13 September 2024
Jam 6.30 pagi dah keluar dari hotel di Urumqi, ambil Didi untuk ke lapangan terbang di Urumqi. Kali ni kami terpaksa terbang ke destinasi seterusnya ke Almaty, Kazakhstan sebab kalau teruskan ikut perancangan perjalanan darat, ia akan jadi sangat panjang dan kami pula tak ada pilihan lain sebab visa percuma cuma 15 hari saja.
Tapi korang kalau nak teruskan perjalanan darat dari China ke negara-negara Asia Tengah, boleh teruskan ke Yining, kemudian ke Khorgos dan seterusnya masuk ke Altynkol (sempadan Kazakhstan) dan teruskan perjalanan ke Almaty.
Kalau pilih perjalanan darat, paling mudah naik kereta api dan aku sarankan beli tiket kereta api di Trip.com saja. Perlu diingat sebutan kita tak sama dengan sebutan China jadi masa memilih destinasi tu pastikan tepat.
Contoh: Dari Urumqi ke Khorgos, sebutan dan ejaan akan jadi Wulumuqi (Urumqi) dan Khorgos adalah Huoerguosi. Perjalanan dengan kereta api kira-kira 12 jam dan ada 4 jenis tempat duduk yang boleh dipilih, hard seat (susunan 3 dan 2 tempat duduk), hard sleeper (3 -3 sleeping berth, tempat terbuka), soft sleeper (bilik 2-2 campur, tertutup) dan standing (tak ada reserved seat, pandai-pandai korang nak duduk mana). Dari Huoerguosi boleh naik teksi ke Altynkol (imigresen/kastam masuk ke Kazakhstan) dan dari Atynkol boleh ambil kereta api atau bas ke Almaty.
Tapi macam aku beritahu sebelum ini, kami kesuntukan masa, maka cara yang paling mudah bagi kami adalah ambil penerbangan terus ke Almaty. Kami pilih Air Astana untuk ke sana dan perjalanan tak berapa panjang sangat pun.





Penerbangan Air Astana ni agak popular di sini sebab penumpang boleh bawa 23kg x 2 beg untuk check in dan 1 kabin beg 8kg seorang, jadi semua yang naik flight ni memang bawa beg besar dan banyak. Rasanya ramai yang beli barang di China dan berniaga balik di Kazakhstan.
Penerbangan tak lama kira-kira dalam 1jam 50 minit saja dan Kazakhstan lewat sejam dari waktu di China. Jadi penerbangan kami tengah hari, dan tiba di Almaty tengah hari juga. Kami sengaja pergi awal ke lapangan terbang sebab tak mahu tersangkut dalam jam atau terpaksa melalui kawalan keselamatan di lapangan terbang di Urumqi yang sangatlah ketat.
Tak ada pilihan, bagi wanita Islam yang bertudung, bersedialah untuk tudung dibuka, aurat kepala dan leher ditayang ditengah orang ramai. Tak ada privasi langsung. Walaupun ada baca larangan bertudung di Urumqi, wilayah Islam terbesar di China, tak sangka pula peraturan yang sama ketat diguna pakai untuk pelancong asing. Jadi pada sesiapa yang berhasrat ke Urumqi dengan penerbangan masuk atau keluar, bertabahlah.
Tiba saja di Almaty, terus ambil teksi airport ke hotel. Belum pandai lagi ambil e-hailing Yandex Go. Sebab ada pengalaman pick up point yang haru biru di China jadi untuk pertama kali ni biarlah kami ambil teksi airport dulu. Mahal memang mahal tapi lepas tu kami banyak jalan kaki aje kalau ke mana-mana.



Di Almaty, kami ambil Evergreen Apartment di Bostandyk District, tempatnya agak jauh sikit dari bandar tapi ada mall juga tak jauh dari situ. Lagipun dah janji dengan cousin untuk berjalan sama sepanjang di Kazakhstan. Kat apartment tu pun ada disediakan mesin basuh. Baju kotor pun dah semakin banyak sebab tak mencuci langsung di Lanzhou dan Urumqi.
- Evergreen Apartment, Timiryazev St 59a, 050040, Almaty 050040, Bostandyk District

Sebab sampai agak awal, dan belum boleh check in lagi dan cuma dibenarkan check in jam 3 petang, kami buat keputusan untuk makan tengah hari dulu. Dan tak tahu apa yangg aku makan awal pagi tu, aku muntah, jadi selera pun agak tertutup sikit.
Untuk makan tengah hari tu aku pilih makanan Turki di Restoran Degirman. Ingat nak cari nasi tapi tak ada, jadi kami makan pizza dulu. Alhamdulillah boleh telan.
Malam memang kami tak keluar sebab keletihan. Makan pizza tu pun dah kenyang sampai malam.
Sebab di Almaty kami bertemu dengan sepupu, jadi kami memang buat keputusan untuk jalan-jalam senang lenang aje pada hari kedua di Almaty.
Kami decide naik ke Kok Tobe.
Untuk ke Kok Tobe, kami naik e-hailing melalui apps Yandex Go ke kaki bukit. Dari kaki bukit kena naik van ke atas. Boleh aje kalau nak jalan kaki ke atas. Itu bergantung kepada stamina masing-masing. Sebab yang nak ke Kok Tobe ni semua dah berusia 50 ke atas, kami naik van aje lah. Harga naik saja 1500tenge kalau pergi balik 2000t. Kami ambil sehala sebab driver kata nak turun nanti boleh naik cable car. OK.
Musim sekarang, walaupun matahari naik awal, seba serbi bermula jam 10 pagi, jadi memang kadang-kadang tu letih menunggu bila kita awal dari orang kat sini.
Atas Kok Tobe ni korang boleh enjoy pemandangan sebahagian bandar Almaty dan sebahagian kawasan pergunungan. Memang cantik. Kat atas ni pun banyak permainan untuk keluarga. Ada bumper car, ada mini zoo, roller coaster, magic house etc. Tapi setiap permainan ni memang kena bayar. Yang free cuma enjoy pemandangan dan boleh la bergambar dengan kerusi The Beetles.














