ATOK NINI – ISTANBUL DAY 4

Share this article

Rabu – 16 Februari 2022

LEPAS SEHARIAN BERADA di Sapanca & Masaukiye semalam, hari ni kami buat keputusan nak ronda-ronda Istanbul lagi. Hari ni kami nak ke kawasan Sultanahmed Hagia Sophia dan Grand Bazaar pulak.

Macam biasa, kami orang yang pertama turun makan sarapan. Ini sebab suami jenis bangun awal untuk solat tahajud kemudian sambung baca Yasin sementara tunggu solat Subuh. Jadi buka saja dining area untuk sarapan pagi jam 7.30, kamilah yang pertama cari makan kat situ.

Jenis makanan hari ni pun sama macam semalam. Ada roti pelbagai jenis, ada salad, ada buah zaitun dan berjenis-jenis keju. Kami jenis yang tak berkira makan. Apa yang ada depan mata, itu yang kami makan. Asalkan halal.

Jadi lepas sarapan, kira-kira jam 8.30 pagi kami mula menapak ke Sirkeci tram station untuk ke Sultanahmed. Sebenarnya boleh juga ke Gulhane station untuk ke sana, tapi kedudukan hotel kami ni terletak hampir di tengah-tengah antara dua stesen tram. Kalau nak berjalan kaki ke Sultanahmed pun boleh sebab bukan jauh sangat pun. Tapi, sengaja hari ni, biarlah naik tram pula.

Pusing-pusing di Sultanahmed tengok bas-bas pelancong yang bawa pelancong semakin sesak di kawasan ini. Cuaca hari ni pun cantik. Langit membiru. matahari memancar, walaupun angin dingin musim sejuk masih bertiup. Sambil berjalan menuju ke Masjid Hagia Sophia aku lihat ada tabung-tabung makanan untuk kucing dan anjing jalanan di sini.

Istanbul atau Turki secara amnya memang terkenal dengan negara yang sayangkan kucing dan anjing walaupun haiwan jalanan. Sering kita akan lihat orang beri makan kepada anjing dan kucing di sini. Atas kemurahan hati rakyat dan pelancong di Istanbul dan Turki, disediakan tabung makanan untuk haiwan ini.

Tabung makanan berbayar ni hanya memerlukan orang ramai memasukkan satu lira dan putar tombol di mana makanan kering haiwan ini akan jatuh ke dalam bekas di bawahnya. Ini satu cara yang sangat praktikal, di mana haiwan jalanan dapat makan dan wang yang disedekahkan dapat digunakan untuk membeli bekalan makanan mereka.

Dari situ kami terus ke Hagia Sophia, orang sudah ramai beratur untuk masuk. Tiada caj masuk dikenakan, hanya pengunjung perlu menghormati etika pemakaian dan kelakuan kerana statusnya sudah bertukar dari muzium kepada masjid.

Kotak-kotak tempat meninggalkan kasut banyak disediakan untuk pengunjung. Kawasan solat Hagia Sophia memang besar. Terbahagi kepada solat untuk para muslim dan muslimat seperti kelazimannya.

Mendongak ke atas, kita akan disajikan dengan tulisan Allah dan Muhammad SAW, serta sahabat-sahabat baginda. Rasanya kita semua sedia maklum, sebelum bertukar status menjadi muzium dan kembali sebagai masjid, Hagia Sophia ini juga pernah menjadi sebuah gereja. Maka, bekas-bekas lukisan Saints kepercayaan orang Kristian masih terjaga seperti ia masih menjadi muzium sebelum ini.

Hanya lukisan Jesus (kepercayaan Kristian) yang ditutup dengan kain putih kerana lukisan itu hampir sempurna dan Islam melarang segala bentuk lukisan manusia. Ia ditutup dengan kain putih sebagai tanda hormat kepada nilai sejarah bangunan berkenaan dan juga menjaga maruah Hagia Sophia sebagai masjid kini.

Puas berpusing-pusing dan membelek setiap ruang dalam Hagia Sophia dan berjalan-jalan di kawasan luar, kami meneruskan perjalanan ke Grand Bazaar. Kami tidak singgah di Blue Mosque kerana masjid ini dalam proses dibaik pulih. Jadi kami terus berjalan kaki ke Grand Bazaar sahaja. Boleh kalau nak menaiki tram boleh turun di Çemberlitaş. Tapi, kami saja nak berjalan kaki sebab cuaca memang sangat baik, rasa nyaman dapat berjalan kaki.

Grand Bazaar, begitulah. Grand. Sungguh sesak dengan pelancong. Yang seronok di sini, dapat cuci mata tengok barang-barang dagangan aje. Nak membeli, tak apalah dulu. Ada banyak seksyen di sini, dari emas dan permata, jam berjenama mahal, pakaian dan pelbagai lagi, memang mudah untuk sesat dalam grand bazaar. Pening juga untuk cari jalan keluar.

