UNDANGAN TETAMU ALLAH III

Share this article

BONUS

Mata mendongak memerhatikan Kaabah. Kali ini kami pergi bertiga. Aku, Akuatik dan seorang lagi rakan sebilik. Sebaik saja tiba, kami meletakkan kasut di tepi tong sampah berdekatan dinding di kawasan bukit Marwah.

Want to add a caption to this image? Click the Settings icon.

Hari ini, kami hanya mengikuti rakan sebilik saja. Dia ingin membawa kami bersolat sunat di Hijri Ismail. Sungguh, aku tak pernah bercita-cita hendak bersolat dalam Hijri Ismail. Dapat undangan ke Makkah ini pun merupakan kejayaan besar bagi aku. Dapat bersolat di hadapan Kaabah pun sudah memberi kepuasan yang tidak terhingga. Aku memang banyak-banyak bersyukur diberi peluang ke sini.

Tiba di dataran Kaaabah, kami terus berniat dan membuat tawaf sunat. Orang tidak berapa ramai waktu tengahari yang panas terik. Sebenarnya, lantai mar-mar tidaklah terasa panas, hanya cahaya matahari yang terik saja menyukarkan kami membuka mata. Istighfar banyak-banyak saja, mohon diberi kemudahan melakukan tawaf. Kami ikut arus mengelilingi Kaabah bertawaf. Aku teringat pesan ustaz, banyak-banyak memohon pertolongan dari Allah. Tiap kali kami berada di bawah pancur emas, aku mohon pada Allah diberikan rezeki. Tiada pengkhususan rezeki yang aku minta, hanya mohon pada Allah diberikan rezeki.

Begitulah setiap kali kami tiba di bawah pancur emas, doa itulah yang aku pohon dari Allah. Maha Besar Allah yang maha Pemurah. Kami menginjak sedikit demi sedikit ke bahagian dalam sehingga cukup 7 pusingan. Selesai tawaf, tiba-tiba saja Akuatik tarik lengan aku. Kami berdiri betul-betul di hadapan Maqam Ibrahim. Subhanallah, sempatlah menjenguk ke dalam maqam melihat yang dikatakan tanda tapak kaki Nabi Allah Ibrahim ketika membangunkan Kaabah. Masing-masing tersenyum puas.

Berjalan lagi ke dalam dan kali ini kami betul-betul berada di pintu masuk Hijri Ismail. Alhamdulillah terus saja ditolak masuk ke dalam. Subhanallah, subhanallah, Allahu Akbar! Tidak pernah terminta oleh aku untuk diberi peluang bersolat 2 rakaat di dalam Hijri Ismail, tapi Allah Maha Pengasih, diberi juga peluang kepada kami. Keadaan agak padat di dalam Hijri Ismail, dan kami melangkah berhati-hati di bahagian belakang. Ruang terlalu sempit untuk aku bersolat waktu itu. Akuatik bernasib baik kerana dia mendapat ruang untuk bersolat sedangkan aku hanya ada ruang kosong untuk berdiri saja.

Dalam hati aku hanya berdoa dan bersyukur pada Allah kerana dapat masuk ke ruang ini. Tak dapat solat pun tak apa, aku masih sangat-sangat bersyukur. Alhamdulillah, Alhamdulillah. Itu saja yang mampu aku tasbihkan dalam hati. Tapi, lagi sekali Allah menunjukkan kasih sayangNya pada aku. Tak sampai dua minit berdiri, muslimah di hadapan aku berdiri setelah selesai bersolat, memberikan ruangnya kepada aku. Subhanallah! Aku dapat ruang yang sangat luas dan selesa. Jantung aku berdegup dengan kencang waktu itu. Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah!

Aku melangkah keluar dari Hijri Ismail dengan senyuman puas. Waktu itu aku dengan akuatik saja sebab rakan sebilik yang seorang belum selesai solatnya. Tak apalah, kalau terpisah, kami mesti akan bertemu di tempat letak kasut nanti. Aku dan akuatik berjalan lambat-lambat. Peluang yang diterima kami guna sebaik mungkin. Orang pegang kiswah, kami pun pegang kiswah. Orang masukkan kepala bawah kiswah, kami err… taklah masukkan kepala bawah kiswah, sekadar melihat apa yang ada dibawah dan pegang batu kaabah saja. Inilah perbuatan-perbuatan yang memang aku tak pernah mimpi akan lakukan di sini.

