“KAU INGAT LINDA lagi tak?” soal Jack kepada Hanafi ketika mereka sedang duduk-duduk minum teh.
“Linda mana?”
“Linda yang paling lawa masa kat kampus dulu tu,” terang Jack lagi. Hanafi pun dulu sekampus dengannya tetapi mengambil bidang akaun. Tapi siapa yang tak kenal Linda?
“Oh! Linda tu… kenapa? Hari tu aku ada add dia dalam Facebook. Kau tak add dia ke? Aku rasa nama dia ada dalam list alumni juga,” kata Hanafi acuh tak acuh.
“Haah, aku jumpa dia kat senarai alumnilah. Tadi, aku jumpa dia.”
“Eh, wah! Sorok-sorok nampak? Dating ke? Dia masih single and available ke?” usik Hanafi. Gelas teh tariknya diletak di atas meja.

“Tak adalah, aku ada urusan dengan syarikat dia,” balas Jack sambil tersenyum. Terlupa pula dia hendak bertanya pada Linda sama ada dia masih lagi bujang atau pun sudah berkahwin.
Dahinya berkerut cuba mengingatkan sesuatu. “Kau tak check status dalam FB dia ke? Aku tak ingatlah single ataupun in a relationship,” kata Jack.
Hanafi ketawa. “Entah, aku pun tak sempat nak check. Kau tahulah sekarang ni aku tengah sibuk memanjang. Nak check e-mel pun tak sempat langsung seminggu dua ni.”
“Aku ingat kau tak sabar-sabar nak tahu si Linda tu bujang lagi ke tak? Bukan ke kau salah orang peminat tegarnya,” usik Jack lagi mengenang kisah-kisah waktu di kampus dahulu.
Sekali lagi ketawa Hanafi meletus. “Janganlah bukak cerita lama, kawan. Baru berura-ura nak buka ‘cawangan’ lagi satu, bini aku dah mengamuk satu rumah!”
“Wah! Ada hati ke, nak cari bini kedua?”
“Bukankah itu cita-cita setiap lelaki?”
Jack ketawa besar dengar kata-kata Hanafi. Dia teringat jawapan ayah bila emak mengamuk dan suruh saja ayah cari isteri satu lagi. Ayah kata yang seorang ini pun payah nak dijaga, hendak tambah satu lagi? Tambah bebanlah tu jawabnya!
Entah, bagi Jack dia memang hendak sehidup semati dengan seorang saja isteri. Dia tidak mahu berkahwin banyak kali. Buang duit! Jack ketawa dalam hati. Mungkin sebab itu agaknya dia masih membujang sedangkan kawan-kawan yang lain sudah beristeri dan beranak-pinak. Kalau ada yang bujang pun, mereka sudah punya kekasih hati.
Dirinya?
Kekasih hatinya itu hanya syarikat perisian komputer dan IT yang dibangunkan sejak lima tahun yang lepas. Berhempas pulas dia membangunkan syarikat itu dan sekarang berkat usaha, doa dan perkenan Yang Maha Esa, syarikatnya sudah termasuk dalam senarai papan kedua bursa saham Kuala Lumpur.
Ia bukan sesuatu yang mudah. Jack rasa dia bernasib baik kerana syarikat yang masih hijau itu tersenarai di papan kedua bursa saham, sedangkan banyak syarikat yang lain bertungkus-lumus lebih 10 tahun tapi masih gagal memasukkan nama syarikat mereka ke papan kedua.
Memang dia berhempas pulas hendak memulakan perniagaan sendiri dan dia pun sudah berjanji dengan dirinya sendiri untuk menjadi jutawan sebelum usianya mencecah 30 tahun.
Sekarang, impiannya sudah hampir tercapai dan dia mohon sekali lagi semoga Allah berkati hidupnya dan kesenangan yang di kecapi ini berkat dan berpanjangan.
“Kenapa kau jumpa Linda?” Soalan Hanafi mematikan lamunannya.
“Projek interior design.”
“Oh untuk rumah baru kau tu?” Hanafi menganggukkan kepala. Dia teringat yang Jack baru saja membeli rumah semi-detached di Damansara.
“Haah. Kebetulan aku tengah cari interior designer untuk rumah tu. Jadi, aku contact Linda untuk beri estimation,” terang Jack lagi.
“Eh Linda dulu buat ID ke?” tanya Hanafi lagi. Dahinya berkerut. Seingat dia, Linda bukan budak Interior Design. Dia budak Media.
Jack tersenyum. Memang Linda ambil bidang Media pengkhususan dalam Public Relations. Malah dia tahu yang Linda juga ada ambil diploma dalam bidang Business Management selepas tamat sarjana muda. Gadis itu memang bercita-cita hendak menjadi usahawan sejak dahulu. Tak disangka pula dia berganding bahu dengan Ati, gadis yang belajar dalam bidang ID.
“Nafi, kau ingat si Ati tak?” tanya Jack pada Hanafi yang sedang mencicip teh tariknya.
Hanafi merenung jauh cuba mengingati Ati mana yang dimaksudkan oleh Jack. “Ati mana?”
“Ati kawan Linda,” jawab Jack ringkas. Harap Hanafi ingat lagi gadis itu tanpa dia perlu menambah perkataan ‘perempuan sombong’.
Lama Hanafi cuba mengingati nama itu. Ati? Kawan Linda? Dia menghirup lebihan air teh tarik yang tertinggal di dalam gelas.
“Ati yang sombong tu ke?”Akhirnya dia dapat juga memadankan nama dengan wajah gadis yang hampir tidak pernah senyum waktu di kampus.
Jack serba salah. Patutkah dia mengiakan atau tidak Ati itu seorang yang sombong? Akhirnya dia mengangguk.
“Macam manalah Linda boleh berkawan dengan si Ati tu? Sudahlah sombong, bercakap pun tak mahu. Ingat tak, kita selalu kutuk dia kata mulut dia tu simpan emas agaknya. Kalau dia buka, mesti berterabur emas berkilo agaknya,” balas Hanafi lalu ketawa.
Jack hanya tersenyum. Sejak bertemu kembali dengan Ati tadi, dia jadi terfikir. Apakah mereka sebenarnya sudah salah menilai Ati? Adakah Ati sebenarnya bukan gadis sombong? Mungkin di kampus, mereka terlalu naif. Sesiapa yang tidak akur dengan kehendak sosial masyarakat, maka dia dianggap orang luar? Begitukah Ati?
Jack cuba mengingat kembali zaman di kampus dahulu. Kenangan Ati memang kabur dalam ingatan tapi seingat dia Ati memang bukan di kalangan orang yang banyak bercakap. Tidak berkawan. Dia senang dengan dunianya sendiri. Tapi walaupun demikian dia tidak pernah lihat Ati menyusahkan sesiapa, walaupun menyalin nota dari kawan-kawan sekuliah, sekalipun.