Dah puas menikmati pemandangan kat Kok Tobe, kitaorang pun ambil keputusan turun bawah naik cable car, tak silap seorang 3500t sehala dan jalan-jalan di sekitar kawasan tu pulak. Check out jugalah Hotel Kazakhstan yang famous tu. Hotel lama and masa kitaorang gi tu ada function so tak la masuk, kat luar aje.
Jalan-jalan lagi sampai ke Masjid Baiken. Makan nasi di warung dekat dengan masjid tu, Satu bekas 1000t Sama.. tak berapa celus tekak aku sebab ada kacang kuda dalam nasi. Entah kenapa, di sini aku cerewet betul nak makan. Mungkin efek muntah semalam tak hilang lagi jadi memang tak ada selera langsung nak telan nasi pilaf. Aku rasa nasi tu muak. Padahal sedap aje kalau nak makan.
Petang tu kami balik ke apartment tapi sebelum sampai ke apartment, singgah di mall pula. Aku cari spek hitam baru sebab yang lama dah tercicir di Xi’an dan kat sini walaupun cuaca nyaman, matahari dia memancar-mancar. Oh dalam mall, jumpa pula kedai Jalan-Jalan Japan di sini. Kedainya taklah besar tapi seronok tiba-tiba nampak tulisan Bahasa Malaysia, Jalan-Jalan tu.
Hari ketiga di Almaty, kami buat keputusan untuk pindah apartment lain sebab lepas ni kami nak naik kerete api ke Shymkent dan ini yang paling dekat ke stesen, boleh tarik beg saja ke sana. Harga untuk dua malam di Apartment on Panfilov “Arbat” kira-kira RM324.
Kedudukan di kawasan perumahan, Dah la nak cari pintu masuk ke tangga apartment pun berpusing-pusing, pening. Unitnya pula di tingkat 4, atas sekali… tangga tanpa lif. Fuh mengah. Owner pula orang Rusia.
Cost of living di Kazakhstan memang macam di Kuala Lumpur. Currency exchange pun hampir sama. Tapi yang seronok di Almaty ni, tempat ni banyak park dan banyak pokok. Cuaca nyaman dan seronok kalau berjalan kaki ke mana saja.












Untuk hari kedua dan terakhir di Almaty ni kami cuma jalan kaki ke mana-mana. Rasanya tempat yang kami duduk ni berdekatan dengan hostel atau rumah sewa pelajar-pelajar university sebab banyak juga cafe yang sesuai untuk pelajar duduk buat revision dan ada juga library besar di sini. Nak baca signboard tak faham pula, tak tahu bahasa Rusia atau Kazakhs.
Jalan-jalan lagi, sampai pula ke pedestrian street yang kiri kanan ada kedai-kedai berderet. Tiba masa pergi solat di Masjid Besar Almaty, jalan ke taman bunga dan berhenti tengok kecantikan Ascension Cathedral dengan Green Bazaar. Macam biasa kalau ke pasar, kami tak cari souvenirs sangat, lebih kepada nak cari buah-buahan saja.
Sejak di China, kitaorang suka sangat beli buah plum, oren dan anggur. Jadi kat sini pun kitaorang cari buah-buahan yang sama macam tu. Plum dengan anggur memang wajib. Sesekali beli pisang untuk bekal dalam perjalanan.
Dan memandangkan aku hilang selera di Asia Tengah ni, aku bergantung makan pada buah-buahan, coklat dan nasi putih berlauk beli di kedai Turkiye (siap beli sos cili nak bagi hilang rasa muak) atau yang sejuk beku, di kedai serbaneka yang perlu dipanaskan dan Indomie goreng. Terima kasih Indomie goreng yang mendonia. Kena kurangkan makan makanan tak sihat sebab kita berpenyakit kronik, tapi pastikan setiap hari dapat jalan dalam 10,000 langkah.
Ada juga pilihan pizza dan camca (samsa) untuk kudap, atau burger tepi jalan, tapi itulah tekak belum mahu berkawan lagi, jadi coklat gelap bar la teman dikala lapar.
Hari terakhir kami di Almaty, selepas check out dari rumah, kami terus angkut beg ke stesen kereta api Almaty 2 untuk simpan beg. Kami dah beli tiket kereta api untuk kelas pertama, kabin tidur dan kereta api hanya akan berlepas lepas tengah malam nanti. Jadi, kami ada satu hari suntuk untuk jalan-jalan lagi di Almaty sebelum menaiki kereta api.
Seterusnya: Shymkent








