ATOK NINI – NAIK BELON PANAS

Share this article

Ahad – 20 Februari 2022

MASA SUDAH TIBA untuk kami naik belon panas di Cappadocia.

Bas jemput kami di depan pintu hotel jam 7:15 pagi dan kemudian bergerak mengambil penumpang-penumpang lain di hotel masing-masing. Kami dijangka akan naik belon sekitar jam 8 pagi.

Kami terus check-out dan letak beg di lobi hotel sebab hari ni selepas menaiki belon panas kami sudah nak meninggalkan Goreme dan bergerak ke Ankara.

Bukan hari-hari belon panas boleh naik ke udara. Operator belon panas perlu awasi keadaan cuaca dan mendapat pelepasan daripada pihak berkuasa sebelum boleh beroperasi. Sekiranya cuaca tidak baik, angin bertiup kuat atau terlalu berkabus, mereka tidak dibenarkan naik. Ini demi menjamin tiada perlanggaran belon udara panas dan menjaga keselamatan pelancong.

Tiba di lokasi, petugas sedang memasang gas dan sembur api untuk mengembangkan belon panas. Proses yang agak singkat. Suhu dingin memudahkan gas panas naik ke atas, jadi akhir musim sejuk dan awal musim bunga memang sesuai untuk menaiki belon panas di Cappadocia.

Bakul-bakul penumpang pun sudah disediakan. Tiba masa masukkan penumpang ke dalam bakul. Satu bakul di bahagi lima. Dua di kiri kanan bakul manakala di bahagian tengah pula untuk petugas yang bertugas melepaskan gas dan api untuk menaik dan menurunkan belon.

Bermulalah proses ketawa, takut, seram, teruja masa nak masuk ke dalam bakul. Terpaksa memanjat masuk, sudahnya majoriti yang perempuan sudah terjerit-jerit seram sebab mana biasa panjat bakul. Sudah satu pertiga masuk ke dalam bakul, barulah disediakan tangga lipat untuk penumpang seterusnya memanjat.

Memang selagi boleh, mereka akan sumbat penumpang ke dalam bakul. Bayangkan dua puluh empat nyawa dalam bakul yang akan dibawa naik oleh satu belon panas. Sebelum berlepas, taklimat diberikan apa yang perlu penumpang buat, ketika belon sedia untuk mendarat. Kami perlu membongkokkan badan atau mencangkung sambil tangan memegang pemegang di bakul.

Okaylah tengok gambar-gambar dulu ye.

Yang menariknya bila belon panas turun, petugas meletakkan bakul penumpang di atas lori, bukan di atas tanah. Wah, memang cekap betul ‘drebar’ belon panas ni. Ngam-ngam atas platform lori dia landing. Bermula kembali adegan panjat memanjat nak keluar bakul. Sekali lagi menjerit-jerit dan ketawa kami dibuatnya. Bila kaki satu dah keluar, nak keluarkan sebelah lagi dah masalah. Salah seorangnya akulah. Suami memang tak ada masalah sebab dia dah biasa panjat kereta bomba yang tinggi tu. Dia nak tolong aku pun payah sebab bakul tu atas platform atas lori plak hahahaha

Bila kami dah turun, memang tradisi mereka akan sediakan minuman dan kek untuk meraikan pelancong yang sudah berjaya naik turun belon panas. Kalau dulu mereka meraikan dengan arak, bila botol arak akan digoncang dan disemburkan pada penumpang. Tapi, sekarang mereka gunakan sparkling orange juice. Rasanya mereka dah mula faham pelancong-pelancong Islam terutama dari Asia Tenggara tak mahu terkena air najis tu.

Bukan itu saja, selepas meraikan kami, semua penumpang mendapat sijil penghargaan daripada mereka. Seronok. Sijil tu disimpan untuk kenang-kenangan.

Tiba di hotel, jam dalam 9.30 pagi, kami tanya reception boleh tak kami bersarapan walaupun dah check-out. Lagipun beg kami masih di sini. Reception kata, boleh aje. Maka, menapaklah kami naik ke bumbung untuk makan sarapan kali terakhir di sini.

Kami tak ambil masa yang lama untuk sarapan, dalam jam 10 pagi, kami terus collect bag kami dan bersedia untuk menarik beg ke otobus, kira-kira 500meter di pekan Goreme.

Memang seronok juga berada di Goreme. Pekan kecil yang menarik ramai pelancong ke sini untuk mencari pengalaman menaiki belon panas dan menikmati pemandangan indah dan unik fairy chimneys yang cuma ada di sini. Bahkan di sini, kami jumpa beberapa pelancong Malaysia juga.

Terima kasih Goreme. Ada rezeki insyaAllah kami ke sini lagi.

Bas dah sampai, maka bermulalah perjalanan panjang dari Goreme ke Ankara untuk pengalaman yang lain pula.

You might also enjoy