“Aku rasa dia tak sombonglah, Nafi. Mungkin kita aje yang anggap dia sombong sebab dia tak pernah cakap dengan kita,” kata Jack perlahan.
“Tak sombong apanya? Kau ingat tak malam unggun api yang kita buat kat PD dulu? Kita ajak Linda, Emy, Shiela dan geng diorang. Linda pula ajak Si Sombong tu, akibatnya semua orang tak selesa. Sampai sekarang kawan-kawan kutuk kita sebab ajak si Ati tu,” ujar Hanafi lalu menggelengkan kepala.
Jack tersenyum mengingatkan kenangan itu. Apa taknya sedang mereka seronok membakar ayam dan ada yang berkejar-kejaran di pantai, Linda datang dengan Ati. Semua orang jadi hilang seronok sebaik saja terpandang si Ati.
Suasana yang riang ria bertukar canggung. Ketika mereka duduk-duduk mengelilingi unggun api sambil memetik gitar dan menyanyi, dia mencuit Linda dan mengajak kawannya solat maghrib berjemaah. Kawan-kawan yang lain jadi serba salah kerana tiba-tiba saja ada ‘ustazah’ di kalangan mereka.
Waktu itu ramai yang merungut. Macamlah Ati nak menunjuk alim di hadapan mereka. Ada yang menyindir dan ada yang mengutuk terang-terang di hadapan gadis itu. Tapi, seingat Jack, Ati tidak langsung membalas. Marah tidak, senyum pun tidak. Linda pula yang naik berang. Habis kawan-kawan yang lain dimarahi Linda. Jack ingat lagi kata-kata Linda waktu itu,

“Aku tahulah kubur masing-masing! Tapi jangan ada hati nak berjiran kubur dengan aku. Aku nak jiran kubur yang tenang-tenang saja sebab aku tak tahan bising kalau korang kena seksa sebab tak nak solat!”
Masa tu Jack rasa nak tergelak pun ada, walaupun dia termasuk salah seorang yang dimarahi kerana tidak bersolat. Entah dari mana Linda dapat idea nak cakap macam tu, dia pun tak tahu. Tapi memang Linda marah sangat waktu itu. Dia terus tarik tangan Ati dan ajak dia balik.
Masa mereka melintas di hadapan Jack, dia sempat dengar Ati bersuara. Dan Jack juga masih ingat perbualan antara Ati dan Linda selepas itu.
Perbualan mereka menyebabkan Jack terfikir yang dia mungkin sudah tersalah anggap pada gadis yang dikatakan sombong.
Ati kata: “Ini yang aku malas dengan kau Linda. Kau ni suka sangat bela aku sedangkan aku boleh jaga diri aku sendiri.”
Linda balas: “Suka-suka hati dorang aje nak kutuk kau! Yang kau pun satu, cubalah balas balik, ni tak nak, diamkan aje!”
Ati tanya, “Nak buat apa gaduh? Tak luak sikit pun. Aku cuma ingatkan kita supaya solat sebab aku sayangkan kau dan nak jalankan tanggungjawab aku pada semua. Kalau dorang tak nak tak apalah, sekurang-kurangnya kita dah selamat.”
Linda marah lagi. Katanya, “Kau tu mudah sangat mengalah. Orang marah ke orang kutuk ke, kau diam aje! Lain kali lawanlah sikit, jadi tak ada orang akan pijak kepala kau.”
Balasan Ati selepas ini buat Jack kagum sebenarnya. Ati kata, “Dapat apa kalau aku lawan? Dapat duit? Dapat emas? Platinum? Nak melawan pun biarlah kena gayanya. Biar bertempat. Aku tak ada masa nak layan benda-benda kecik macam ni. Lagipun sikit tak luak. Buat semak kepala otak aje. Apa orang nak cakap fasal aku, aku tak kisah langsung sebab bukan dorang yang rasa susah payah aku.”
Itulah pertama kali Jack dengar suara Ati panjang lebar, walaupun dia hanya berbalas cakap dengan Linda. Orangnya memang nampak selamba dan tidak kisah tetapi getaran suaranya lembut menyentuh gegendang telinga Jack. Bagaimana seorang yang dikatakan sombong mempunyai suara lunak seperti itu?
– Bersambung –
#merahbungadahlia #novelcinta #novel #khairynothman #atidanjack