23 – 24 Ogos 2024
Pengangkutan: kereta api🚂
Kami ambil kereta api malam ke Bangkok. Perjalanan dalam 16-17 jam. Disebabkan kereta api dari Hatyai ke Bangkok biasanya penuh, kami buat keputusan untuk book second class sleeper berth dari app 12go.asia. Banyak belajar sebenarnya untuk perjalanan kali ni.
Selain dari app 12go.asia, korang boleh saja terus book di Thai Railways. Cuma aku tak berapa pasti kalau boleh pilih untuk duduk berth atas dan bawah. Untuk tempahan kami guna app 12go.asia tu, kira ikut nasib aje dapat mana-mana.
Kereta api memang penuh. Kami dapat dua berth atas yang bertentangan. Pengajaran di sini, book sleeper train awal-awal sebab susah sebenarnya nak memanjat naik ke berth atas ni. Dah la tinggi. Untung ada suami yang tolong isteri memanjat hahaha

Tiga per empat perjalanan dihabiskan dengan tidur. Untuk pengembara muslim, digalakkan ambil wuduk siap-siap sebelum naik kereta api untuk solat jama’ qasar maghrib dan isya’. Tapi kalau tak sempat pun tak pa. Boleh aje guna botol spray yang kecil tu untuk berwudu’ dan terpaksa solat baring. Nak duduk pun kena tunduk.
Alhamdulillah, kereta api walaupun old school, toilet boleh dikatakan bersih juga. Cuma itulah, bila nak membuang tu, boleh nampaklah rail kereta api hahaha. Di sebelah toilet pun ada disediakan beberapa sinki untuk penumpang basuh muka dan gosok gigi. Kereta api ke Bangkok berhenti di beberapa buah stesen dan jiran-jiran di berth lain ada yang sudah bertukar.
Waktu petang dan pagi ramai penjual naik ke kereta api menjual barang dagangan mereka. Biasanya memang makanan macam makan malam atau sarapan pagi, jajan, buah-buahan dan minuman tapi ada juga yang menjual power bank dan cable telefon bimbit.
Kami dah bawa bekalan macam roti dan air jadi tak adalah nak membeli apa-apa dalam kereta api ni.
Kami tiba di stesen kereta api Krung Thep Aphiwat dalam jam 10am lebih macam tu. Disebabkan cuma makan roti dengan air, masing-masing dah kelaparan. Sebelum sesi berjalan dimulakan, lebih baik isi perut dulu.



Di hujung Gate 4 stesen kereta api Krung Thep Aphiwat , ada foodcourt dan di situ ada dua warung menjual makanan halal. Tapi, stesen kereta api Krung Thep Aphiwat ni memang besar, penat jalan nak cari Gate 4 ni. Bila perut sudah diisi, barulah kami pergi cari teksi untuk ke hotel.
Bangkok memang kota besar, tapi kami tak nak habiskan masa yang lama di sini. Sekadar cukup untuk jalan-jalan sekitar saja sebelum bertolak ke Laos. Lagipun, kami memang sudah pernah ke Bangkok sebelum ini. Di sini kami tinggal di:
- Hostel Lemon Siam Phetchaburi Road, Ratchathewi, Bangkok, 10400, Thailand
Hotel ni memang cantik dan bersih. Kami pilih di sini sebab lokasi yang dekat dengan masjid dan banyak restoran makanan halal. Tapi, untuk warga emas mungkin hotel kecil ni agak challenging sikit sebab ia di bangunan lama yang banyak tangga. Tapi hospitality hotel ini dan staff dia memang bagus, bersedia untuk menolong angkat beg ke bilik.
Sementara itu untuk tiket kereta api Bangkok dan Laos, kami dah booking siap-siap dari Malaysia, kononnya tak nak kalut tapi tu lah, tak dapat seat sama, kena asing-asing pula.
Di Bangkok pun kami cuma stop over untuk rehat dan makan. Tapi sempat juga jalan-jalan di Siam Paragon dan MBK Centre. Oh lupa, di Hatyai, Bangkok dan seterusnya, setiap kali nak masuk shopping centre, kena melalui body metal scanner. Tu sebab aku suka berlenggang kangkung aje bila masuk shopping mall di luar negara.






Disebabkan sampai Bangkok pun hari Jumaat, sempatlah suami pergi solat Jumaat di masjid Darul Aman. Dekat aje, boleh jalan kaki. Di area sini pun ada banyak kedai makan Muslim tapi tulah, harga masing-masing boleh tahan juga.
Hari kedua di Bangkok ni kami dah siap-siap nak check out. Minta tolong pada receptionist nak letak beg dulu di sini sementara pergi jalan-jalan nak cuba skytrain memandangkan banyak masa lagi nak tunggu kereta api malam ke Laos.




Stesen Skytrain di Bangkok ni tinggi sungguh. Jarang pula ada escalator turun. Jadi memang kerabat tanggalah jawabnya. Kalau malas memang ada lift tapi ramai juga orang yang malas naik turun tangga macam kitaorang ni.
Kalau stesen yang dekat Siam Paragon atau MBK Centre pula memang sesak ya robbi. Dah macam kat area Bukit Bintang rasanya. Memang orang Asia suka betul lepak kat shopping mall ye. Sebenarnya memang syok kalau nak shopping kat MBK Centre atau kedai-kedai yang berdekatan. Macam-macam ada, tapi aku memang jenis kurang bershopping jadi lebih kepada cuci mata dengan nak makan je.







Oh ya, untuk pengembaraan kali ini, kami memang tak bawa bekalan apa-apa makanan pun dari Malaysia. Kononnya nak menikmati makan makanan tempatan (halal) di setiap tempat yang kami singgah. Untuk di negara-negara SEA memang semua masuk tekak kami. Cukup dengan rasa manis, masam, masin dan umami. Memang tak ada masalah langsung.
Malam tu kami dah kembali ke stesen kereta api yang sama untuk tunggu masa perjalanan ke Laos pula. Di stesen ni pun ada tempat solat yang baru untuk orang Islam. Baru lagi, jadi tak ada karpet tapi memang besar. Jemaah lelaki ramaila juga tapi di bahagian perempuan, aku sorang-sorang je. Sunyi tapi syok juga.




Malam nak ke Laos hujan lebat di Bangkok.









