Isnin – 21 Februari 2022

KAMI TIBA DI ANKARA dengan selamatnya semalam. Di Ankara kami pilih hotel Mina 1 (RM257) untuk 3 malam. Lokasi hotel ni pun okay sangat sebab dalam daerah universiti. Jadi, memang banyak kedai di kawasan ni. Supermarket pun banyak. Keluar aje ke jalan besar ada macam-macam kedai di sini. Stesen Metro bawah tanah yang paling dekat adalah stesen Kolej.
Dari Ankara Şehirlerarası Otobüs Terminali (Çankaya) boleh terus ke Metro dan beli kad Ankarakart, sama macam Istanbulkart untuk guna semua jenis pengangkutan awam di sini. Kami naik stesen Asti (yang terakhir/pertama) di otobus, dan tujuh stesen kemudian, kami tiba di Kolej.
Dari Stesen Kolej pula nak ke hotel, ambil masa kira-kira 10 minit berjalan. Ye lah, kami kan #orangtuabackpackers jadi jalan pun tak laju mana. Sambil pikul beg sandang dan tarik beg pula tu.

Safranbolu. Bandar ni memang tipikal bandar zaman Empayar Uthmaniyyah. Kedudukannya dekat dengan Laut Hitam (Black Sea). Ada Masjid tua, hamam Tarihi Cinci yang masih beroperasi sejak kurung ke17 sampai hari ni. Yang paling terkenal di safranbolu adalah Masjid Süleyman Pasha Medrese yang dibina pada 1322. Safranbolu ini pun terkenal dengan safron, rempah yang paling mahal di dunia. Daerah ini termasuk dalam Warisan Dunia Unesco.

Semalam petangnya, kami jalan kaki cari kedai dobi pula. Jauh juga dari hotel, tapi kena juga basuh baju sebab baju-baju bersih dah berkurangan dan dah masam. Bayangkanlah dari Istanbul ke Goreme, baju tak berbasuh-basuh. Setakat basuh gitu-gitu dan gantung di heater aje. Rasa macam tak bersih. Jadi, petang semalam nak tak nak, menapaklah mencari dobi. Sampai di kedai dobi tu dah nak tutup, tapi nasib baik owner baik hati, dia terima juga beg baju kotor kami hahahaha.

Jadi pagi-pagi lagi hari ini, kami dah kembali ke Ankara Asti Otobus (Bus Station) untuk beli tiket bas ke Safranbolu. Kami pilih Kamilkoc sebab bas ni antara paling terkenal di Istanbul. Macam kat tempat kitalah bas Transnasional. Tiket kami lebih kurang TLR70 seorang. Perjalanan pula hampir 3 jam. Bas tiba di Terminal Bas Karabuk (Karabük Şehirlerarası Otobüs Terminal) dan dari situ kami ambil teksi ke Safranbolu, lebih kurang 10km jauhnya dari terminal bas.
Bas kat Istanbul ni memang sangat-sangat selesa. Jadi, memang tak hairan kalau warga Turki ramai yang memilih untuk menaiki pengangkutan awam. Setiap bas yang membawa penumpang akan ada steward atau pelayan yang beri air panas dan biskut atau kek kepada penumpang. Setiap penumpang juga ada personal console untuk tengok movie di kerusi masing-masing. Cuma perlu bawa earphone sendiri. Tapi, semua cerita yang ditayangkan, dalam bahasa Turki tau. Ada juga USB port untuk penumpang charge handphone atau peranti masing-masing. Jadi, memang tak bosan naik bas ekspres kat sini.
Pemandu teksi berhentikan kami di Hamam Tarihi Cinci dan dari situ kami mula berjalan-jalan di bandar tua ini. Cuaca pula memang sangat baik tapi suhu masih lagi rendah. Langit membiru dengan matahari yang memancar-mancar. Kami tiba sekitar jam 12 tengah hari tapi kami pusing-pusing di kawasan hamam dulu. Dari sana kami ke Mehmet Pasa Camii (Mehmet Pasa Mosque) yang dibina pada 1661. Betul-betul di sebelah masjid pula ada Bazar Artisan. Kedai-kedai kayu tradisional yang sudah berusia beratus-ratus tahun masih utuh. Di sini ada kedai menjual safron, kasut buatan tangan, mainan kayu dan juga kedai menjual kopi ottoman yang pahit dan sedap tu. Ada puisi mengenai kawasan Arasta ni.
Azan Zohor berkumandang tapi kami biarkan jemaah tempatan bersolat jemaah dahulu. Sementara menunggu, kami cuba kopi Kazde Turk Kahvehi dulu. Kopi ini dimasak menggunakan teko kecil bertangkai panjang atau cezve dalam pasir panas sampai air kopi mendidih. Memang proses dia agak lama tapi hasilnya kopinya memang pekat dan sedap.

