MERAH BUNGA DAHLIA 8

Share this article

KADANG-KADANG ATI suka berjalan keras, macam askar yang berkawad di padang. Kiri, kanan. Kiri, kanan. Linda pernah juga tegur Ati supaya lembutkan sikit ayunan langkah, tapi Ati tak suka. Ati dah biasa jalan begitu dan tak boleh nak ubah macam perempuan yang berjalan lenggang lenggok.

Orang yang berjalan lenggang lenggok biasanya memakai kasut tumit tinggi sebab melibatkan imbangan badan. Ati mana pandai pakai kasut tumit tinggi, setakat pakai selipar atau trainers tu, adalah.

Lagipun, Ati rasa macam membazir masa aje berlenggang lenggok. Boleh juga jatuh hukum haram kalau berjalan lenggang lenggok dengan niat nak tarik perhatian lelaki yang bukan muhrim, kan?

Selalu Ati tengok perempuan jalan lemah gemalai apatah lagi ketika dia berurusan di pejabat pos atau kaunter-kaunter am yang lain. Apabila nombor sudah dipanggil beberapa kali, barulah dengan lemah lembutnya berjalan ke kaunter. Ati rasa macam nak tarik aje tangan gadis-gadis yang lemah gemalai ini.

Bukanlah Ati suruh mereka jalan macam Ati, macam askar pencen yang masih ingat cara berkawad di padang. Tapi, seharusnya mereka tidak perlulah terlalu lemah gemalai dan hargailah masa. Mungkin bukan untuk diri sendiri, tapi untuk kerani-kerani di kaunter dan orang lain yang masih menunggu giliran mereka.

Ati ni kadang-kadang kalau datang angin nak mengutuk, macam orang tak sedar diri. Mentang-mentang awak tak suka jalan berlenggang kangkung, awak mengata pula orang yang jalannya lebih sopan dari awak! Sikap rasa lebih bagus dari orang ini ada panggilan khusus tau, Ati.

Riak dan takbur.

Ati beristighfar. Dia meneruskan ayunan kaki. Berpeluh-peluh juga berjalan dari rumah teres yang berdekatan dengan Mutiara Kondominium di Bukit Indah ke Taman Kosas. Apatah lagi petang ini, matahari masih lagi memancarkan sinarnya yang terik. Ati pula lupa nak bawa payung. Ah! Kulit Ati pun sudah sedia gelap, apalah nak disusahkan lagi? Ati ketawa sendiri dalam hati.

Dia akan ke bengkel Abang Majid untuk membuat lawatan mengejut seperti yang dia beritahu pada Linda, petang tadi. Ati hendak lihat sendiri apa masalah Wak yang dikatakan oleh mekanik itu.

Pelik betul Ati rasa. Sebelum ini kalau rosak pun, tak adalah ambil masa sampai hampir seminggu. Biasanya Abang Majid akan ambil masa selewat-lewatnya dua hari untuk membetulkan segala kerosakan yang dialami oleh Wak.

Tapi, kali ini sampai seminggu pintanya. Apa yang tak kena, sampai Wak terpaksa duduk di bengkel berhari-hari lamanya?

Sampai saja di bengkel Abang Majid di Taman Kosas, belakang kemeja T lengan panjang Ati sudah hampir melekat di badan. Renek-renek peluh bertebaran di dahi dan ada yang sudah membuak hingga mengalir turun ke pipi.

Kalau tengok keadaan Ati sekarang, tak ubah seperti makcik yang baru balik dari menajak sawah secara tradisional. Guna tajak dan cangkul. Berpeluh-peluh!

Mujur Ati bawa sapu tangan dalam poket. Jadi setiap bintil peluh yang keluar, disapu bersih. Kering. Namun begitu, Ati masih tetap kepanasan akibat ‘senaman’ berjalan kaki hampir dua kilometer itu.

Ati panjangkan leher melihat tubuh Abang Majid yang separuh hilang di bawah hud enjin kereta Proton Wira.

“Assalamualaikum Abang Majid,” seru Ati dengan suara yang sederhana kuat. Takut juga kalau Abang Majid terperanjat dan menyebabkan dia terhantuk dengan hud kereta.

