19,720 LANGKAH, BUDAPEST!

Share this article

Khamis: 3 Mac 2022

PAGI NI TAK nak fikir fasal beg yang rosak satu roda tu. Hari ni kami nak mengukur Budapest. Nak berjalan sungguh-sungguh sebab cuma ada berbaki 2 hari saja kat sini. Hari ke 4 dah nak ke tempat lain pula.

 

Kira-kira 18 tahun dulu aku pernah ke Budapest. Masa tu kami berempat, semua perempuan. Sama juga, mengembara dalam musim sejuk. Tapi, waktu tu memang bersalji lebat. Hari ni cuma dapat salji di pagi hari saja, itu pun macam serbuk talkum. Tak lebat.

Jadi hari ni kami dah sedia nak mengukur jalan di Budapest. Selepas sarapan roti dengan susu dan jus, kami terus cari jalan ke Astoria untuk naik Metro dan turun di stesen Hősök tere. Inilah stesen metro laluan M1 ke Heroes Square.

 

Apa yang menarik di Heroes Square ni?

Heroes Square ni sebenarnya dataran simbolik di Budapest. Di satu sudut dataran ni ada 14 patung pemerintah Hungary dari Raja Stephen (paling kiri) hingga ke Lajos Kossuth (paling kanan). Di bawahnya pula patung Putera Árpád dan enam lagi ketua puak yang tinggal di Lembah Carpathian lewat kurun ke 9.

Di tengah-tingah dataran ini pula ada tiang setinggi 36 meter dan di atasnya adalah patung ‘Archangel Gabriel’ berwarna emas yang memegang mahkota dan salib Hungary. Dataran ini direka pada 1896 sebagai tanda ulang tahun 10000 Magyar menguasai Lembah Carpathian.

Dari dataran, kami jalan kaki pula ke Vajdahunyad Castle. Memang cantik sebenarnya istana ni, malah dikatakan antara istana tercantik dan romantik di Hungary. Kalau musim panas, sungai buatan dipenuhi air dan orang awam boleh buat aktiviti boating di sini. Kalau musim sejuk ada kawasan khas untuk skating ring terutama bila cuti Krismas, tempat ni memang penuh.

 

Istana ni pun selalu ada buat pameran, tapi pameran tetap di sini adalah pameran mengenai pertanian. Entah kenapa Atok ajak tengok pameran pertanian. Tiket masuk seorang HUF1200 jadi belajarlah kami mengenai pertanian sejak zaman hunters and gatherers sehinggalah zaman sekarang. Dari batu yang diasah jadi alat pertanian hinggalah peralatan moden. Dari haiwan kepada penggunaan mesin-mesin. Dari ranting yang diasah jadi panah hinggalah penggunaan senjata.

Satu jam juga kami membelek di pameran ini. Dari bawah sampai ke tingkat atas. Sampai tengok kuda yang diawet, pinggan mangkuk seramik, semua kami belek. Bila dah berpinar mata tengok pameran, baru Atok ajak keluar.

Keluar pintu, bermulalah perjalanan yang jauh semata-mata nak cari bas ke Fishermen’s Bastion ‍ Sesat barat tanya orang nak cari bas no 6 ke sana. Pusing sana sini sampai Atok dah cranky. Jangankan Atok, aku pun dah bengkeng ni, tak jumpa kat mana nak tunggu bas ni.

Tengok sana jalan sini, akhirnya ada satu mamat ni sanggup berhenti makan sandwic nak tolong kami cari tempat tunggu bas no 6 adoi! Berejam cari, rupanya memang tepi jalan yang tak bertanda! Google Map tak berapa nak kawan di Budapest, tak macam kat Turkiye!

 

Oh sebelum aku membebel panjang, cuma nak beritahu keluar aje lepas ambil beg di lapangan terbang, kami terus ke tourist counter di sana dan beli tiket pengangkutan untuk tiga hari di sini. Tiket pengangkutan awam dikira mengikut jam ada 24, 48, 72 jam. Tapi nak naik shuttle bus kena beli tiket lain.

Bas 100E akan bawa korang ke pusat bandar Budapest. Bila dah beli tiket pengangkutan, boleh terus validate kad tu di dalam pengangkutan awam yang kita ambil tu. Jangan lupa validate sebab kalau kena tangkap, memang kena saman terus. Nak tahu jadual pengangkutan awam di Budapest, boleh ke sini.

 

Perjalanan ke daerah Istana ni sebenarnya jauh dan kena merentas Sungai Danube. Bas no 6 akan berhenti di kaki bukit. Ikut aje Google Map. Tak jauh dari bus stop tu ada simpang ke kiri, ikut aje jalan tu. Jadi, korang memang kena jalan kaki naik ke atas. Ada dua pilihan selepas itu. Nak teruskan naik tangga hingga ke atas kemudian naik lif atau terus mendaki ikut jalan kereta tak de tangga.

