1.
“AKU DAH JUMPA dia.”
“Siapa?”
“Dialah.”
Dia siapa? Cuba cakap dengan terang sikit? Kau ingat aku ada skil baca fikiran orang ke?”
Wajah Asma mencuka.

“Perempuan itulah.”
“Perempuan mana?” Ati sudah tinggi suara. Rasa tidak sabar dengan kerenah Asma semakin kuat.
“Ex-girlfriend suami aku.” Lemah sekali suara Asma.
Suasana sunyi seketika. Perasaan tidak sabar, segera hilang. Ati pandang wajah Asma yang mendung. Matanya terkebil-kebil memandang Ati.
“Ex-girlfriend ke current girlfriend?” soal Ati keras.
“Sampai hati kau…”
“Asma, aku kawan baik kau, jadi aku ada hak betulkan mana yang tak betul,” kata Ati lagi. Matanya mencerlung memandang wajah Asma.
Kawannya ini memang suka cari nahas! Yang pergi jumpa girlfriend suami sendiri tu mengapa? Yang suami pula, sudah kahwin pun, belajar-belajarlah lupakan teman wanita sendiri. Kalau sudah kemaruk sangat, pergilah kahwin dengan girlfriend tu, jadikan isteri nombor dua! Yang penting perhubungan itu menjadi halal!
“Aku tahulah kau tak suka dia…”
“Dia? Dia siapa?” Pening betul Ati dengan kerenah Asma.
“Suami aku.”
Ati mengeluh.
“Aku bukan tak suka suami kau, tapi aku tak suka cara dia melayan kau, As.”
“Samalah tu…kesimpulannya, tak suka,” rajuk Asma lagi.
“Aku tak suka cara seseorang tu tak semestinya aku tak suka dia.”
“Apalah yang kau cakap ni, berbelit-belit,” tingkah Asma lagi.
“Ah, sudahlah kau, kadang-kadang kau ni lurus macam bendul. Apa cerita yang kau pergi jumpa girlfriend suami kau?” tanya Ati. Asma kalau dilayan, semakin panjang ceritanya. Jadi, terus aje kepada pokok permasalahannya.
“Cantiklah Ati, cantik sangat,” kata Asma, juga tidak menjawab soalan.
“Cantik macam model ke?” tanya Ati lagi. Kali ini dia terpaksa mengikut arus pemikiran Asma yang boleh melompat ke sana sini.
“Macam model bertudung, memang lawa. Putih, kurus dan tinggi,” jawab Asma lemah.
“Hmm… dua lawan satu.”
Asma pandang Ati dengan mata terkebil-kebil. Tak faham.
“Kurus dan tinggi. Kau tu dahlah pendek, tembam pulak tu,” giat Ati.
“Itulah…” Dia kembali menundukkan kepala.
Isy! Tak faham makna ‘bergurau’ agaknya Asma ni! Ati hela nafas. “Apa lagi?”
“Hmm… orangnya lemah lembut dan pandai memasak.”
“Masak? Kau pergi makan kat rumah dia ke?” Ati terperanjat.
“Hmm… aku ikut Kak Wani pergi rumah dia,” jawab Asma.
“Suami kau tahu tak?” soal Ati. Matanya bulat memandang wajah Asma.
“Tahu, tapi dia tak tahu aku pergi rumah perempuan tu. Lagipun aku cuma cakap yang kami pergi rumah kawan aje.”
Memang cari nahas betul kawannya yang seorang ini! “Habis tu apa jadi?”
“Dia layan aku baik sangat, tapi dia tak kenal aku sebab aku cuma kata nama aku As aje,” jawab Asma. Dia memandang wajah Ati.
“Kalau aku jujur… aku kata, aku suka dia.”
Ati kerut dahi. Memang susah nak ikut cara Asma berfikir. “Suka? Siapa?”
“Perempuan itulah!”
Aduh! Asma….
“Tapi, lepas tu suami aku pulak datang dengan kawan pejabat dia.”
“Hah?!”
“Terbeliak mata dia bila dia nampak aku duduk sebelah Kak Wani, makan cendol.”
“Dia ada cakap apa-apa?” soal Ati.
“Tak. Dia cuma diam aje sepanjang dia kat sana. Kak Wani yang serba salah,” jawab Asma. “Aku pun ikut serba salahlah. Canggung.”
“Yalah, padan muka kau! Yang kau ikut Kak Wani pergi ke rumah perempuan tu siapa suruh?”
“Saja… sebab aku nak tengok perempuan tu dan Kak Wani pun kata dia kenal perempuan tu,” jawab Asma.
“Lepas tu apa jadi?” tanya Ati lagi. Berminat pula dia hendak tahu ‘drama’ spontan tanpa artis terkenal ni.
“Suami aku kenalkan aku.”
“Perempuan tu macam mana?”
“Jadi terperanjatlah. Terpaksalah aku minta maaf sebab tak berterus terang dari awal.”
“Kau balik dengan siapa lepas tu? Kak Wani yang kepoh tu ke atau dengan suami kau?”
Asma pandang wajah Ati. “Suami aku.”
“Lain kali kau buatlah lagi ye? Pergi dengar saja cakap Kak Wani yang tak boleh pakai tu. Yalah, apalah sangat aku dengan Khalid ni, kan? Kawan yang bertahun-tahun dengan kau… berbanding dengan Kak Wani tu,” perli Ati lagi.
