BAKU “LAND OF FIRE” – HANGATKAN EMOSI

Share this article

17-21 October 2024

Pengangkutan: kapal terbang✈️

Destinasi seterusnya, kami pilih Baku, Azerbaijan

Untuk ke Baku ini juga kami tidak ada pilihan lain, selain daripada terbang dari Almaty. Kalau ikut jalan darat, sama ada kena masuk Rusia (kami tak ada visa Rusia) atau naik feri melintasi Laut Caspian. Tapi pilihan yang ini juga tak sesuai sebab, jadual waktu feri tidak menentu. Akan buang masa dan duit. Maka, jalan yang terbaik, terbang ke Azerbaijan.

Baku memang bukan pilihan sejak awal lagi, tapi terpaksa tukar rencana. Itu memang rencam bila mengembara. Kadang-kadang apa yang kita rancang, tak semestinya menjadi. Kita merancang, Allah sebaik-baik Perancang.

Maka bermulalah cerita merentas sempadan lagi, dari Bishkek ke Almaty pula. Memandangkan ada pengalaman melintas sempadan di tempat yang sama, kali ni memang kami cuba selaju boleh dan pastikan laluan kami tidak dipotong. Beg dangan kepak tangan sudah bersedia untuk menghalang.

Alhamdulillah, bas untuk ke Almaty, tak seperti bas ke Bishkek, memang pemandu menunggu penumpang dan kira berapa penumpang yang ada. Sebab kami ambil bas petang, kami tiba di Almaty waktu puncak petang, orang balik kerja dan hujan.

Bas kembali ke stesen bas Saryan dan dari situ, kami ambil kereta sapu untuk ke lapangan terbang Almaty. Congak, kira, kali, bahagi, bandingkan dengan Yandex, harga tak banyak beza. Bolehlah!

Penerbangan dari Almaty ke Baku jam 2.15 pagi dan kami sengaja tiba awal ke lapangan terbang dengan alasan kononnya nak lepak di airport. Sekali tengok ramai benar jemaah umrah nak berlepas malam tu. Jadi, tempat duduk pun banyak yang penuh. Aduhai.

Oh lupa, waktu kami di sana, kalau nak solat, kena ke terminal domestik sebab di terminal international tiada musolah. Kena ke terminal satu lagi. Mungkin sekarang sudah disediakan musolah untuk pengembara bersolat. Aku macam biasa, ambil wuduk dan solat aje di kerusi.

Ini satu perkara yang aku rasa sangat bersyukur kita tinggal di Malaysia. Nak solat memang sangat mudah. Kerajaan mewajibkan setiap bangunan ada tempat solat, besar kecil itu terpulang, selesa atau tidak, itu boleh dibaiki tetapi fasiliti itu ada.

Walaupun ke tempat majoritinya Islam dan sudah merdeka lebih 30 tahun dari Russia, fasiliti yang satu ini kurang diberi perhatian oleh pihak berwajib di situ.

Sementara duduk-duduk tu aku browse mencari informasi keperluan masuk ke Azerbaijan. Sekali lagi kami terpinga-pinga. Mula baca dulu, warga Malaysia tak perlu mohon visa untuk masuk ke Azerbaijan, tapi bila buat research balik, tiba-tiba ada keperluan untuk mohon visa pula.

Nak telefon Malaysia embassy, dah lewat malam. Macam mana ni? Sebab banyak conflicting information yang kami baca. Ada yang kata perlu, ada yang kata tak perlu. Nak tak nak, bincang antara kami, akhirnya buat keputusan untuk appl,y saja visa. Melayang berpuluh-puluh USD. Risau juga kalau bila tiba di sana, mereka minta visa pula.

Kami tiba di Baku jam 5.15 pagi. Dan bermulalah ujian Allah pada musafir ini. Allah kata mungkin selama ini kami dimudahkan, kita lihat macam mana dia hadapi dengan keadaan dengan sabar atau tidak.

Ujian pertama: solat subuh dulu baru keluar airport, asalnya kami nak ambil e-hailing atau bas saja ke bandar. Tapi, memandangkan masih gelap, agak terkial-kial juga nak cari tempat menunggu e-hailing, atau bas ke bandar.

Ada lelaki ulat teksi approach kami untuk bawa ke hotel. Tahu berapa dia offer? 50 manat. Sedangkan 1 manat bersamaan RM2.5. Siap sebut wallahi lagi masa tawar menawar tu. Aku dah rasa tak sedap hati tapi kami macam tak ada pilihan lain.

