Kisah Suatu Fajar Yang Hening
ENTAH MENGAPA PAGI hatinya berdebar-debar, firasatnya berkata seperti ada perkara buruk yang bakal berlaku. Namun, dia cuba untuk menyedapkan hatinya dengan beristighfar terus-terusan.

Apa pun yang akan berlaku, itu semua kuasa Allah Subhanawataala.
Sebagai hamba dia hanya berusaha untuk mengelakkan perkara yang buruk dan pada masa yang sama bertawakal kepada Maha Pencipta.
Dia terus beristighfar dan kemudian disambung dengan rutin berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahualaiwasalam. Rasa berdebar-debar dalam hati tadi mulai reda.
Dia tahu tinggal beberapa minit lagi sudah hendak masuk waktu Subuh dan memang menjadi tanggungjawab sebagai bilal merangkap tok siak sementara masjid di kampung itu, dia akan melaungkan azan setiap kali masuk waktu solat.
Tidak terkecuali juga pagi ini.
Seperti biasa, lampu suluhnya menerangi laluan biasa pagi itu, sama seperti pagi-pagi yang sebelum ini.
Dia tidak pernah terserempak dengan sesuatu yang menakutkan atau mencabar keimanannya, cuma sesekali bertembung juga dengan anjing liar yang tiba-tiba mahu mencabarnya.
Semua itu diatasi dengan cara mudah iaitu dengan membaling batu-batu kerikil sebesar ibu jari sebagai usaha menghalau dan menakut-nakutkan haiwan itu.
Namun, pagi ini memang berbeza. Tiada seekorpun anjing yang berbaring di atas jalan raya untuk menghangatkan tubuh mereka. Malah, kelibat anjing-anjing liar itu tidak kelihatan langsung.
Dia terus berjalan laju, takut terlambat pula melaungkan azan Subuh.
Tidak mahulah dia turut bertanggungjawab sekiranya ada hamba Allah yang terlajak subuh semata-mata dia juga terlajak melaungkan azan. Nanti sama-sama pula menanggung dosa.
Sebaik sahaja tiba di perkarangan masjid, dia terus melakukan rutin biasa. Dia naik ke anjung dan menghidupkan semua lampu. Keadaan masjid yang tadinya gelap, kini terang benderang.
Tiba-tiba matanya terpandang sebuah kotak sederhana besar yang dibiarkan di anjung berdekatan pintu gelangsar ke bahagian solat utama.

Siapa pula yang terlupa angkat kotak ini semalam?
Memang semalam diadakan jamuan selepas selesai membaca Yasin dan tahlil beramai-ramai di masjid.
Itu acara wajib setiap malam Jumaat. Ini mesti ada yang terlupa mengemas selepas selesai jamuan itu, fikirnya.
Dengan tangkas dia menarik kotak berkenaan, tetapi sebenarnya kotak yang disangka kosong itu, berisi. Agak berat juga.
Ditarik lagi kotak itu dan sekonyong-konyong itu, terdengar bunyi benda bergeser dari dalam kotak.
“Ya Allah!” Dia menjerit. Dia pandang kotak itu. Hatinya berdebar-debar. Bunyi benda bergeser kedengaran lagi.
Dengan tangan terketar-ketar dia beranikan diri membuka kotak itu. Mulutnya kumat-kamit membaca ayat Kursi bagi menghalau segala jenis jin atau syaitan yang mahu mengagah.
Sekujur tubuh kecil yang berbalut kain batik menyapa pandangan.
– Bersambung –
#bayi #kotak #bayidalamkotak #baby #abandonedbaby #bayiditinggal #novel #khairynothman