MERAH BUNGA KERTAS 10

Share this article

HUJUNG KAIN BAJU kurung Asma sudah basah kuyup terkena percikan air hujan di tempat menunggu bas. Sudah lebih lima belas minit dia menunggu bas di situ tapi bas yang ditunggu tidak pun muncul-muncul.

Biasanya kalau hari minggu memang khidmat bas agak lewat kerana tidak ramai penumpang. Lagipun memang Asma seorang diri saja menunggu bas di situ.

Risaukan hujan yang masih lebat, bas yang tidak kunjung tiba dan berada keseorangan di situ berselang-seli bermain dalam benak Asma.

Kalaulah sesuatu yang buruk berlaku kala ini. Nauzubillah.. Asma tidak mahu fikir yang buruk-buruk.

Asma bergerak ke tengah tempat menunggu bas. Dia memanjangkan leher melihat kalau-kalau ada bas yang tiba, namun hampa.

Sebuah kenderaan putih tiba-tiba berhenti dekat tempat menunggu bas. Hati Asma berdebar-debar. Lama ditenung kereta itu.

Eh?

Tingkap di bahagian penumpang turun perlahan. Seorang lelaki menjenguk ke luar. “Masuk cepat! Basah ni!”

Asma terpinga-pinga seketika.

“Cepatlah!”

Asma terburu-buru rapat ke kereta dan membuka pintu kenderaan itu lalu menyusup masuk. Daun pintu ditarik rapat dan punat tingkap ditekan. Secara automatik cermin kembali rapat.

“Kenapa keluar hari Ahad?”

Asma diam seketika. Dia menarik talipinggang keledar lalu dikunci. Mindanya masih tertanya-tanya mengapa Hafiz datang menjemputnya di tempat menunggu bas?

“Er… saya ada tempahan yang perlu disiapkan secepat mungkin,” jawab Asma tertib. Hujung kain yang basah menyebabkan kakinya terasa sejuk apabila disapa angin dingin yang keluar dari penyaman udara.

Hafiz mengerling seketika wajah isterinya yang cuak berada di dalam kereta dengannya. Dia memperlahankan penyaman udara. Hafiz tahu Asma kesejukan apatah lagi hujung kainnya itu basah kuyup.

Sepanjang perjalanan itu masing-masing hanya mendiamkan diri. Asma tidak tahu bagaimana hendak memulakan perbualan. Sepanjang perkahwinan mereka pun, belum pernah Hafiz menunjukkan kemesraan kepadanya, apatah lagi untuk berbual sekali pun.

Tindakan Hafiz menjemputnya di tempat menunggu bas dalam keadaan hujan lebat benar-benar membuatkan Asma tertanya-tanya. Jauh di sudut hatinya terbit satu sinar harapan yang Hafiz mungkin sudah dapat menerimanya sebagai isteri.

Apakah benar suaminya itu sudah dapat menerimanya? Apakah sudah ada rasa cinta yang mula berputik dalam jiwa lelaki itu? Perasaan Asma jadi terbuai-buai dengan angan-angannya sendiri.

Hafiz memberikan tumpuan sepenuhnya dalam pemanduan. Dia perlu lebih berhati-hati ketika memandu dalam keadaan hujan lebat. Asma di sebelah dibiarkan bermain dengan perasaan sendiri.

Dia menekan punat radio membiarkan suasana sunyi di dalam kenderaan dipenuhi dengan bunyi muzik dari CD pilihan. Dia tidak bersedia untuk berbual dengan Asma. Isterinya yang sah.

Walaupun mereka tinggal serumah lebih sebulan lamanya tapi mereka tidak pernah berbual apatah lagi bermesra. Sesekali saja mereka bercakap, itupun sekiranya ada hal yang penting. Cuma kebelakangan ini Asma rajin menegurnya, menunggunya pulang kerja, menyediakan makan malam dan bertanya sama ada dia mahu makan.

Tetapi, Hafiz saja yang selalu menolak. Cuma Hafiz saja yang selalu mengelak. Kalau boleh dia tidak mahu menegur atau bercakap langsung dengan Asma. Kalau boleh dia tidak mahu ada rasa bersalah kerana tidak menegur atau pun melemparkan senyuman kepada isterinya.

Asma, isterinya yang sah langsung tidak melawan. Asma isterinya itu terus juga menunggunya pulang kerja, terus juga menyediakan makan malam walaupun dia tidak pernah menjamahnya.

Hanya pagi tadi saja Hafiz tergerak hati untuk menjamah masakan Asma. Boleh tahan juga masakannya. Mungkin hasil latih tubi sebelum ini memasak makan malam setiap hari untuk Hafiz.

Apabila Hafiz melihat langit yang mendung dan mendengar bunyi hujan lebat dan guruh, tiba-tiba terselit rasa bimbang mengenangkan Asma yang menunggu di tempat menunggu bas.

Bagaimana agaknya Asma menunggu bas seorang diri. Apakah dia akan menggigil kebasahan terkena hujan. Selamatkah dia menunggu seorang diri?

Hafiz juga tidak tahu apa sebenarnya yang dia rasakan kala ini. Kasihan?

– Bersambung –

Bahagian 11

#merahbungakertas #novelcinta #novel #hujan #hatiluka #khairynothman #jemariseni

You might also enjoy