Bagi aku, Allah layangkan undanganNya pada aku sebagai tetamuNya itu sudah memadai. Bersyukur sangat-sangat. Tapi dapat solat di Hijri Ismail, dapat menyentuh kiswah dan memegang batu Kaabah merupakan bonus pada aku. Tapi, rupanya bukan setakat itu saja yang Allah nak bagi pada aku. Ada satu lagi hadiah yang sangat besar menanti tidak jauh dari situ. Di hadapan kami, orang beratur dengan sangat panjang. Aku dan Akuatik saling berbalas pandang. Senyum. Nak cuba? Apa salahnya! Yep, kami hendak cuba mencium batu syurga Hajarul Aswad.

Perlahan-lahan kami bergerak menuju ke tempat muslimah tapi dalam keadaan yang bertolak-tolakkan tu, sudah tidak tahu yang mana tempat lelaki dan mana tempat wanita. Aku tarik Akuatik supaya dia berada di hadapan aku dan lindung belakang dia dari wanita-wanita Arab yang besar-besar dan kuat tubuh mereka. Mungkin instinct aku untuk melindungi akuatik kerana aku rasa tenaga aku lebih kuat dari dia.

Aku biarkan diri aku ditolak dari belakang dan sedikit demi sedikit kami tertolak ke hadapan macam ombak. Kaum lelaki memang tak bagi peluang untuk kaum wanita mencium Hajarul Aswad dan polis yang menjaga terpaksa menolak kepala lelaki yang seperti tidak mahu keluar dari ruang batu tersebut. Sesi tolak menolak terus berlaku. Dalam susah payah tu, akuatik berjaya mencium batu syurga. Masalah kedua pula, bagaimana nak keluar dari ombak manusia yang saling tolak menolak. Akuatik buat sesi diving. Aku yang lihat, menjerit panggil dia. Bimbang dipijak lelaki-lelaki besar dan gagah tetapi tak ada ‘peri kemanusiaan’ itu. Aku tak ada pilihan lain. Terus ditolak oleh manusia-manusia yang rakus mahu mencium batu syurga. Dengan susah payah aku berada di hadapan batu hitam. Alhamdulillah.

Dengan nama Allah, aku mencium batu syurga, dapat sipi dipipi kerana kepalaku ditarik oleh tangan-tangan kasar. Dalam keadaan yang huru hara itu, aku tersepit di antara dinding Kaabah dengan lautan manusia. Dalam keadaan tolak menolak, aku terduduk di tebing dinding Kaabah. Dongak ke atas, apa yang aku nampak hanyalah tubuh-tubuh manusia dengan tangan dan kaki masing-masing saling tolak menolak. Waktu itu aku tiba-tiba teringat tragedi Terowong Muassim. Sempat lagi aku tanya pada Allah apakah ajal aku di sini?

Hati tiba-tiba terasa seronok sekiranya dapat mati di sini, disolatkan oleh jemaah dari pelbagai negara, dan tak sabar-sabar untuk diusung ke perkuburan. Tapi tiba-tiba pula aku teringatkan hutang-hutang aku, terus aku batalkan niat. Oh tidak! Aku tak mahu mati dengan hutang yang belum terjelas. Entah dari mana datang semangat, terus aku kumpul tenaga dan cuba berdiri. Kaki aku tolak tebing dan aku takbir sekuat hati lalu tolak manusia-manusia yang menolak aku. Aku rasa hari tu aku jadi Incredible Hulk versi perempuan.

Want to add a caption to this image? Click the Settings icon.

Aku keluar dengan keadaan tudung yang senget benget tapi bibir tersenyum puas sampai ada hajah tegur aku. Hajarul Aswad? Soalnya. Aku hanya mengangguk sambil tersengih. Dalam keadaan terhuyung-hayang aku berjalan ke kawasan multazam dan cari tempat untuk bersolat. Dalam sengih-sengih aku terus buat sujud syukur. Syukur diberi nyawa untuk hidup beberapa hari lagi di muka bumi ini dan syukur diberi peluang mengucup batu syurga yang tak pernah termimpi oleh aku untuk melakukannya. Kemudian, aku bangun dan terus buat solat sunat tawaf.

Pernah tak korang rasa macam dalam mimpi? Itulah yang aku rasa sepanjang hari lepas tu. Berjalan naik ke bahagian atas sebab tak lama lagi akan azan Zohor. Aku memang berjalan terhuyung hayang macam orang mabuk cinta. Terenyih sana terenyih sini dengan tudung yang masih senget. Suka hati ini Allah saja yang tahu. Akuatik pun kata aku jalan macam orang mabuk. Tak kisahlah. Yang penting aku dapat peluang emas ini.

