Ar-Razzak
(Maha Pemberi Rezeki)
Ar-Razzak adalah Dia yang menciptakan sarana-sarana rezeki dan menciptakan jalan untuk menikmati rezeki. Pemberian rezeki ada dua macam:
1. Lahiriah berupa pemeliharaan dan pemakanan (melahirkan kekuatan jasmani)
2. Batiniah berupa hal-hal yang diketahui dan yang disingkapkan atau diwahyukan (diarahkan pada batin/kalbu yang berbuah kehidupan abadi)
Manusia yang memiliki sifat ini bererti mengetahui esensi sifat Allah Swt. Bahawa hanya Allah Swt yang patut memiliki sifat ini sehingga hanya kepada-Nya dia mengharapkan dan menyandarkan rezekinya.
Rasulullah Saw bersabda: “Hamba yang beriman yang dengan bahagia memberikan kepada dirinya apa yang diperintahkan untuk memberinya, maka dia termasuk orang yang bersedekah.”

“LINDA! APA KHABAR?”
Teguran mesra dilemparkan sebaik saja kaki melangkah masuk ke pejabat yang agak luas dan mempunyai hiasan dalaman yang mewah.
Abdul Razak bangun dari kerusi untuk mempersilakan tetamu-tetamunya masuk. Sebuah senyuman mesra menghiasi wajahnya.
“Jack! Alhamdulillah baik,” sahut Linda kegembiraan. “Wah! Lama tak jumpa, besar pejabat kau ye? Mesti businessman yang berjaya sekarang.”
“Biasa-biasa aje, Linda. Kau pun apa kurangnya? Sekarang dah ada syarikat interior design sendiri,” balas Abdul Razak yang mesra dipanggil Jack saja oleh Linda.
“Alah! Baru nak bertatih,” jawab Linda jujur.
“Insya-Allah!”
Mereka ketawa.
“Eh!” Linda berpaling ke arah Ati yang seperti patung kaku di belakangnya. “Kau tak ingat nama Abdul Razak Mustaqim, kan? Tapi agak-agak kau, kau ingat tak si Jack ni?” tanyanya sambil tersenyum.
Ati diam. Dia masih lagi terperanjat melihat lelaki yang bernama Abdul Razak Mustaqim. Prospek pelanggan syarikat mereka.
Lelaki yang menjadi idaman ramai wanita waktu di kampus dahulu!
Biasanya kalau dia mengikut Linda berjumpa pelanggan, dia akan mengambil tempat di belakang dan membiarkan Linda berbincang terus dengan pelanggan.

