kata dia nak makan mi sup pulak, jadi cari pula kedai mi. Kat sini memang senang nak cari kedai makan halal, cari aje simbol halal, atau tukang masak bertudung.

Keesokan harinya pula kitaorang berempat cuba naik metro ke Guan Du Heritage Village. Kitaorang asah skil beli tiket metro dan alhamdulillah berjaya. Tak ingat nama stesen metro yang kami berhenti tu tapi sampai di sana dah penat nak jalan, jadi ambil Didi ke Guan Du Heritage Village. Di sini bolehlah kita lihat aktiviti penduduk tempatan yang kekalkan nilai tradisi mereka dan aktiviti santai contoh lepak sama-sama, main daun terup atau dam, karaoke tepi jalan (boleh tiru model business ni kalau sesiapa nak buat, tapi kena ada keberanianlah kan).

Dari sini kitaorang ambil Didi lagi ke Dianchi Haigeng Park. Tempat ni memang jadi tumpuan orang tempatan sebab park dan tasiknya yang luas. Boleh sewa golf cart tema macam-macam. Seronok juga orang tua jadi macam budak-budak ni. Mengekek ketawa sepanjang lepak kat park. Tapi aku macam biasa, fobia dengan public toilet di China jadi memang tak pernah try lagi.

Kat park ni pula jumpa businessman yang asal dari Urumqi dan datang ke Kunming berjalan-jalan dengan isterinya. Seronok berborak sebab rasanya dia nak praktis Bahasa Inggeris, dan aku pun ambil peluang bertanya fasal Urumqi sebab itu destinasi terakhir kami di China sebelum masuk ke Central Asia.

Kitaorang memang tak pergi tempat-tempat biasa yang orang pergi waktu melancong ke Kunming macam Lijiang atau Leaping Gorge sebab kitaorang ni cuma ada beberapa hari saja di China dan memang tak nak buat aktiviti lasak atau keluar dari route sebab kami cuma ada 13-15 hari saja di China.

You might also enjoy