MUNGKIN APABILA DILETAK sebelah menyebelah dan dilihat daripada segi perawakan, mereka berdua agak berbeza. Tidak langsung seperti pinang dibelah dua, mahupun kelapa yang terbelah juga, fikir Hajah Zaitun.

Hafiz bertubuh tinggi, tegap sebab suka bersukan, dengan rambut pendek yang sengaja diletak krim rambut dan difesyenkan cacak-cacak. Bila diusik, dia kata dia mahu kelihatan seperti Kevin Pietersen, pemain kriket England.
Anak bongsu Hajah Zaitun itu mempunyai raut wajah tenang, dihiasi dengan sepasang mata bundar yang dipayungi alis yang lebat dan terbentuk lurus. Hidungnya mancung dan bentuk bibirnya yang bergaris lurus seperti menyimpan senyum.
Asma pula rendah sahaja orangnya, sekitar lima kaki dua inci. Bertubuh agak gempal sedikit, berkulit cerah dan gebu tanpa ada satu jerawat pun yang mencacatkan wajah. Bibirnya mongel, hidung elok terletak. Sepasang mata yang jernih yang membiaskan hati yang tulus.
Tapi yang paling memikat Hajah Zaitun, gadis itu memakai tudung jenis mini telekung yang menutup dada.
Bukankah isteri yang soleh, akan dapat membantu suaminya lebih mendekatkan dirinya dengan Tuhan? Hajah Zaitun harap sangat yang Asma mampu membawa peranannya sebagai isteri yang solehah apabila dia dijodohkan dengan Hafiz. Amin!
Asma menghadiahkan satu senyuman manis, matanya berkaca tiba-tiba apabila mengenangkan emak, dan adik-adik yang masih bersekolah di kampung.
“Emak saya besarkan kami seorang diri selepas ayah meninggal dunia kemalangan jalan raya sebelas tahun lepas,” kata Asma. Hatinya tiba-tiba bertambah sebak bila teringatkan ayah. Dia beristighfar dalam hati. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas roh ayah.
“Adik beradik saya lapan orang semuanya. Saya anak yang sulung. Adik yang kecil sekali tahun ni ambil PMR, kakaknya pula akan ambil SPM,” kata Asma lagi. Hati yang sayu tadi bertukar bangga apabila teringat pula adik beradik yang lain.
Bukan mudah hendak membesarkan anak seramai lapan orang tapi emak seorang wanita yang tabah dan berjaya. Hampir kesemua anak-anak emak berjaya dalam pelajaran.
Cuma Asma saja yang agak kurang cemerlang di dalam pelajaran tapi Asma macam emak juga. Cekal dan tabah. Sudah sepuluh tahun Asma mengambil tugas ayah, mencari rezeki untuk keluarga.
“Jadi Asmalah yang bantu keluarga selama ini?” soal Hajah Zaitun, tidak percaya.
“Biasalah anak sulung makcik. Kalau tak saya, siapa lagi? Tapi sekarang ni dah senang sikit sebab, tiga adik di bawah, sudah bekerja. Yang ke-lima dan enam masih lagi menuntut di universiti,” jawab Asma lalu tersenyum. Dia tidak pernah merasa susah terpaksa menyara adik beradiknya belajar.
Tiba-tiba saja telefon bimbit milik Hafiz berdering. Dia cepat-cepat mengeluarkan dari poket. Jelingan tajam ibunya tidak diendahkan. Dia terus menekan punat hijau dan memberi salam pada si pemanggil.
Tiga wanita di meja makan terdiam. Hajah Zaitun dan Zainab memasang telinga. Asma diam kerana memberi ruang kepada lelaki itu berbual di telefon seketika. Sambil memasang telinga juga.
Tidak sampai seminit, talian telefon dimatikan. Hafiz memandang ibunya. “Mak, saya kena pergi sekarang. Ada hal sedikit.”
– Bersambung –
#merahbungakertas #kahwindua #poligami #novel #khairynothman