MERAH BUNGA DAHLIA 11

Share this article

ATI MELANGKAH MASUK ke dalam rumah banglo dua tingkat. Tapak kakinya menyapa lantai batu marble yang dingin dan berkilat-kilat. Terasa berat hatinya untuk meneruskan langkah. Sudah lama Ati tidak pernah menerima undangan makan tengah hari di rumah orang. Dulu pun, dia hanya makan tengah hari bersama-sama kawan-kawan yang rapat saja.

“Masuklah Ati, jangan segan-segan,” pelawa Sofi lagi. Dia menarik tangan Ati mengajak dia masuk terus ke dalam rumah.

“Susah-susah aje keluarga Sofi jemput saya makan tengah hari di sini,” kata Ati dengan hati-hati.

“Tak susahlah Ati. Mak pesan hari tu, suruh ajak Ati datang makan tengah hari di rumah,” jawab Jack. Memang betul emaknya ada menyuruh dia mengajak Ati datang untuk makan tengah hari, cuma sebab dan mengapa jemputan itu diberi tidaklah dia terangkan sepenuhnya kepada Ati.

“Kenapa tak jemput Linda sekali?” soal Ati pula. Dia berpaling memandang Jack dengan penuh tanda tanya.

Jack tersengih. “Kan Linda dating dengan tunang dia, hari ni?” Fuh! Nasib baik hari ini Linda memang ada temu janji dengan James. Kalau tak, susah juga nak beri alasan kepada Ati.

“Eh, Angah… Ati. Dah sampai pun.” Puan Hajah Rohana melangkah ke luar menyambut tetamu yang hadir.

Ati terus menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Hajah Rohana. “Apa khabar, puan?” sapanya tertib.

“Isy! Panggil makcik ajelah. Tak payah formal sangat,” sahut Hajah Rohana sambil menyambut huluran salam Ati.

Ati tersenyum nipis. “Susah-susah saja makcik jemput saya makan tengah hari di rumah makcik.”

“Eh, dah lama dah makcik memang nak jemput Ati datang ke rumah. Razak tak ada beritahu ke yang kami jemput Ati datang rumah ni?” soal Hajah Rohana.

Ati menggeleng. “Lupa agaknya nak beritahu saya. Sofi yang beritahu tadi.”

“Bertuah punya anak. Lain kali beritahulah awal-awal, tak adalah kawan awak terperanjat bila kita jemput dia datang rumah.” Hajah Rohana menjeling tajam ke arah Jack yang tersipu-sipu malu.

“Marilah masuk, Ati. Kita makan tengah hari. Semua dah siap, tunggu Ati datang aje ni. Adik-beradik Razak pun semua ada. Dania pun ada. Ingat Dania lagi?”

Ati telan air liur. Dania? Aduh! Dalam ramai-ramai ini, rasanya Ati masih boleh gagahkan diri untuk beramah mesra tapi kalau dengan Dania, dia masih rasa janggal walaupun mereka pernah bersua, dahulu.

Dalam hati terselit juga rasa geram dengan Jack yang sengaja ‘memerangkap’ Ati datang untuk makan tengah hari bersama keluarganya. Apalah salahnya beritahu awal-awal, sekurang-kurangnya dapatlah dia menolak atau sediakan diri untuk bertemu keluarga Jack. Ini, datang hanya berbaju T lengan panjang warna ungu dipadankan dengan slack hitam. Macam aunty balik dari pasar!

“Hah! Akhirnya sampai pun kawan Razak ni!”

“Yalah, tak sabar nak jumpa kawan Angah.”

“Dah, boleh makan dah ni?”

“Angah ajak kawan duduk sini.”

Bertubi-tubi suara bertingkah menyambut kedatangan Ati di ruang makan. Meja panjang kayu berukir berkerusi sepuluh, dipenuhi dengan hidangan tengah hari yang enak.

Dua ekor ayam panggang yang dihias hirisan timun dan tomato di letak di tengah-tengah. Di kelilingnya pula lauk-lauk sampingan seperti dua mangkuk besar sup ayam, mangkuk-mangkuk kecil yang berisi kicap dan cili dan juga beberapa piring berisi salad, hirisan timun dan tomato. Menu makan tengah hari ini adalah nasi ayam.

“Ati makan nasi ayam, tak? Makcik masak banyak ni. Rumah ni memang suka makanan yang simple-simple aje,” ujar Hajah Rohana. Dia menarik sebuah kerusi kosong dan mempersilakan Ati duduk.

“Makan, makcik. Isy… rasa malu pula. Sampai-sampai aje sudah disuruh makan,” balas Ati malu-malu.

“Dah namanya makan tengah hari, kita makan ajelah Ati,” sahut Sofi pula. “Oh ye… anak-anak dan menantu-menantu Encik Haji Mustaqim dan Puan Hajah Rohana, saya kenalkan ini Norhayati, perunding merangkap pereka hiasan dalaman merangkap kawan Angah.” Sengaja dia tekankan perkataan ‘kawan’ itu.

“Sudahlah, jangan usik Ati lagi,” kata Jack pula. Dia segera mengambil tempat bertentangan dengan Ati. “Adik-beradik saya memang suka mengusik. Awak tahankan aje, ye?” pujuknya lembut.

Entah kenapa Ati mengangguk macam Jack saja yang dapat menyelamatkan dirinya di saat genting, namun dia sempat juga melihat raut wajah dari adik-beradik Jack yang lain. Ada yang sudah tersengih, ada pula yang menahan tawa dari meletus.

Lawak kah?

– Bersambung –

Bahagian 12

#merahbungadahlia #novel #cinta #novelcinta #khairynothman #atidanjack

You might also enjoy

KE DUBLIN

Isnin lepas, saya mengendeng ikut ‘housemate’ pergi ke menyeberang laut

DESTINASI TERAKHIR: MANCHESTER

Jumaat: 18 Mac 2022 HARI NI KAMI tinggalkan Glasgow dan mulakan perjalanan ke Manchester pula. Ini bandar terakhir kami di UK sebelum…

DUNEDIN, IBU KOTA SCOTLAND

Rabu: 16 Mac 2022 BAS KAMI KE Edinburgh bertolak jam 9.40 pagi. Awal pagi kami dah ke Buchanan Bus Station untuk naik bas ke ibu kota…

HELLO GLASGOW!

Selasa: 15 Mac 2022 INILAH TEMPAT JATUH bangun selama 5 tahun. Banyak kenangan pahit manis di sini. Bandar yang menyatukan kami yang ke…

BYE HULL, SAMPAI KETEMU LAGI

Isnin: 14 Mac 2022 TIBA MASA KAMI tinggalkan bandar York dan pasangan yang dah jadi keluarga angkat aku. Hari ni kami akan ke Glasgow…

KOTA DI BALIK TEMBOK

Sunday: 13 Mac 2022 HARI NI KAMI ke York pula. Asalnya nak cari carboot tapi memandangkan masih lagi dalam bulan musim sejuk, belum ada…

KNARESBOROUGH PEKAN FAIRY TALE

Sabtu: 12 Mac 2022 HARI NI KAMI ke Knaresborough. Tempat ni lebih kurang 70 batu jauhnya dari Hull. Jadi, pagi lepas sarapan, kami pun…

PERJALANAN KE HULL

Jumaat: 11 Mac 2022 JAM 6AM, KAMI dah sedia nak keluar heret beg ke stesen kereta api King Cross. Pembantu hotel kata, tak perlu buat…