12 September 2024
Sekarang aku nak cerita fasal sikap dan kebaikan orang-orang Islam terutama etnik Uyghur di Urumqi.
Sebab semalamnya dilarang masuk ke Grand Bazaar kerana bertudung, kali ni aku nak cuba lagi masuk. Kalau dapat, dapatlah kalau tak dapat memang aku tak rekemen sesiapa pun datang ke Urumqi ni, terutama wanita muslimah.
Bukan apa, Grand Bazaar di Urumqi ni yang kononnya menunnjukkan budaya etnik Uyghur ini hanyalah ‘menjual’ kebudayaan mereka yang majoriti beragama Islam untuk mengaut untung saja, sedangkan etnik ini dilarang mengamalkan agama dan budaya mereka secara bebas. Nampak sangat dieksploitasi hanya untuk tarikan pelancong.
Islam berpengaruh besar dalam budaya dan tradisi mereka tetapi ironinya mereka dihalang daripada mengamalkan agama Islam. Malah, mereka ‘takut’ betul sampai restriction yang sama pun nak dikenakan ke atas pelancong asiong.
Aku pulak jenis bila orang kata ‘tidak boleh’ itulah yang akan aku cuba sampai ‘boleh.’ Jadi aku tukar taktik, tukar sikap dan bersedia untuk suami rakamkan percubaan kali kedua nak masuk ke Grand Bazaar hahaha.
Ada beberapa pintu untuk ke Grand Bazaar ini dan di semua pintu, pelancong memang kena melalui sekatan keselamatan dulu. Semua beg harus diperiksa dan melalui body scanner. Wanita bertudung akan diarahkan untuk buka tudung mereka.
Kami cuba masuk dari pintu kedua dan kali ni cuba juga melepasi security. Sekali lagi dalam bahasa Mandarin yang aku tak faham, dan gerakan tangan menunjukkan tudung, aku disuruh buka tudung, baru dibenarkan masuk.
OK percubaan yang ni gagal juga.
Aku keluar dan approach pula seorang pegawai polis yang menjaga keselamatan orang ramai di situ. Kali ini dengan bantuan Google Translate, aku minta kebenaran untuk masuk, dengan bertudung, dan beritahu bahawa kami pelancong dari Malaysia bukan etnik tempatan atau warga China. Aku keluarkan pasport kami berdua dan hulurkan pada pegawai beliau.
Alhamdulillah pegawai polis faham, dia beritahu akan ambil gambar pasport dan gambar kami berdua. Sambil tersenyum lebar, kami biarkan dia ambil gambar kami dengan telefon bimbitnya. Buat pertama kali juga aku berjaya buat pegawai polis China tersenyum lebar dan ketawa bersama. Bukan senang tau nak buat pegawai polis di China tersenyum sebab dorang memang kena serius selalu.
Dengan bantuan pegawai polis tu, dia escort kami ke tempat keselamatan, beritahu staf di situ kami pelancong, barulah kami dapat masuk ke kawasan Grand Bazaar. Aku apa lagi, dengan pengetahuan bahasa Mandarin yang terhad ucap terima kasih, dan selamat tinggal. Makin sengih pegawai polis tu. Mesti dia kata ntah apa-apa pelancong tua dari Malaysia ni. (Memang aku asyik kena gelak aje tiap kali ucap xièxiè, tak tahulah sebab pelat ke atau orang sana jarang sebut yang ini)
Apa yang ada di dalam Grand Bazaar?

















Macam biasa, ada kedai jual cenderahati, kekacang, buah-buahan kering, buah-buahan, kopi, aiskrim, kudap-kudapan, pakaian, barangan kulit, topi Uyghur dan macam-macam lagi barangan tradisi di sini. Nampak di luar macam ada bangunan masjid di dalam ni tapi itu bukan masjid, cuma bangunan tempat kedai-kedai barang-barang jualan.
Kami spend dalam 2 jam jugalah di sini sebelum bergerak balik ke hotel. Kami jalan kaki balik dan sengaja lalu jalan jauh sikit, nak tengok dan admire masjid-masjid yang berkunci. Tengok anak-anak pulang sekolah yang ‘dijaga’ ketat oleh polis-polis dengan belantan ditangan dan kereta polis dan perisai berdekatan. Sebelum tu kami memang perasan beat polis ada dalam kawasan sekolah yang berpagar.
Akhirnya kami singgah di restoran tempat kami makan sarapan semalam, kali ni kami order mi pula. Tuan kedai namanya Tuan Haji Yerkubei (maaflah tak tahu ejaan macam mana tapi kedengaran nama dia sebutan begitulah). Suka hati dia tengok kami datang lagi. Sekali lagi dia sibuk perkenalkan kami pada pelanggan-pelanggan dia. Sayang sungguh tak reti berbahasa Mandarin, kalau tak mesti seronok dapat berbual.
Tiba di hotel pula kami singgah ke restoran Puan Khadijah. Sebelum ni dah berkenalan dengan Puan Khadijah yang punya restoran di sebelah hotel.
Dia kata petang semalam lagi masa mula-mula nampak aku bertudung dan berjalan ke hotel, dia dah suka dengan aku. Aku pun masa tu memang murah aje dengan senyuman hahaha.
Tak sangka pula dia minta kami datang petangnya lagi masa dia nak tutup kedai sebab dia nak belanja dan bawa kami ke kedai kakaknya untuk makan hotpot. Dia berikan aku tasbih batu jade dan aku balas dengan minyak wangi mydin (itu aje yang aku ada) dengan satu buku sabun Lush (belum dibuka) yang keluarga di Hull beri sebagai hadiah masa dia pulang berziarah ke Malaysia sebelum tu.
Ya Allah, lain kali ingatkan aku, bila mengembara bawalah sedikit ole-ole dari Malaysia untuk diberikan kepada kenalan baru di luar negara.
Sepanjang jalan memang Khadijah asyik peluk lengan aku saja. Seronok betul dia dapat jumpa orang Islam dari negara di hujung benua asia ni. Memang dia kata seronok tengok aku yang bebas untuk berhijab tak macam wanita Islam di situ yang hanya dibenarkan pakai tudung sama ada tudung jarang atau ala serkup dengan leher dan telinga terbuka.
Peraturan ni memang dikuatkuasa sejak 2018 bila China lancarkan program anti-halal di wilayah ni yang majoriti orang Islam etnik Uyghur. Sebab itulah masjid pun ditutup kalau bukan waktu solat (entah bila tiba waktu solat pun masjid tak dibuka). Kehadiran polis/pihak berkuasa pun memang terasa sangat di sini dengan kereta kebalnya diletak merata-rata.
Nak solat pun kena sorok-sorok, kalau nampak dek polis atau talibarut polis, wanita yang bersolat secara terbuka boleh ditangkap polis.
Malam tu kami makan malam bersama keluarga Khadijah. Dengan komunikasi yang terhad dan bantuan Google Translate, kami tetap suka hati berbual, sampai bateri telefon tinggal 2% aje haha. Dah dekat tengah malam dan sengkak perut baru mereka hantar kami pulang ke hotel.
Ya Allah memang baik betul layanan kami terima di Urumqi. Itupun kalau boleh tak nak bagi kami balik ke hotel tapi nak buat macam mana, kami nak gerak ke airport jam 6 pagi esok.
Semoga ada rezeki jumpa lagi orang baik-baik dan jumpa keluarga Khadijah lagi.
Seterusnya: Almaty, Kazakhstan








