19 Ogos 2024
Kenderaan: Bas ![]()
Tiga bulan kami mengembara ke lapan negara menggunakan perjalanan darat. Atas sebab yang tak dapat dielakkan kami ambil 2 penerbangan untuk lengkapkan keseluruhan kembara ke 8 negara di Asia Tenggara, Asia Tengah dan Turkiye.
Perjalanan bermula dari Kuala Lumpur untuk ke Thailand, Bandar pertama yang kami pilih adalah Hatyai. Untuk ke Hatyai kami ambil bas Alisan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan perjalanan ambil masa kira-kira 6 jam untuk ke sempadan. Perjalanan bermula tengah malam jadi, sediakan pakaian yang sesuai. Tambahan lagi hujan lebat sepanjang perjalanan tapi dalam bas ada selimut dan tak dapat nak enjoy view di luar, maka aktiviti memang tidur ajelah.



Bas berhenti sekejap di Padang Besar jadi sempatlah nak pergi toilet, solat subuh dan makan alas perut sebelum meneruskan perjalanan ke kompleks imigresen.
Sistem di sempadan nampaknya sudah semakin baik dan memudahkan pengembara. Lagipun awal pagi, jadi tak ramai orang kecuali lori yang keluar masuk penuh muatan barang dan perlu melalui pengawasan Kastam.
Selasai proses imigresen Malaysia dan Thailand, (tanpa selit duit RM2) kami menaiki bas kembali untuk teruskan perjalanan ke pekan Hatyai.
Kami pilih Pacific Residence sebab murah dan bukan nak duduk hotel gah. Memang ada hotel-hotel lain yang setanding dan lebih baik, tapi kami senang di sini. Adik penyambut tetamu pun baik. Hari check-out dia benarkan kami duduk di kawasan reception dan solat jamak sebelum ke stesen kereta api.
- Pacific Residence, 83/2 Niphat Uthit 3 Rd, Hat Yai, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand
Apa yang ada di Hatyai?





Rasanya korang lebih tahu aktiviti apa yang boleh dibuat di Hatyai. Bagi kami ini cuma persinggahan sementara nak ke destinasi seterusnya. Jadi, kami pergi jalan-jalan dekat-dekat situ aje. Kim Yong Market, Central Festival etc.
Kebetulan malam pertama di Hatyai tu sempat kami hadir di majlis penutup Muslim Food Festival, jadi sempatlah tengok persembahan dan beli banyak makanan halal (walaupun Hatyai memang syurga makanan halal di Thailand). Kami lebih banyak berjalan kaki aje. Bermulalah misi melengkapkan lebih 10,000 langkah sehari.

Makanan di Hatyai dan semakin mahal ye. Kami ni jalan kaki aje ke Central Festival dan berhenti makan di warung halal tepi jalan. Lauk memang old fashion tapi sedap betul. Masuk tekak. Dengan nasi beras Siam yang wangi tu. Jalan beribu langkah pun susah nak turun berat badan macam ni.


Kami habiskan masa empat hari di Hatyai untuk biasakan diri banyak berjalan kaki dan enjoy pekan Hatyai walaupun tak buat apa sangat di sini. Sebelum bergerak ke destinasi seterusnya, kami sempat mendobi baju dulu. Sebab sebelum ni memang jaranglah mendobi pakaian di kedai, agak terkial-kial juga nak buat. Lagilah dalam bahasa Siam. Mujur ada pelanggan di situ yang dengan senang hati bantu kami nak beli sabun pencuci baju haha.


Petang 22 Ogos, kami dah berada di Hatyai Junction (Stesen Kereta Api Hatyai) untuk ambil kereta api malam ke Bangkok. Petang itu juga hujan turun lebat selepas 4 hari berpanas di Hatyai.



Di stesen kereta api ini tepat jam 6 pagi dan 6 petang, lagu kebangsaan Thailand akan dimainkan, jadi beradablah dan sama-sama berdiri sebagai tanda hormat pada warga negara Thailand.






Perjalanan ke Bangkok, ambil masa 16 jam menaiki kereta api.
Untuk ke Bangkok, kami memang dah siap-siap beli tiket kereta api. Kami beli di apps 12Go sebab tak familiar lagi dengan sistem tiket kereta api di Thailand.
Ini juga pertama kali naik kereta api di Thailand. Kami pilih 2nd Class Sleeper AC. Harga tiket pula dalam RM120 seorang. Sebab masih lagi tak pandai, kami berdua dapat bunk atas. Nak memanjat tu Allahu! Seram. App ni 3rd parti tau, jadi sebenarnya memang ikut nasiblah dapat tempat tidur/tempat duduk kat mana.








