ASMA MELEPASKAN PANDANGAN ke luar tingkap. Campuran warna lampu-lampu neon ibu kota memang mengasyikkan. Apatah lagi pemandangan itu dari bilik berhawa dingin tingkat empat belas.
Majlis akad nikah dan kenduri walimah sudah selesai. Kini dia menikmati malam pertamanya dengan memerhatikan lampu berwarna warni di tengah-tengah ibukota, sendirian.
Hafiz sudah keluar sebaik saja dia meletakkan beg pakaian mereka di bilik itu.
“Tak payah tunggu.”
Hanya tiga patah perkataan ditinggalkan sebagai pesanan. Asma terpinga-pinga sendirian. Memang dia sudah jangka sikap Hafiz akan dingin dengannya, tapi dia tidak sangka Hafiz akan tinggalkan dia sendirian begini.
Pada malam pertama perkahwinan mereka.
Apa yang kau harapkan, Asma? Bukankah sejak awal lagi dia sudah beritahu yang perkahwinan ini bukan atas kehendaknya, tetapi untuk menyenangkan hati ibunya? Bukankah kau sudah arif fasal itu?
Benar, Asma sudah arif fasal sebab perkahwinan mereka, tapi kenapa hatinya masih lagi terasa? Apakah egonya yang tercabar atau hatinya…
Asma melepaskan kain langsir dan berjalan mendekati begnya yang terletak di atas katil kelamin. Dia membuka tudung lalu dicampakkan di sebelah beg itu.
Asma tutup mata sebentar. Masih terbayang segaknya Hafiz yang mengenakan baju Melayu hasil jahitannya ketika berjabat tangan dengan kadi sewaktu akad nikah. Betapa tenangnya wajah lelaki itu ketika dibacakan tentang tanggungjawab seorang suami dan … taklik.
Kemudian wajah emak yang gembira menjalar di setiap ruang minda. Wajah emak yang tersenyum dan kemudian mengelap air mata yang menitis. Emak kata, itu tangis gembira. Tangis syukur. Akhirnya apa yang emak doakan selalu, diperkenankan Allah.
Betapa gembiranya emak memeluk besannya Hajah Zaitun. Syukur, kata emak, kerana Asma dapat ibu mentua sebaik Hajah Zaitun.
Belum lagi emak memuji-muji Hafiz. Kacak, berkerjaya dan juga berakhlak tinggi kerana menerima Asma seadanya. Gadis kampung yang tidak punya pendidikan tinggi dan bekerja sebagai tukang jahit.
Sempat lagi emak minta maaf kepada Hafiz kerana tidak sempurna mendidik Asma dalam hal-hal rumah tangga. Asma tidak lawa kerana tidak pandai merias diri.
Asma yang tidak pandai bergaul sangat kerana sejak kecil, dia punya tanggungjawab yang besar menjaga adik-adik dan sejak ayahnya meninggal dunia, Asmalah yang menjadi ketua dalam keluarga.
Emak minta maaf lagi kerana tak mengajar anaknya itu memasak makanan yang sedap-sedap. Asma tak pandai memasak kerana Asma lebih menumpukan perhatian kepada kerjayanya sebagai seorang tukang jahit untuk membantu menyara mereka sekeluarga.
Asma seka air mata yang mengalir laju. Kalaulah emak tahu…
“Kita tak ada perjanjian cerai. Awak akan sah jadi isteri saya. Hanya apabila Allah kata jodoh kita sampai takat situ, then kita ambil jalan yang terbaik untuk kita. Tapi, saya tetap akan minta awak beri izin untuk saya kahwin dengan Safia.”
Dengan perlahan Asma buka zip beg. Satu sampul surat berwarna perang dikeluarkan. Dia menarik keluar kertas putih dari sampul perang itu. Hatinya semakin sebak.
Pandangannya berbalam-balam cuba meneliti tulisan di atas kertas putih. Air matanya mahu menitik lagi tapi ditahan sekuat hati.
Apalah sangat berkorban maruah ini, demi untuk menggembirakan hati emak.
Asma angkat pen di sebelah. Dia mengesat air mata yang berkumpul dengan hujung lengan baju. Kalau itu yang Hafiz mahukan, buat apa nak bertangguh lagi?
Dengan pantas dia membelek-belek kertas itu. Akhirnya dia jumpa dengan apa yang dicari. Asma terus turunkan tandatangan.
Borang memberi izin nikah itu akan diserahkan kepada Hafiz nanti.
Itulah hadiah perkahwinan yang paling mahal pernah seorang isteri berikan kepada suaminya. Tak apalah, dia reda. Dia buat semua ini demi untuk menyenangkan hati emaknya. Bukan untuk Hafiz tetapi emaknya.
“Lepas nikah ni, Asma terus duduk dengan Hafiz. Bukan dengan emak ye.” Hajah Zaitun ketawa. “Hafiz ada rumah sendiri, tapi sebab dia duduk seorang, dia selalu balik rumah emak sebab malas nak masak. Sekarang ni Asma dah ada, tak perlulah dia balik rumah emak selalu.”
– Bersambung –
#poligami #novelcinta #cinta #khairynothman #merahbungakertas #jemariseni #ceritapendek