Al-Jinn

Selesai bersolat zohor, aku dan akuatik kembali ke Marwah menunggu sahabat yang seorang lagi. Kami memang hendak balik ke hotel untuk makan tengahari. Lapar tak terkata waktu itu. Hendak ditinggalkan tak sampai hati sebab kami datang bertiga, biarlah pulang pun bertiga. Dalam hati waktu itu aku berdoa semoga Allah gerakkan hatinya untuk mencari kami di Marwah. Alhamdulillah tak lama selepas itu, dia muncul.

Sahabat yang seorang ini ‘tak berapa sihat’. Ada orang menghantar sihir kepadanya. Jadi, walaupun malamnya sudah berubat, dia masih lagi keletihan. Bagi aku apa yang jadi padanya merupakan peringatan Allah pada aku. Faham-faham sajalah aku memang tidak sabar dengan benda-benda mistik ini. Sahabat itu tiba-tiba saja pengsan dan meracau-racau di Marwah.

Bayangkanlah, kami berdua ini bukanlah ada pengalaman dengan perkara-perkara ghaib ini. Sudahlah masing-masing tak bawa handphone, Akuatiklah terpalsa berlari balik ke hotel untuk menelefon ustaz dan sheikh yang mengubati sahabat tadi. Dipendekkan cerita, tiba-tiba kami jadi ‘glamer’ di Marwah dan rezeki sahabat tadi, didoakan, diazan dan dibaca ayat-ayat suci oleh jemaah dari pelbagai negara. Haish! Salah satu pengalaman yang unik bagi kami berdua.

Makan-makan

Want to add a caption to this image? Click the Settings icon.

Kebetulan Akuatik punya ramai saudara mara di Makkah. Malamnya kami dijemput untuk makan malam di rumah salah seorang saudara akuatik di sini. Memang kami lapar betul sebab kejadian tengahari tadi buatkan kami terlepas makan tengahari. Hendak tak hendak kami makan saja kurma dan air zam-zam buat pengalas perut. Alhamdulillah rezeki Allah bagi, makan malam itu, kami makan dengan bersungguh-sungguh.

Want to add a caption to this image? Click the Settings icon.

Kekenyangan sampai nak bangun awal pun malas hahahaha… errr itu akulah bukan Akuatik dan Cik Mimi.
#travel #mekah #madinah #kaabah #firstumrah #experience #umrah #glasgow

You might also enjoy

KE DUBLIN

Isnin lepas, saya mengendeng ikut ‘housemate’ pergi ke menyeberang laut

DESTINASI TERAKHIR: MANCHESTER

Jumaat: 18 Mac 2022 HARI NI KAMI tinggalkan Glasgow dan mulakan perjalanan ke Manchester pula. Ini bandar terakhir kami di UK sebelum…

DUNEDIN, IBU KOTA SCOTLAND

Rabu: 16 Mac 2022 BAS KAMI KE Edinburgh bertolak jam 9.40 pagi. Awal pagi kami dah ke Buchanan Bus Station untuk naik bas ke ibu kota…

HELLO GLASGOW!

Selasa: 15 Mac 2022 INILAH TEMPAT JATUH bangun selama 5 tahun. Banyak kenangan pahit manis di sini. Bandar yang menyatukan kami yang ke…

BYE HULL, SAMPAI KETEMU LAGI

Isnin: 14 Mac 2022 TIBA MASA KAMI tinggalkan bandar York dan pasangan yang dah jadi keluarga angkat aku. Hari ni kami akan ke Glasgow…

KOTA DI BALIK TEMBOK

Sunday: 13 Mac 2022 HARI NI KAMI ke York pula. Asalnya nak cari carboot tapi memandangkan masih lagi dalam bulan musim sejuk, belum ada…

KNARESBOROUGH PEKAN FAIRY TALE

Sabtu: 12 Mac 2022 HARI NI KAMI ke Knaresborough. Tempat ni lebih kurang 70 batu jauhnya dari Hull. Jadi, pagi lepas sarapan, kami pun…

PERJALANAN KE HULL

Jumaat: 11 Mac 2022 JAM 6AM, KAMI dah sedia nak keluar heret beg ke stesen kereta api King Cross. Pembantu hotel kata, tak perlu buat…