ATI TERUS MEREHATKAN kepalanya sambil melayan perasaan sendiri. Dia benar-benar tak sangka yang Jack beria-ia hendak menjemputnya di rumah ketika dia telefon untuk beritahu membatalkan temu janji hari ini kerana ‘Wak’ tiba-tiba mati enjin.
Bukannya dekat dari Damansara hendak datang ke Ampang, walaupun banyak laluan-laluan ekspres ber-tol yang boleh dilalui. Tapi, kawasan Ampang ini memang terkenal dengan kesesakan lalu lintas. Kalau orang lain mungkin tidak sanggup nak meredah kesesakan lalu lintas semata-mata hendak menjemput interior designer yang belum ada nama macam Ati ni!
Nak ketawa pun ada bila diingat-ingat balik perbualan tadi, selepas Ati terlepas kata yang ‘Wak’ mati. Jack ingat yang mati itu betul-betul lelaki tua. Tapi, bila Ati sudah hilang gugup dan beritahu yang Wak itu adalah gelaran nama bagi keretanya, terus Jack ketawa besar. Ati jadi malu sendiri.
Ati beritahu hendak batalkan temu janji hari itu kerana dia menunggu Abang Majid datang untuk tarik kereta ke bengkel dan kalau Ati hendak naik bas atau LRT, mungkin akan mengambil masa yang lama. Ati kata dia boleh saja ambil teksi sekiranya Jack mahu temu janji hari ini dikekalkan.
Tapi Jack kata, dia akan datang jemput Ati di rumah. Siap minta alamat lagi. Ati jadi serba salah. Bukan dia tidak sudi Jack datang ke rumah tetapi… mana pernah ada lelaki datang ke rumah Ati. Nanti apa pula kata jiran-jiran sebelah rumah.
Akhirnya Ati bagi alamat bengkel Abang Majid dan Ati akan tunggu di situ. Dalam sejam Jack sudah tiba di Taman Kosas. Terperanjat Ati tengok Jack yang berpakaian segak, slack hitam dipadankan dengan kemeja kelabu cair. Kasut berkilat-kilat dipanah matahari. Jack pakai cermin mata hitam, persis pelakon drama Melayu yang berlakon watak korporat.
Dari jauh lagi, Jack sudah senyum manis. Buatkan jantung Ati berdegup serentak dengan lagu techno dari soundbox yang sedang dipasang oleh pemuda Cina di sebuah kedai aksesori kereta. Berdentum dentam menghentak tulang rusuk.
Sekarang, Ati menunggu di dalam kereta sambil menikmati dingin angin dari penyaman udara. Tingkap tertutup rapat, yang dengar hanya sayup-sayup kenderaan yang lalu lalang di jalan utama.
Ati kerling papan pemuka. Banyaknya tombol! Mana satu nak hidupkan radio? Tak, Ati tak berani nak picit-picit butang kereta orang. Cuma dia suka nak tahu yang itu butang apa, yang ini butang apa.
Mata Ati meliar ke sana sini, melihat keadaan dalam kereta Jack. Bersih. Ada timbunan fail di tempat duduk belakang, tetapi itu pun elok tersusun.
Ati tolak badan mengintai di tempat pemandu. Pun bersih. Yang ada di tepi hanyalah botol air mineral yang isinya tinggal separuh.
Ati tarik nafas panjang. Harum. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Tadi dia masuk dalam kereta, dia lupa hendak menghentak kasut, entah-entah ada selut. Ati buka pintu dan keluarkan kedua-dua kakinya. Dia lagakan kasutnya untuk meleraikan pasir yang melekat. Pintu ditutup semula.
Dia menyandarkan badan semula. Jack masih lagi mendominasi fikirannya. Hai… Ati! Janganlah ada sekelumit perasaan pada jejaka itu. Dia terlalu tinggi untuk kau gapai. Tak sepadan langsung!
Ati renung muka di cermin sisi. Memang tak sepadan, fikirnya. Tak payahlah nak perasan yang Jack sanggup datang jauh-jauh jemput Ati sebab dia sukakan Ati. Mana ada! Dia datang sebab dia ada rasa tanggungjawab. Lagipun, kan sudah berjanji untuk bereskan hal rumah? Kalau sudah berjanji mestilah dikotakan. Orang yang selalu ingkar janji adalah orang munafik!
Nauzubillah. Ati, Ati! Suka sangat salah sangka dengan orang lain. Orang tu cuma berniat hendak tolong, Ati dah rasa yang orang tu ada hati dengan Ati. Tak baiklah Ati! Perasan aje yang lebih. Padahal, niat dia ikhlas.
Jadi sekarang ni, Ati nak ikhlas bekerja ke tak? Ati tersenyum kecil. Ya! Aku nak bekerja dengan ikhlas, ikrarnya dalam hati.
Pintu kereta sebelah pemandu dibuka. Dengan senyuman manis yang masih bersisa dia berpaling memandang pada lelaki yang baru menghenyakkan punggung di sebelahnya. Lelaki itu berpusing memandangnya.
Jack terpempan. Ati… senyum?
Pada dia??
– Bersambung –
#merahbungadahlia #novelcinta #cinta #khairynothman #atidanjack