Kadang-kadang dengan Asma tak boleh berlembut sangat, kena tegas. Sebab dia suka sangat buat kerja ikut kepala sendiri. Nampak aje lurus bendul, tapi degilnya… ya ampun!
“Okey, okey. Aku tak buat lagi,” jawab Asma.
“Ni, yang kau datang pejabat aku ni, suami kau tahu tak?” soal Ati. Walaupun polisi pejabatnya agak terbuka, di mana kawan-kawan boleh datang melawat, dia tidak sukalah Asma selalu ke sini tanpa izin suami.
“Tahu… aku hantar WhatsApp kata aku kat ofis kau,” jawab Asma.
“Baliklah… tak payah nak berkampung kat ofis aku ni.”
“Kau ni Ati kejam betullah. Aku harap satu hari nanti kau akan jatuh cinta dan berkahwin. Baru kau tahu macam mana seksanya kalau suami tak sayangkan kau,” kata Asma sambil mencemik bibir. Mungkin dia bergurau saja di hadapan Ati tapi hakikatnya, realiti itu amat memedihkan.
“Tak akan,” jawab Ati ringkas.
“Jangan sombong Ati. Nanti bila Allah terbitkan rasa cinta dalam hati kau, baru kau tahu,” jawab Asma.
Ati tersenyum kecil. Asma tidak tahu hari-hari dia berdoa semoga Allah tutup hatinya untuk mana-mana lelaki atau mana-mana lelaki tak teringin pun nak pandang dia!
“Pergilah balik!” sergah Ati.
Asma tiba-tiba mengangkat kedua-dua tangannya hingga hampir ke paras bahu. “Ya Allah ya Tuhanku. Semoga Kau terbitkan rasa cinta terhadap seorang lelaki yang baik untuk sahabat aku ini, Norhayati Nordin. Semoga dia dapat merasa manisnya cinta antara seorang Adam dan seorang Hawa. Amin ya Robbul al-Amin.” Asma meraup muka. Dia tersenyum hambar memandang Ati.
“Yang kau ni dah ke rasa cinta antara Adam dan Hawa?” perli Ati. “Yang aku tahu cuma cinta bertepuk sebelah tangan aje!”
Muka Asma bertukar masam. “Suatu hari nanti Ati… suatu hari nanti!”
“Isy! Mengugut pulak.”
Mata Asma terkebil-kebil pula. Wajahnya kembali mendung.
Daripada pengamatan Ati, sahabatnya itu sedang memikirkan sesuatu yang berat.
“Hah! Kenapa pula ni?” sergah Ati.
“Mungkin sebab aku ni tak cantik, maka suami aku tak mahukan aku…” suaranya perlahan. Air mata sudah bergenang di tubir mata. “Mana aku tahu layan lelaki, Ati. Bercinta pun tak pernah…”
Ati cepat-cepat menarik tangan sahabatnya, mengheret Asma masuk ke pantri. Nasib baik tadi dia lihat memang tidak ada orang di pantri pejabat itu.
“Kau ni kenapa?” soal Ati sebaik saja dia menolak sahabatnya itu duduk disalah sebuah kerusi yang menjadi pasangan meja bulat di dalam bilik yang dijadikan pantri untuk kakitangan pejabat ini.
“Suami aku… Ati.” Suara Asma sudah putus-putus. Dia meletakkan tangan di atas meja lalu terus menyembamkan wajahnya, menyembunyikan sendu yang semakin kuat.
Seorang lelaki pelukis pelan tiba-tiba saja berlenggang masuk ke pantri. Tangannya memegang sebuah mug kosong. Langkahnya terhenti serta merta.
Ati angkat muka pandang wajah lelaki itu.
Pandangan mereka bersatu sesaat dua.
Lelaki itu terus menghalakan pandangan ke arah water dispenser untuk air panas dan sejuk. Kemudian sekali lagi dia memandang Ati.
Ati hanya membalas pandangan lelaki itu dengan wajah tanpa emosi. Tangannya saja yang menepuk lembut bahu Asma yang terhingguk-hingguk menangis tanpa suara.
Lelaki itu mengeluh. Dia berpusing lalu keluar dari pantri.
Ati berpaling lalu menarik sebuah kerusi lagi dan duduk di sebelah Asma. Dia bukan seorang yang kejam. Mereka berbeza bukan setakat daripada segi perawakan tetapi perwatakan juga. Asma seorang yang sangat baik dan lurus, manakala Ati sukar untuk bersahabat.
Kadang-kadang memang Ati geram dengan Asma tapi itu tidak bermakna Ati tidak mahu Asma merasa gembira. Lebih-lebih lagi sekarang. Ati tidak suka Asma menangis. Ati tidak suka Asma terlalu membazir air mata dan perasaan kerana seorang lelaki yang tidak tahu langsung menjaga perasaan isterinya!
“Asma, kenapa?” soal Ati lembut.
“Aku sudah jatuh cinta dengan dia, aku ingat aku kuat tapi…”
Ati mengeluh. Memang dia tahu Asma cintakan suaminya. “Nanti kita tanya Khalid. Aku tak tahu…” Ati diam seketika.
“Aku tak tahu nak buat macam mana, aku pun tak ada pengalaman bercinta.”
– Bersambung –
#merahbungakertas #novel #khairynothman