KALAU HENDAK KELUAR berkelana, memang banyak perancangan yang perlu dibuat.
Selain bajet keseluruhan yang merangkumi kos penerbangan, tempat tinggal dan tempat-tempat lawatan, pakaian mengikut musim yang sesuai turut diambil kira. Begitu juga dengan aksesori lain yang perlu difikirkan juga.
Itu kalau kita berkelana sendirian ataupun dengan pasangan dan kawan-kawan. Bagi mereka yang sudah berkeluarga, apatah lagi mempunyai anak kecil, memastikan mereka tidak meragam sebab penat atau bosan ketika perjalanan yang panjang, adalah sesuatu yang perlu dirancang dari awal.
Memang banyak tips-tips yang diberikan untuk ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil ketika menaiki perjalanan yang panjang. Untuk hal yang ini, ibu bapa memang perlu lebih kreatif supaya kerenah anak-anak tidak mengganggu penumpang lain.
Bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil, apa kata cuba cara ini pula. Ia mungkin dapat menukar perjalanan yang bosan kepada sesuatu yang menyeronokkan bagi anak-anak.
Mainan dan kudapan

Mainan memang sangat penting untuk kanak-kanak supaya mereka tidak bosan. Sentiasa ingat, letakkan mainan kegemaran mereka dalam beg khas dan letakkan di bawah tempat duduk.
Kalau terlupa, penatlah anda terpaksa bangun semula, semata-mata hendak keluarkan beg berisi mainan mereka di tempat simpan beg atas.
Satu lagi perkara yang penting, kanak-kanak cepat lapar. Kalau boleh siapkan satu beg khas yang berisi makanan ringan. Terpulang kepada ibu bapa untuk sediakan jenis makanan ringan yang sesuai dengan anak-anak mereka.

Anda juga boleh meminta makanan ringan daripada kru kabin bertugas. Biasanya untuk penerbangan panjang, mereka menyediakan snek untuk penumpang yang lapar.
Jadikan tempat duduk sebagai kubu.

Dalam penerbangan panjang atau long haul, setiap penumpang akan diberikan sehelai selimut. Letakkan mainan kegemaran mereka dan ajak anak-anak bermain dalam selimut ini.
Jadikan tempat duduk mereka seperti sebuah kubu. Gunakan double-sided tape untuk lekatkan hujung selimut di dinding dengan tempat duduk bahagian hadapan.
Dengan cara ini mereka tidak akan mengganggu penumpang lain, dan apabila mereka letih, mereka akan tidur di dalam kubu mereka.
Kalau nak tahu cara lain buat kubu ni, boleh klik kubu
Sibukkan diri dengan pelekat warna warni

Apabila anak kecil anda sudah mula menunjukkan rasa bosan dan mula hendak buat perangai, apa kata anda ajak dia bermain pula.
Minta mereka tutup mata dan anda lekatkan sticker warna warni di tubuh mereka. Letaklah di belakang badan, depan, kaki, tangan dan muka.
Mereka akan ambil masa untuk cabut semua sticker warna warni ini, dan pasti selepas itu mereka akan keletihan dan mungkin tertidur kerana tenaga habis kerana nak cabut sticker dari kaki dan tangan.
Download permainan di telefon bimbit

Kebanyakan pesawat ada monitor kecil di setiap tempat duduk untuk penumpang menonton.
Tapi, sebagai langkah berjaga-jaga terutama sekiranya anda menaiki penerbangan tambang murah, muat turunlah beberapa permainan atau rancangan yang sesuai untuk anak-anak di telefon bimbit atau tablet.
Bagi ibu bapa yang jarang memberi gajet untuk anak-anak bermain, mungkin boleh beri kesempatan kepada anak-anak untuk bermain ketika dalam penerbangan. Dengan cara ini anak-anak akan merasa seronok kerana mereka tahu sekiranya dalam penerbangan, mereka dapat bermain dalam gajet.
Cara gerila

Sekiranya anda melihat ada pasanngan lain yang juga membawa anak kecil dalam penerbangan anda, dan anak mereka pula mungkin ‘mengamuk’, bolehlah ajak anak mereka bermain dengan anak anda.
Tapi, pastikan mereka tidak berlari di sepanjang laluan sehingga mengganggu penumpang lain atau kru kabin yang bertugas.
Sekiranya, penumpang lain dan kru kabin, sporting, boleh saja anda benarkan anak anda menolong mereka, seperti apa yang Luca buat sehingga dia tertidur akibat keletihan di laluan.
Tip tambahan

Bergilirlah untuk makan. Beritahu kru kabin untuk hidangkan makanan anda 15 minit lewat daripada penumpang lain.
Dengan cara ini, anda dapat bergilir atau menyuap anak-anak dahulu. Dan apabila mereka sudah kenyang dan mengantuk, anda bolehlah makan dengan aman.

Bagi mereka yang membawa bayi, sapukan sedikit minyak pati atau essential oil pada anak anda. Aroma minyak pati seperti lavender dapat mengurangkan stres dan menenang anak anda.
Minyak ini juga boleh digunakan oleh orang dewasa dengan meletakkan beberapa titik di pergelangan tangan.
Selain itu, untuk mengurangkan ketidakselesaan tekanan dalam pesawat, ibu boleh menyusukan anak ketika kapal terbang berlepas dan mendarat.

Namun, perkara yang paling penting adalah, ibu bapa perlu tenang ketika dalam penerbangan. Sekiranya ibu bapa stres, anak-anak akan ikut stres juga.
Jadikan penerbangan satu pengalaman yang menyeronokkan untuk anak anda, jadi dia tidak akan merasa tertekan dan membuat perangai ketika dalam penerbangan.
#anakkecil, #bawaanakkecil, #dalampesawat, #essentialoil, #kapalterbang, #krukabin, #makanandalampesawat, #pesawat, #stres, #terbang. #tantrum #dealingwithkids








