SHANTI KUCING YANG dikutip dalam longkang waktu hujan lebat. Kira-kira 4 tahun lalu.
Bukan aku yang kutip, tapi tuan dia yang terdahulu. Shanti kucing bandar. Kota Metropolitan. Lokasi spesifik, Jalan Ipoh.

Apa istimewanya Shanti ni. Tak ada apa sangat.
Kucing betina yang sudah dikasi. Suka makan tidur dan jadi Kak Long kawasan. Jangan cuba-cuba nak masuk rumah, Kak Long kawasan akan perhambat kucing jalanan lain. Ini rumah Kak Long kawasan, cuma kadang-kadang Kak Long kawasan ni kalah juga dengan kucing jantan putih-kuning-comot. Setakat kembang ekor kontot lepas tu lari sembunyi diri.
Kenapa namakan Shanti? Macam tak ada nama lain.
Shanti kucing betina yang usianya kira-kira empat tahun. Tuannya sebelum ini si Louis. Seorang pengamal yoga, beragama Buddha dan Hindu, yang duduk dengan auntie dan anaknya Parvin yang juga guru yoga. Yang ada alahan dengan bulu kucing, tapi tetap bela haiwan comel ni dalam rumah dorang.

Sebab kesian dengan owner yang alergi dengan bulu kucing, aku akhirnya tawarkan diri untuk jaga Shanti. Kalau tak tuannya akan bersin memanjang dan makan ubat saja kerjanya. Kucing ni pun sebab dah biasa dengan aku, dan aku pun suka personalitinya yang gila.
Shanti tak macam kebanyakan kucing betina yang lain. Yang manja dan suka menggesel. Atau buat huruf lapan kat kaki yang boleh buat orang tersangkut dan nak tersungkur.
Dia kurang mengiau, kecuali bila nak keluar rumah, nak masuk rumah. Atau kena tinggal duduk dalam rumah. Mungkin sebab perangai gila dia ni yang sangat cocok dengan aku.
Memang kucing yang pernah aku bela sebelum ini pun jenis yang bukan suka menggesel sangat. Tapi, ada juga yang memang jenis suka tidur sama. Paling akhir percubaan membela kucing adalah dengan si Abu. Tapi usia Abu tak panjang, sejak tu memang serik juga nak membela kucing.

Apa yang aku nak cerita adalah, aku sebenarnya admire dengan pemilik Shanti sebelum ni, Si Parvin. Dia seorang yang sangat devoted dengan agama dan membuat kebaikan.
Pernah ke jumpa orang yang alah pada bulu kucing tapi tetap bela 2 ekor kucing di rumah? Sanggup biarkan sofa yang harganya beribu-ribu ringgit dicakar dua ekor kucing betina yang tak berapa nak waras? Rasanya tak ramai yang sanggup buat macam dia. Alangkan mak aku aje, bila si Shanti dah mula mencakar kerusi, dia terus hambat dan pukul ekor kontot betina tu, inikan pula sampai 2 ekor. Mahu rumah tu berapi menyala-nyala terus.
Bila kesian asyik tengok Parvin terpaksa ambil ubat antihistamine, aku offer diri untuk jaga Shanti. Aku hantar balik Melaka sebab rasanya kat situ dia boleh bebas sikit. Tak adalah terperuk saja dalam rumah walaupun dia dah house-trained.
Peraturan Tuhan itu memang cantik kan? Kalau aku tak tinggal dengan Auntie tu, aku mungkin tak dapat Shanti. Walaupun pada asalnya aku bukan peminat kucing betina, tapi Shanti memenuhi keperluan emosi aku. Dia bukan jenis kucing yang suka meggesel badan, tak berapa suka diangkat atau dicium. Dia seekor kucing yang ada personaliti yang lain dari biasa.

Lagipun kat rumah ni, tak semua orang suka kucing. Aku dengan arwah abah aje yang memang sangat-sangat suka pada makhluk berbulu ni. Jadi Shanti memang sesuai dengan keadaan kat rumah. Dia boleh buat hal dia saja, yang penting dapat makan, tempat berak dibersihkan dan boleh keluar malam dari jam 11pm hingga awal pagi.
Kau ni dah macam ‘ayam’ pulak aku tengok Shanti. Kalau tak dapat keluar malam, meroyan tak tentu hala.
#cat #cats #femalecat #kucingbetina #catlover #pencintakucing #pets #shanti #gangstertaman