Berpusing-pusing dia bawa kami ke hotel. Kami tinggal di Hotel Turki yang memang agak jauh sikit dari pusat bandar. Tapi, itulah antara yang paling murah yang kami dapat dan review pun ok. Memandangkan kami tiba agak awal, pihak hotel kenakan charge 25 manat lagi (ujian kedua). Tapi, dah letih sangat, merentasi 3 negara, kami bayar saja.

Kami terus tidur sampai waktu zohor. Memandangkan bawa mi instant, kami makan tengah hari itu saja. Lepas tu baru keluar untuk explore Baku. Jalan kaki dalam 2km untuk ke stesen metro Darnagul. Stesen paling hujung untuk Line Hijau. Kami beli satu kad metro kongsi berdua. Terpaksa tanya staff kat metro tu untuk beli kad. Tak silap satu kad harganya 2 manat dan setiap perjalanan cuma 0.50manat seorang.

Target hari ini untuk ke Baku Old City. Jadi kami turun di Ganjlik, kemudian tukar line merah ke stesen Icherisheher. Keluar dari stesen metro ni memang terus ke kota lama. Dan aku rasa escalator stesen ni yang paling panjang pernah aku naik setakat ni. Dalam 2 minit nak sampai ke atas.

Baku Old City lebih muda sikit dari kota lama Bukhara, lebih tersusun dan terjaga. Walaupun vibe lebih kurang sama tapi kota yang berbukit ini lebih cantik dengan pemandangan laut Caspian. Apatah lagi di bawah pengaruh Rusia, reka bentuk bangunan kat sini pun mengalami perubahan. Walau mengekalkan tradisi asli, sejak kurun ke 19 dan 20 pengaruh reka bentuk Eropah mula terserlah menggunakan stail Baroque dan Gothic.

Antara bangunan yang dikekalkan dan menjadi tarikan pelancong adalah Maiden Tower yang dibina dalam kurun ke 12, Syng Gala Minaret (Kurun ke 11), kubu, Istana Shirvanshahs, Multani Caravansarai, Bukhara Caravansarai, Hamam Hajji Gayib dan Hamam Gasimbey. Nak masuk ada yang kena bayar tau. Macam biasa, kami pengembara yang ciput ni tak masuklah sebab bila congak kali bahagi harga dah nak sampai RM70 untuk berdua.

Kalau di Uzbekistan atau Kazakhstan, bentuk muka buminya landai, di Baku ni terutama di Old City atau di bandar, ia berbukit. Jadi memang penat naik turun bukit kat sini. Bersedialah. Cuaca pula semakin sejuk dan angin kuat serta hujan. Memang dah betul-betul di ambang musim dingin.

Kami jalan-jalan lagi menikmati pemandangan laut Caspian. Berjulan-jalan di promanade sampai ke Daniz Mall. Jalan-jalan dalam mall dan cari makan juga di situ. Tapi itulah nak makan pun kena berkira sebab currency yang tinggi sikit dari kita. Dah seronok bergembira di Uzbekistan dan Kyrgyszstan, tiba-tiba kena bayar tinggi di Azerbaijan pula haha

Kami jalan kaki lagi ke furnicular train nak naik ke Highland Park, ambil gambar depan Alley of Martyrs Mosque dengan Flame Towers yang terkenal tu. Jalan kaki lagi menyusur Martyr’s Lane tengok mereka yang ‘jihad’ membebaskan Azerbaijan sejak perang dunia pertama dikuburkan. Kubur-kubur ini menghadap Laut Caspian.

Di hujung tanah perkuburan ni ada Shahidlar Monument dan di dalam monument ini ada api yang dikatakan tak pernah padam. Bolehlah nak panaskan badan sikit kat dalam ni sebelum berjalan pulang.

Penjaga kat situ tawarkan nak ambil gambar. Hmm… ingat macam biasalah kan, ambil gambar je kut, rupanya nak upah juga. (ujian ketiga). Aku terus tawar hati dengan Azerbaijan ni la hai. Oklah dah bergambar kat atas tu kami jalan balik ke Icherisheher.. Jalan menurun bukit time maghrib lalu kawasan perkuburan hahaha.

Sampai di stesen metro Icherisheher, terus ke stesen Ganjlik tukar train dan ke stesen akhir Darnagul. Keluar stesen Darnagul, jalan kaki lagi 2km nak sampai ke hotel sebelum pengsan untuk yang ke sekian kalinya.

You might also enjoy