Kami berjalan-jalan saja di dalam Grand Bazaar tanpa membeli apa-apa. Cuma suami belikan sahabat baik dia topi Uthmaniyyah, hampir sama dengan yang dia beli di Sapanca semalam. Kalau semalam dia beli dengan harga TLR200, di sini dia cuma dapat TLR175. Boleh kalau nak minta diskaun lagi, tapi apa salahnya kita raikan ekonomi Turki yang agak merudum sekarang ini.

Shopping atau tidak di Grand Bazaar sebenarnya terpulang kepada individu itu sendiri. Aku memang bukan jenis nak bershopping sangat. Setakat beli coklat dan makanan lain saja untuk dibawa berjalan. Lagipun, kami ada beberapa destinasi lagi di sini dan aku tak nak beratkan beg kami.

Sebenarnya ada banyak barang-barang cenderahati yang boleh dibeli di Grand Bazaar kalau berkenan. Set cawan kopi Turki sangat cantik, baju-baju juga menarik atau pelbagai perisa teh yang sedap-sedap. Kalau yang lebih ekstrim, bolehlah beli karpet turki yang memang terkenal kualiti pembuatannya. Aku berkenan juga dengan set beddings yang cantik-cantik tapi kena luruskan tujuan mengembara ni. Nak bershopping atau nak melihat negara orang?

Selepas membuat pengeluaran wang di ATM Ziraat Bankasi, sempat juga kami berjalan-jalan di jalan belakang di Çemberlitaş. Aku gunakan kad WISE untuk transaksi wang di sini. Ia kad yang paling praktikal setakat ini, lebih praktikal dari BigPay. Tapi, tak pe, nanti aku buat artikel khusus untuk kad debit yang kami guna sepanjang pengembaraan kami di bumi Eropah.

Hari dah beransur petang, dari Grand Bazaar, kami ambil tram ke Sirkeci dan buat keputusan untuk makan lewat petang di sebuah restoran nasi biryani. Memang agak mahal restoran ini, tapi ini petang terakhir kami di sini kerana esok kami akan bertolak ke Cappadocia dan perlu terbang dari Sabihah Gokcen Airport. Suami macam biasa order Lamb Biryani dan aku pula ambil Prawn Biryani. Portion nasi memang sangat banyak. Sampai boleh mintak dia bungkuskan lebihan nasi. Taklah menyesal beli dua, boleh simpan untuk makan malam nanti.

Selesai makan lewat petang kami berjalan-jalan di sekitar Sirkeci dan beli lokum untuk bekalan esok pagi. Aku tak singgah ke Hafiz Mustafa yang terkenal tu sebab orang beratur sangat panjang. Lagipun, aku bukan die-hard fan baklava. Ada boleh makan, tak ada taklah nak mencari sangat-sangat.

Kami singgah beli Simit untuk snack malam atau breakfast sebab kami akan keluar dari hotel jam 5 pagi. Kami cadang akan solat subuh di Airport saja nanti. Malam nanti memang kami takkan keluar lagi sebab nak kemas beg masing-masing dan bersedia untuk bertolak esok pagi.

You might also enjoy

KE DUBLIN

Isnin lepas, saya mengendeng ikut ‘housemate’ pergi ke menyeberang laut

DESTINASI TERAKHIR: MANCHESTER

Jumaat: 18 Mac 2022 HARI NI KAMI tinggalkan Glasgow dan mulakan perjalanan ke Manchester pula. Ini bandar terakhir kami di UK sebelum…

DUNEDIN, IBU KOTA SCOTLAND

Rabu: 16 Mac 2022 BAS KAMI KE Edinburgh bertolak jam 9.40 pagi. Awal pagi kami dah ke Buchanan Bus Station untuk naik bas ke ibu kota…

HELLO GLASGOW!

Selasa: 15 Mac 2022 INILAH TEMPAT JATUH bangun selama 5 tahun. Banyak kenangan pahit manis di sini. Bandar yang menyatukan kami yang ke…

BYE HULL, SAMPAI KETEMU LAGI

Isnin: 14 Mac 2022 TIBA MASA KAMI tinggalkan bandar York dan pasangan yang dah jadi keluarga angkat aku. Hari ni kami akan ke Glasgow…

KOTA DI BALIK TEMBOK

Sunday: 13 Mac 2022 HARI NI KAMI ke York pula. Asalnya nak cari carboot tapi memandangkan masih lagi dalam bulan musim sejuk, belum ada…

KNARESBOROUGH PEKAN FAIRY TALE

Sabtu: 12 Mac 2022 HARI NI KAMI ke Knaresborough. Tempat ni lebih kurang 70 batu jauhnya dari Hull. Jadi, pagi lepas sarapan, kami pun…

PERJALANAN KE HULL

Jumaat: 11 Mac 2022 JAM 6AM, KAMI dah sedia nak keluar heret beg ke stesen kereta api King Cross. Pembantu hotel kata, tak perlu buat…