SAFIA MEMANG CANTIK dan anggun, memang patutlah Hafiz berkenan. Memang jauh umpama langit dengan bumi antara Asma dan Safia. Bukan setakat cantik dan anggun, berpelajaran dan dari keluarga berada.
Ketiga-tiga anak Safia juga comel-comel. Keluarga Safia walaupun berada, tetapi tidak sombong. Layanan diberikan sama rata kepada para tetamu. Tidak kiralah berpangkat Tan Sri, Puan Sri, Datuk, Datin atau yang langsung tidak berpangkat dan orang biasa-biasa saja seperti Asma.
Asma cuba cari kekurangan keluarga Safia, tetapi secara jujurnya dia tidak jumpa walau satupun. Malah, Asma pula yang rasa banyak kekurangannya.
Perkara-perkara begini yang buat Asma rasa rendah diri sangat. Macam mana dia hendak menang kalau bertanding dengan Safia untuk merebut hati Hafiz.
Kira kalah mati terus!
Walaupun keluarga Hafiz tidak pernah merendah-rendahkan Asma, tapi sudah pasti mereka lebih cocok berbesan dengan keluarga Safia. Apalah sangat berbesan dengan keluarga Asma yang hanya orang biasa-biasa saja di kampung.
Takkan Puan Zaitun, (itulah Asma kalau sudah rasa rendah diri, emak mentua sendiripun digelar Puan) berkenan dengan emak Asma hanya kerana mereka sama-sama janda kematian suami? Isy Asma ini, ke situ pula dia berfikir.
Apa yang Kak Wani pernah beritahu dia, yang mak Hafiz tidak berkenan dengan Safia kerana wanita itu janda beranak tiga. Janda juga, bukan?
Bezanya Safia janda bercerai, bukan kematian suami. Apakah itu kriteria utama yang Puan Zaitun tidak berkenan dengan Safia?
Sedangkan masyarakat moden sekarang ini sudah tidak prejudis dengan janda. Malah, ada masa-masanya janda lebih laku daripada anak dara. Eh! Asma pula yang prejudis dalam hal ini.
Sebenarnya memang Asma kecil hati. Kalau dia berfikir dengan akal yang waras, Hafiz memang lebih sepadan dengan Safia. Sama-sama bekerjaya, sama-sama segak, cantik dan menawan serta berpendidikan tinggi.
Apalah yang ada pada Asma? Dia cuma gadis kampung yang datang ke bandar mencari rezeki. Dia langsung tiada pengalaman bercinta apatah lagi pandai-pandai mahu bermain dengan perasaan orang. Alangkan perasaan sendiri pun tidak pandai ditebak.
“Asma?”
Asma angkat wajah apabila namanya diseru. Sepasang matanya terus sahaja membulat. Air cendol yang disuap terasa tersangkut di kerongkong.
Bukan Asma sahaja yang terperanjat memandang individu yang menyeru namanya. Lima lagi tetamu yang duduk semeja dengannya turut tersentak. Perbualan yang bersimpang siur pada mulanya, semakin lama semakin menghilang.
Secara automatik Asma terus berdiri persis seorang askar yang berdiri hormat kepada ketuanya. Mulutnya sedikit terbuka, namun tiada suara yang keluar.
“Eh, Hafiz di sini?” Seru suatu suara yang lain pula. Pandangan Asma, Hafiz dan lima yang lain terarah kepada individu yang berjalan dengan anggun ke meja mereka.
“Papa cari tadi, katanya ada hal nak cakap sikit…” Safia memandang Hafiz, kemudian pandangannya dilepaskan ke arah tetamu di meja yang memandang mereka dengan satu pandangan yang agak ‘pelik’.
Hafiz telan air liur. “Safia dah kenal Asma?” soalnya.
Seperti satu irama, kelima-lima tubuh di meja itu bergerak ke hadapan sedikit. Mahu mendengar dialog selanjutnya.
“Siapa?” Safia kehairanan.
“Isteri Hafiz,” sampuk Kak Wani.
Dan begitulah ceritanya bagaimana Asma keesokan petangnya, mengambil keputusan ke pejabat Ati untuk meluahkan perasaannya kepada sahabat karibnya itu dan berakhir dengan ‘drama’ dia menangis di pantri pejabat itu.
– Bersambung –
#kanopi #kenduri #cendol #novel #novelcinta #khairynothman #jemariseni