17 -21 Oktober 2025
Baku memang banyak menduga kami, sampai aku terus tak ada hati dengan bandar ini. Walaupun ramai yang puji tempatnya cantik, orangnya baik-baik, rezeki kami terima banyak ujian di sini. Sampai hilang semangat untuk terus di sini.
Biasanya, keluar saja dari hotel, kami akan belok ke arah kanan, berjalan kaki menuju ke stesen metro Darnagul untuk jalan-jalan di Baku, Kami berjalan kaki aje walaupun hampir 3km jugalah jauhnya hotel kami menginap ke stesen tu. Bukan tak mahu ambil bas, nak melintas jalan di sini pun menyeramkan. Memang tak ada jalan khusus untuk pejalan kaki.
Tapi, hari ketiga kami di sini, kami buat keputusan untuk jalan-jalan di arah bertentangan pula.. Berjalan kaki lagi menuju ke Attartuk Avenue. Sebelum tiba di Attartuk Avenue, kami singgah dulu di sebuah supermarket untuk beli jajan dan air. Memang jadi kebiasaan untuk beli jajan dan air di supermarket sebab biasanya harga lagi murah.
Rupanya di sini satu lagi lokasi elit di Baku. Hampir semua pejabat dan residensi kedutaan ada di sini. Termasuk Kedutaan negara Malaysia. Akhirnya terubat sikit hati, bila dapat lihat secebis tanah air di bumi asing. Walaupun hanya tulisan ‘Kedutaan Besar Malaysia’. Jalan Attartuk Avenue ni memang tumpuan kedutaan asing. Jadi, tempatnya lebih terjaga dan laluan pejalan kaki luas dan selesa. Di sini pun banyak restoran yang fancy.


Kami ambil kesempatan untuk makan di salah satu restoran Turki di sini. Tidaklah T20 tempatnya, tapi macam restoran hipster yang biasa di Malaysia. Lagipun lidah dengan tekak aku memang reject betul makanan Asia Tengah ni.
Baku bagi aku ni macam pengenalan Asia Tengah kepada vibe Eropah. Kalau di tengah bandar, atau di kawasan pelancongan Baku, suasana memang cantik, terjaga bersih. Tapi biasalah bila duduk di luar bandar tu, kuranglah sikit.
Eksplorasi diteruskan ke Heydar Aliyev Centre. Dari Attartuk Avenue, kami terus berjalan ke stesen metro Ganjlik dan dari situ naik metro dan turun di Nariman Narimanov untuk ke Heydar Aliyev Centre. Bangunannya besar dan reka bentuk Heydar Aliyev Centre ni memang unik dan direka oleh arkitek terkenal Zaha Hadid. Ada pameran dalam pusat ni yang jadi tarikan pelancong dan digunakan sebagai dewan pameran untuk pertandingan dan program pembangunan sains, pendidikan, kesihatan, sukan budaya dan ekonomi.





Sekali lagi kami tak masuk sebab entry fee sangat mahal. Cukuplah berlegar di luar dan ambil gambar di depan I LOVE BAKU. Dari situ kami jalan kaki lagi dan kali ini destinasi kami adalah stesen kereta api. Dalam perjalanan ke stesen, kami jumpa pula market, apa lagi singgah juga nak melihat-lihat.
Mungkin kami ni nampak polos sangat, bila tanya harga buah-buahan kat situ, macam tak masuk akal harganya. Jadi memang tak beli apa pun, rasa macam akan ditipu lagi kalau membeli di sini, maka teruskan perjalanan ke stesen kereta api.

Niat di hati nak cari jalan darat ke Tbilisi, Georgia, tapi rupanya jalan darat yang menghubungi kedua-dua negara Azerbaijan dengan Georgia masih ditutup dan tak tahu bila akan dibuka semula.
Berbincang akhirnya kami putuskan untuk masuk terus ke Turkiye. Tapi, jalan darat ke Turkiye juga tidak dibuka, maka memang tak ada jalan lain kecuali ambil penerbangan ke Turkiye.
Kenapa Turkiye? Sebab Turkiye terpaksa jadi destinasi terakhir kami untuk perjalanan ini. Kami kena pulang sebab tiba-tiba ada urusan yang perlu dilunaskan segera. Maka stesen kereta api Baku, kami beli tiket penerbangan ke Turkiye.
Tapi aku suka kucing-kucing di Baku ni. Montel dan sihat. Yang si Oyen ni suka aku usap telinga dia, sebab telinga dia sejuk gedi huhuhu