Kami pilih ikut jalan kenderaan. Semput juga tapi sambil jalan sambil pandang kiri kanan, borak. Berhenti tengok rumah-rumah orang. Di simpang jalan ada juga tangga ke atas. Kali ni kami pilih naik tangga pula. Termengah-mengah juga tapi jalan perlahan-lahan ajelah. Akhirnya sampai juga ke atas. Dah namanya trip nak berjalan aje kan? Jadi jalan je lah.

 

Sampai di atas, apa lagi, cari mini marketlah. Sebab semalam beli barang kat SPAR supermarket yang dekat dengan hotel tu, aku beli sekali beg plastik dia. Oh lupa nak beritahu lagi, kat Eropah ni kalau shopping memang kena bawa beg shopping sendiri, kalau tak, terpaksalah korang beli beg plastik tu. Harga ikut jenis dan besar.

Jadi sebab dah belajar, aku memang akan bawa beg plastik lipat tiga segi dalam poket seluar, jadi kalau singgah supermarket memang dah ada plastik nak mengangkut. Senang!

Jadi kami singgah di mini market ni nak beli buah, biskut dengan air. Dah penat daki bukit kan, jadi kami rehat dululah. Sebelum tu Atok teringin nak beli fridge magnet sebab adik dia ada pesan. Pi lah masuk satu kedai ni, padan muka kena ketuk! Nak tak nak bayarlah harga fridge magnet yang €5 satu. Padan muka aku gak sebab dia bayar guna duit Euro yang aku simpan berpuluh-puluh tahu lepas. Cis!

Aku rasa aku ni lembut hati kalau bab-bab Atok nak bershopping. Kalau aku dengan sendiri memang kedekut taik hidung masin! Dah settled fridge magnet, kami duduk di bench sambil makan roti dan minum jus. Biskut kita bagi burung makan juga.

Di daerah istana ini ada 28 tarikan, tapi masa ke sana ada kerja-kerja naik taraf yang sedang dibuat. Lagipun kami cuma nak enjoy pemandangan dari atas bukit daerah istana ini. Jadi kami lepak dulu di bangku dekat dengan Matthias Church sambil enjoy pemandangan gereja ni.

Kemudian kami gerak ke Fishermen’s Bastion dan join pengunjung kat sini ambil gambar, ambil selfie dari sini. Kalau dekat 20 tahun lepas, tak berapa ramai sangat pelancong ke Hungary atau Budapest, sekarang ni memang ramai. Kalau dulu bebas bergerak ke sana ke sini, sekarang dah terdapat barricade di beberapa tempat. Tapi, pemandangan Sungai Danube dan bangunan parlimen memang sangat menarik.

 

Dah puas berjalan di kawasan istana ni, kami turun jalan kaki balik ke kaki bukit dan tunggu bas no 6 lagi nak balik ke pusat bandar. Lepas ni misi nak cari beg pula. Aku perasan dekat dengan stesen Metro Astoria tu ada kedai beg/luggage. Tapi tengok pada kedainya mungkin up sikitlah.

 

Memang sungguhlah beg besar yang muat dekat 30kg tu harganya lepas convert dalam RM400. Aku dah telan air liur. Kita ada beberapa tempat lagi nak pergi. Takkan nak belanja sampai RM400 untuk beg? By the way masa ni tak terfikir langsung fasal nak buat claim insurans padahal ada beli insurans Etiqa 360. Yang terfikir masa ni cuma masa beli tiket kapal terbang hari tu tak beli insurans. Main tawakkal aje.

Aku cakap kita jalanlah dulu kut jumpa kedai beg lain ke. Masa jalan-jalan tu tak terjumpa pun kedai jual beg, yang jumpa kedai makan Turki. Apa lagi perut pun dah minta diisi, jadi kami singgah makan dulu.

Masa jalan nak balik ke hotel, lalu jalan lain pula. Dah jumpa kedai souvenir. Sekali tengok harga fridge magnet cuma €1 dengan €2 sekeping. Aku dah cakap Atok kena pau kalau beli di atas bukit Istana tu. Tapi, pe’el aku kalau dah masuk, dah pegang dan tak beli, aku rasa tak adil pada pekedai, sebab tu masa kat atas bukit tu aku kata belilah walau pun sekeping fridge magnet sebab Atok dah sentuh.

 

Jadi kat kedai cenderahati murah ni, Atok borong lima lagi fridge magent. Sekali lagi duit Euro yang aku simpan dulu jadi mangsa. Alahai Atok ni!!

Settled bab fridge magnet Budapest, kami jalan pulang ke hotel. Sempat lagi nak jamak takhir solat Zohor dan Asar. Lepas ni nak rehat aje. Kalau nak keluar pun nanti malam sikit nak beli roti dengan air lagi.

Aku rasa berat dah turun berkilo-kilo sebab hari ni aje kami jalan dekat 20k steps!

You might also enjoy