“KENAL-KENAL DULULAH dengan orangnya, baru kata suka ke tak.”
“Mak ni, malaslah!”
“Habis, kamu memang dah tetap hati nakkan janda anak tiga tu?”
Hafiz hanya diamkan diri. Memang kalau ikutkan hatinya dia memang tetap mahukan Safia menjadi teman hidupnya yang sah, sehingga akhir hayat. Safia yang lembut, cantik, pintar.. ah! Serba serbi cukup, cuma statusnya sahaja yang emaknya tidak berkenan.

Safia janda anak tiga. Itu saja. Sebenarnya tidak ada yang kurang pada Safia. Cuma emak saja tidak suka Hafiz berkahwin dengan seorang janda. Tapi, kan senang? Emak bakal dapat cucu segera seramai tiga orang!
“Kalau kamu memang mahukan janda tu, tak payahlah panggil emak ni emak kamu lagi. Pergilah kamu kahwin dengan dia tapi tak payahlah balik rumah emak lagi,” kata Hajah Zaiton. Suaranya sudah bergetar.
Hafiz anak bongsu dan sebelum ini tidak pernah membantah kata-katanya. Tapi semenjak dia meluahkan hasratnya mahu memperisterikan janda beranak tiga dan dibantahi hasratnya, anak itu semakin kurang ajar!
“Sudah berapa kali Hafiz kata, mak kenal dulu dengan Safia. Walaupun dia seorang janda, dia baik mak,” kata Hafiz cuba memujuk.
Mungkin kali ini emak akan terbuka dan lembut hati sebab emak juga guna taktik yang sama untuk pujuk dia berjumpa dengan perempuan yang dia tidak kenal.
Itulah yang dilakukan selalu. Memujuk emak berkali-kali supaya setuju berjumpa Safia, tapi emak degil. Dia tetap tidak mahu bermenantukan seorang wanita yang sudah berstatus janda. Apatah lagi membawa tiga orang anak. Dua orang perempuan dan seorang lelaki. Mak kata nanti bila budak-budak perempuan itu sudah akil baligh, mereka kena jaga adab dan pergaulan dengan bapa tiri. Susah!
Hafiz tahu itu salah satu alasan emak saja. Sebenarnya emak memang tidak mahu seorang janda menjadi menantunya. Emak bukan seorang wanita yang berfikiran terbuka dalam bab-bab ini. Umur emak sudah 62 tahun, jadi fikirannya masih lagi terperangkap dalam arus pemikiran tradisional.
Adik Hajah Zaitun, Zainab kata dia sudah berkenan dengan bos tempat dia bekerja. Orangnya manis, peramah dan pandai mengambil hati pelanggan. Cekap menjahit pelbagai fesyen dan boleh berdikari. Sesuai dengan Hafiz.
Kata Zainab lagi, dia berkenan dengan gadis itu sebab gadis itu pun bersopan santun dan pandai jaga akhlak. Bijak cari duit juga. Kalau Zainab ada anak lelaki, memang dia akan pinangkan gadis itu untuk anaknya.
Hajah Zaitun sudah terpikat dengan kata-kata adiknya. Lagipun hatinya sudah tetap tidak mahu menerima wanita yang disukai Hafiz sebagai menantunya. Tidak ada siapa yang boleh tukar fikirannya.
Bukan Hafiz seorang saja yang cuba memujuk emak, tetapi kakak dan abang Hafiz pun gagal memujuk emak. Emak tetap dengan keputusannya. Anak bongsunya mesti berkahwin dengan seorang dara. Muktamat!
“Tak semestinya janda tu jahat, mak,” pujuk Hafiz lagi. “Safia tu pandai jaga anak-anaknya, pandai berdikari.”
“Kalau pandai, kenapa dia bercerai? Kenapa laki dia tinggalkan dia?” soal emak lagi. Balik-balik soalan itu yang diulang. Hafiz pun pening hendak melayan kerenah emak yang tiba-tiba saja cerewet memilih menantu.
“Kan Hafiz dah beritahu, suaminya yang tinggalkan dia macam tu saja. Mak, bukan senang seorang wanita yang sudah kecewa dengan lelaki hendak terima lelaki lain dalam hidupnya. Mak pun perempuan, mak mesti faham perasaan seorang perempuan,” pujuk Hafiz lagi.
Malang sekali, pujukan Hafiz itu ibarat mencurah air ke daun keladi. Tidak memberi kesan. “Kalau kamu hendak jadi anak derhaka, kamu kahwinlah dengan janda tu. Ingat Hafiz, syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Kamu tahu tak maksudnya?
Maksudnya di situlah tempat seorang anak. Busuk macam mana pun, hina macam mana pun seorang ibu itu, kamu tetap mesti muliakan dia. Bukan mak yang tetapkan kemuliaan ini, tapi Allah. Kalau kamu bantah cakap mak, bermakna kamu bantah cakap Allah!”
Hajah Zaitun terus angkat punggung membiarkan Hafiz duduk seorang diri di meja makan memerhatikan nasi goreng, sarapan paginya yang baru suku dijamah.
Hafiz mengeluh. Susah hatinya kalau emak sudah mengugut begitu.
– Bersambung –
#merahbungakertas #novel #khairynothman