Ada unsur filem Kollywood.
MACAM ROJAK MAMAK yang jual tepi jalan, filem terbaharu aksi komedi ABANG LONG FADIL 2 , arahan Syafiq Yusof memang cukup bahan, cukup rencah dan cukup rasa.

Kalau filem Abang Long Fadil yang pernah mencetuskan fenomena tersendiri 3 tahun lalu adalah parodi kesinambungan filem KL Gangster. Sekuel filem aksi-komedi ini pun tak kurang hebatnya.Apa taknya, baru sahaja 5 hari ditayangkan ia mencatat kutipan sehingga RM5 juta di seluruh pawagam di Malaysia sejak mula ditayangkan di pawagam bermula 24 Ogos lalu.

ABANG LONG FADIL 2 mengekalkan barisan pelakon asal seperti Zizan Razak, Syamsul Yusof, Datuk AC Mizal dan digandingkan dengan pelakon Achey, Shuib Sepahtu, Tania Hudson, A. Galak, Mas Khan dan Wak Doyok.
Memang ramai yang menantikan penampilan sulung Wak Doyok di layar perak sejak berita selebriti media sosial ini disunting untuk berlakon bergandingan dengan Zizan Razak dalam filem ini.

Filem ABANG LONG FADIL 2 mengisahkan kepayahan Fadil (Zizan Razak) untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas keluar dari kumpulan gangster.
Antara pekerjaan yang dicuba adalah sebagai pelakon lagak ngeri. Nampak memang glamor tetapi hakikatnya pekerjaan itu memerlukan fizikal yang kuat. Ironi sekali. Walaupun dia bekas seorang ahli gangster, Fadil tidak tahan dipukul, dihentak dan dibaling sebagai pelakon lagak ngeri.
Sehinggalah suatu hari dia diperdaya oleh agennya supaya bekerja sebagai gigolo untuk seorang Datin. Hendak tak hendak Fadil terpaksa akur dan beliau ke sebuah hotel untuk bertemu dengan Datin tersebut.
Tapi, walaupun Fadil ini bekas ahli gangster, dia tidak tergamak untuk menjual maruahnya sebagai gigolo. Dia terus melarikan diri.

Namun, Datin telah ditembak mati dan Fadil pula telah ditangkap dan dituduh membunuh.
Pelbagai aksi menarik seperti babak kejar mengejar sehingga kenderaan terbalik dan meletup, babak tempur serta diselitkan dengan dialog dan adegan lucu mewarnai keseluruhan filem ABANG LONG FADIL 2 dan menjadikan filem yang berdurasi 1 jam 35 minit ini sangat menghiburkan.
Sementara itu, kemunculan pertama Wak Doyok sebagai anak ketua Mafia Taji Samprit (A Galak) tidaklah begitu menghampakan. Tidak sia-sia beliau menghabiskan RM15,000 untuk pakaian dalam filem itu kerana beliau memang kelihatan segak.
Memang bapak borek anak rintik. Kedua-dua aktor ini mengekalkan imej ‘misai melintang’.Seperti AC Mizal yang mengekalkan dialek nogori untuk watak King Kong, Wak Doyok pula bercakap dalam dialek Jawa. Begitu juga A Galak, walaupun bahasa Jawanya agak kaku dan keras.

Pengarah, Syafiq Yusof dalam temuramah dengan Kosmo berkata, beliau menggunakan filem Kingsman: The Secret Service sebagai sumber inspirasinya ketika mengarahkan filem ini. Namun percaya ABANG LONG FADIL 2 tetap memiliki keistimewaannya tersendiri terutama pada babak-babak penuh aksi.
Walaupun Syafiq menggunakan filem spy sebagai inspirasi, bila ditonton filem ABANG LONG FADIL 2 ini sebenarnya banyak menerapkan unsur-unsur filem Tamil, Hong Kong dan sedikit dari Hollywood terutama dalam babak aksi.


Jangan lupa, ABANG LONG FADIL 2 bukanlah filem serius walaupun ada babak-babak aksi ngeri yang mendebarkan. Elemen komedi dan unsur-unsur ‘kurang logik’ ini yang berjaya menarik menghiburkan penonton. Ada juga babak jiwang dan cinta, tapi tidaklah tahap Bollywood.
Elemen surprise di minit-minit akhir yang membongkar identiti si pembunuh upahan bernama Tiger memanglah win!

Filem ABANG LONG FADIL 2 ini memang filem wajib tonton. Banyak twist plot dalam filem ini dan semua misteri akan terjawab sekiranya anda menonton sehingga akhir.
Tapi, satu saja saya nak komen. Nampak gaya semua pembunuh upahan, ahli mafia atau gangster perlu berlatih menembak lagi. Habis peluru tapi jarang peluru menemui mangsa.
#filemmelayu #reviewfilem #reviewfilemmelayu #reviewabanglongfadil2 #reviewalf2 #abanglongfadil #abanglongfadil2 #zizan #zizanrazak #SyafiqYusof #malayfilm #boxoffice #pecahpanggung