MERAH BUNGA KERTAS 9

Share this article

BUNYI ENJIN KERETA Toyota Prius Hybrid menderam masuk ke dalam perkarangan rumah. Asma sudah bersedia di pintu utama. Matanya melirik sepintas memerhatikan keadaan rumah yang telah dibersihkan semenjak tengah hari tadi.

Dengan pantas, dia membetulkan baju kurung yang dikenakan. Rambutnya juga telah disisir rapi dan wajah dirias seringkas mungkin. Ah! Asmah bukannya pandai bermekap pun, setakat berbedak dan secalit gincu warna merah pudar, mana-mana wanita pun pandai.

Jantungnya berdegup agak pantas tatkala dia mengintai di balik langsir, memerhatikan kereta yang berhenti di anjung rumah. Sekonyong-konyong itu juga pintu pagar automatik tertutup rapat.

Tatkala enjin kereta dimatikan, Asmah sudah bersedia dan dengan membaca Bismillah, dia terus membuka pintu kayu.

Hafiz hampir ternganga sebaik saja terlihat kelibat wanita itu eh! Isterinya berdiri di muka pintu. Kenapa pula tiba-tiba malam ini Asma menunggunya pulang kerja? Tidak pernah dibuat sebelum ini.

Hafiz terus memandang wajah Asma yang tersenyum tenang. Hatinya dipukul dengan perasaan tidak selesa. Apa yang Asma mahukan darinya?

“Assalamualaikum,” tegur Asma dengan sopan. Dia melemparkan senyuman manis kepada Hafiz namun lelaki itu memandangnya dengan penuh tanda tanya.

“Er.. nak makan?” soal Asma lagi. Tiba-tiba dia terasa malu. Sebelum ini mereka tidak pernah bersepakat untuk memanggil masing-masing dengan nama istimewa. Asma tidak tahu sama ada hendak memanggil Hafiz dengan panggilan “Abang” atau ah! Takkan hendak memanggilnya dengan panggilan “Sayang”?

“Saya ada masak nasi dengan lauk sikit. Kalau nak makan, saya boleh panaskan?” Hampir bergetar suara Asma cuba menahan malu yang melanda. Entah kenapa dia rasa sungguh-sungguh malu bercakap dengan Hafiz. Padahal tadi dia sendiri yang sudah berazam mahu menjadi yang terbaik untuk suaminya.

Hafiz terus memandang wajah Asma dengan pandangan yang penuh tanda tanya dan curiga. Tanpa menjawab pertanyaan Asma, dia terus melangkah masuk dan menaiki tangga untuk ke biliknya. Dia menggelengkan kepala masih tidak percaya dengan tindakan Asma.

Asma hanya senyum tawar dan terus beristighfar dalam hati. Takkan dengan sekali usaha, kau sudah hendakkan jawapan positif? Asma, jangan putus asa, berusahalah dan berdoalah. Hanya Allah saja yang mampu menukar hati hamba-Nya.

Dengan senyuman yang masih bersisa, Asma melangkah keluar lalu mengambil kasut kepunyaan suaminya dan meletakkannya dengan tertib di tempat letak kasut. Dia melemparkan pandangan ke luar buat seketika lalu menarik nafas panjang dan kembali masuk ke dalam rumah, mengunci pintu kemudian berjalan ke dapur.

– Bersambung –

Bahagian 10

#tudungsaji #kecewa #terluka #novelcinta #cinta #khairynothman #jemariseni

You might also enjoy