Bergegar seketika badan Abang Majid. Memang seperti yang sudah diduga, pasti Abang Majid terperanjat mendengar suara Ati memberi salam dengan suara yang sederhana kuat itu.

Perlahan-lahan Abang Majid memusingkan badan memandang Ati. Dia tersengih. “Er… Ati nak tengok ‘Wak’ ke?” soalnya tulus.

Ati angguk kepala. “’Wak’ dah siap ke belum, bang?” soal Ati pula berbasa-basi. Dari pengamatannya, Wak yang diletakkan di tepi bengkel seperti sudah siap dibaiki, tapi mana tahu, entah-entah Abang Majid belum menyentuh kereta kesayangannya itu.

Macam mana ni? fikir Abang Majid dalam hati. Kalau Ati sudah ada di sini, dia sudah tidak boleh menangguh lagi. Memang Wak sudah siap berhari-hari yang lepas. Sorry Jack!

“Eh! Kebetulan Ati datang. Abang pun baru nak telefon bagitahu Ati yang ‘Wak’ baru je siap. Abang ingat nak beritahu esok,” kata Abang Majid memberi dalih.

Dengan gembira Ati mencari ‘Wak’ yang diparkir di tepi jalan, tidak jauh bengkel. Pintu kereta dibuka dan dia menyelinap masuk. Kunci diputar, enjin menderam perlahan. Ati tersengih lagi.

Punat penyaman udara ditekan. Tombolnya dipusing. Angin dingin meluru, perlahan-lahan memenuhi ruang dalam kereta. Nyaman sekali. Ati tersengih. Enjin menderam perlahan dan penyaman udara berfungsi dengan baik. Seronoknya!

Dia mengeluarkan telefon bimbit lalu mencari nama dalam phonebook. Punat hijau ditekan lalu dia menunggu talian bersambung. Deringan kedengaran. Dia menunggu dengan sabar.

“Assalamualaikum.” Suara di hujung talian memberi salam dengan nada gembira.

Ati tersengih. Dia pun gembira juga. “Linda! ‘Wak’ dah sihat!”

Boleh tak? Ati terlalu gembira sampai lupa nak jawab salam Linda!

– Bersambung –

Bahagian 9

#merahbungadahlia #novelcinta #cinta #novel #khairynothman #atidanjack

You might also enjoy

KE DUBLIN

Isnin lepas, saya mengendeng ikut ‘housemate’ pergi ke menyeberang laut

DESTINASI TERAKHIR: MANCHESTER

Jumaat: 18 Mac 2022 HARI NI KAMI tinggalkan Glasgow dan mulakan perjalanan ke Manchester pula. Ini bandar terakhir kami di UK sebelum…

DUNEDIN, IBU KOTA SCOTLAND

Rabu: 16 Mac 2022 BAS KAMI KE Edinburgh bertolak jam 9.40 pagi. Awal pagi kami dah ke Buchanan Bus Station untuk naik bas ke ibu kota…

HELLO GLASGOW!

Selasa: 15 Mac 2022 INILAH TEMPAT JATUH bangun selama 5 tahun. Banyak kenangan pahit manis di sini. Bandar yang menyatukan kami yang ke…

BYE HULL, SAMPAI KETEMU LAGI

Isnin: 14 Mac 2022 TIBA MASA KAMI tinggalkan bandar York dan pasangan yang dah jadi keluarga angkat aku. Hari ni kami akan ke Glasgow…

KOTA DI BALIK TEMBOK

Sunday: 13 Mac 2022 HARI NI KAMI ke York pula. Asalnya nak cari carboot tapi memandangkan masih lagi dalam bulan musim sejuk, belum ada…

KNARESBOROUGH PEKAN FAIRY TALE

Sabtu: 12 Mac 2022 HARI NI KAMI ke Knaresborough. Tempat ni lebih kurang 70 batu jauhnya dari Hull. Jadi, pagi lepas sarapan, kami pun…

PERJALANAN KE HULL

Jumaat: 11 Mac 2022 JAM 6AM, KAMI dah sedia nak keluar heret beg ke stesen kereta api King Cross. Pembantu hotel kata, tak perlu buat…