Untuk betul-betul menikmati rasa kopi Turkiye ni, pelanggan disediakan segelas kecil air kosong untuk bersihkan apa-apa rasa yang tertinggal dalam lidah. Baru boleh menikmati air kopi pekat ni. Ia juga disediakan dengan sejenis manisan seperti lokum atau mastic gum untuk memberi kemanisan pada kopi pekat ni. Minum kopi Turkiye ni tak boleh tergesa-gesa, kita perlu menikmati setiap teguk air kopi ini sambil bersembang dengan keluarga atau kawan-kawan.


Selepas menikmati kopi Turkiye dan berjalan-jalan di bazar kecil, kami masuk ke Mehmet Pasa Camii untuk menunaikan solat jama’ Zohor dan Asar. Seronok dapat solat di masjid lama ni. Masjid ini sudah dibaik pulih tetapi tetap mengekalkan ciri-ciri asalnya. Tenang aje dalam perkarangan masjid ni, sampai anjing comel ni pun aman tidur di sini.
Ada ruang kecil tertutup untuk muslimah mengambil wudu’ dan bahagian solat muslimah terletak di sebelah kiri pintu masuk utama masjid. Ruangnya tidak besar, tetapi selesa dengan karpet hijau yang tebal.
Selesai menunaikan solat, kami jalan-jalan lagi dalam bandar lama ini. Laluan batu buntar sempit mengingatkan aku dengan perkampungan Albayzin di Granada. Begitulah kebanyakan perkampungan yang mempunyai pengaruh Arab dan Turki ini. Di sepanjang laluan batu buntar ini juga ada banyak kedai-kedai kecil yang menjual cenderahati dan safron. Safron merupakan komoditi utama di sini sejak zaman Uthmaniyyah. Sebab itulah nama bandar ini Safranbolu. Jadi, kalau ke sini bolehlah beli safron kalau mahu, sebab kualiti setanding dengan harganya.

Bila hari sudah beransur petang dan puas berjalan-jalan di lorong-lorong di Saframbolu, tiba masa untuk kami cari makan pula. Kami berhenti di restoran Hanim Sultan. Pemiliknya seorang wanita yang baik dan kelakar. Bermulalah kembali episod ayam dan itik masa membuat pesanan makanan. Ada kecelaruan komunikasi sedikit tapi kami tak ambil hati. Apa yang dihidangkan, itulah yang kami makan.
Selesai makan, kami kembali ke tempat tunggu bas mini berdekatan Hamam Tarihi Cinci untuk ke perhentian bas. Rupanya bas hanya berhenti di bandar kecil Safranbolu, maka kami terpaksa menaiki teksi untuk ke Karabuk Otogar. Di terminal bas itu, kami terus beli tiket bas kembali ke Ankara.
Alhamdulillah kira-kira jam 8 malam, kami tiba di Ankara dan berehat. Esok ada satu lagi destinasi wajib di Ankara yang aku memang teringin sangat nak pergi.