Di situ, Ati akan jadi pemerhati dan pendengar sambil cuba mempelajari apa kehendak pelanggan. Dari tutur kata hingga bahasa tubuh, semua Ati perhatikan. Apabila dia rasakan dia sudah faham dengan kehendak pelanggan, maka dia dapat menghasilkan proposed design yang kelihatannya seperti mengikut setiap spesifikasi pelanggan tetapi diberi sedikit perubahan, juga dapat menerima apa-apa saja cadangan yang mereka berikan pada pelanggan.
Ini juga yang dilakukan kepada Jack. Dia mahu memerhatikan sikap Jack, keperibadiannya dan kehendak dia sebagai seorang pelanggan tanpa Jack perasan bahawa dia sedang ‘dibaca’. Dia cuba sedang berkira-kira cadangan apa yang boleh diberikan untuk menambah baik lagi design yang diinginkan oleh Jack.
Jack… dia memang tidak harapkan Jack untuk ingat siapa dia walaupun mereka pernah belajar di universiti yang sama dan Ati selalu nampak dia berlatih ragbi di padang kampus. Bukan itu saja, mereka juga berkongsi bilik kuliah untuk beberapa subjek dahulu. Cuma Jack saja yang tak pernah perasan dia. Nak perasan macam mana kan, Ati? Kau bukan orang penting pun!
Jack perhatikan sampel-sampel design dan gambar-gambar hiasan dalaman yang disusun oleh Linda di atas meja. Mata saja yang memandang tetapi fikirannya sudah menerawang ke zaman kampus.
Jack bukan tidak perasan Ati tapi entah mengapa sewaktu Linda tanya sama ada dia ingat Ati lagi, dia boleh buat seolah-olah dia tak kenal wanita itu. Sebenarnya Jack kenal Ati waktu zaman universiti dulu cuma perempuan itu saja yang sombong. Siapa yang tak kenal Ati Si Sombong itu?
Ada yang gelar dia Puteri Salji, tapi ramai pula yang kata gelaran itu tidak sesuai buat Ati. Puteri? Dia langsung tidak secantik puteri raja malah jauh sekali nak jadi puteri kayangan. Salji? Kulitnya yang sawo matang-hampir-ke-hitam manis itu tidak seputih atau sejernih salji. Maka gelaran yang sesuai untuk wanita yang bernama Ati ini hanyalah ‘Perempuan Sombong’.
Jack dan kawan-kawan memang perasankan Ati. Ati saja yang tak pernah pandang mereka. Mungkin dia rasa kedudukannya sangat tinggi dan tidak sesuai bergaul dengan lelaki-lelaki yang satu universiti dengannya, tak kiralah satu bidang ataupun tidak. Ati memang tidak pernah pandang lelaki… mahupun mahasiswi-mahasiswi yang lain. Malah, jarang dia lihat Ati bersosial dengan teman-teman sekuliah.
Kalau ada pun, hanya ketika mereka harus menyelesaikan projek kelas. Ati selalunya berkampung di perpustakaan. Dia ada satu sudut yang amat dia suka. Memang sudut itu agak tersorok dan sunyi.
Kalau mahasiswi lain mesti tidak berani kerana konon-kononnya pernah ada kes paranormal yang berlaku di situ. Tapi Ati ni seperti berhati kering, tidak pernah rasa takut hendak menghabiskan masanya di situ. Malah dia selalu balik malam-malam sendirian. Bukannya berkereta atau bermotor, hanya berbasikal dengan bakul besi di hadapan.
Jadi siapa yang tidak kenal Ati? Dalam kampus ramai pelajar mahu bermotor atau berkereta, Ati antara segelintir pelajar-pelajar yang berbasikal. Basikalnya pula bukanlah jenis canggih macam mountain bike ke apa ke? Basikal hitam tiada palang ala-ala orang bawa untuk pergi balik kebun saja!

Ati memang orang kampung yang kolot cara pemakaiannya. Selalu berbaju kurung kain kapas yang kadang-kadang kelihatan agak lusuh warnanya. Kalaupun dia tiba-tiba hendak berfesyen, pakaiannya hanyalah sepasang jean yang dipadankan dengan kemeja lengan panjang yang gedoboh.
Tidak langsung seperti gadis-gadis yang lain yang suka berpakaian agak ketat dan berwarna warni. Tudungnya tidak pernah dibelit sana sini seperti fesyen-fesyen terbaharu. Hanya berbentuk segi tiga yang dipin di bahagian dagu dan satu lagi pin di bahagian tengah. Macam orang tua!
Tapi siapa sangka Ati yang sememeh dan tidak pandai berfesyen itu berkawan rapat pula dengan si Linda, gadis yang sangat popular di kampus.
Linda memang terkenal kerana kecantikannya. Kulitnya putih mulus dan punya tubuh badan yang langsing. Namun Linda juga seorang Muslimah yang menjaga auratnya. Linda juga seorang pelajar pintar. Pendek kata Linda memanglah wanita yang mempunyai pakej lengkap seorang wanita yang sangat sesuai untuk dibawa pulang bertemu bakal ibu mentua!
Jack dan kawan-kawan macam tak percaya macam mana Linda yang popular itu boleh berkawan baik dengan Ati si kera sumbang tu?
Fuh! Kawan-kawan Jack selalu kata Linda dan Ati ibarat puteri kayangan dengan nenek kebayan. Ada pula yang kata macam tahi cicak, seorang hitam manis seorang lagi putih melepak.
Huh! Mulut lelaki kalau sudah mengutuk, memang macam longkang! Busuk!
Jack memandang sekilas ke arah Ati yang duduk sambil menconteng buku nota. Kenangan waktu di kampus hilang serta-merta. Matanya memandang pena Ati yang bergerak seperti menari-nari di atas kertas. Entah apa yang dia lukis atau tulis, Jack tidak tahu.

Dia melarikan matanya ke wajah Ati. Masih seperti dulu. Pakaiannya juga masih begitu – berseluar jean hitam yang longgar dipadan dengan kemeja T lengan panjang. Stail tudungnya juga masih seperti dahulu, tiada yang berubah. Tiada secalit warna yang menghiasi wajah berkulit hitam manis itu. Masih macam gaya orang tua.
– Bersambung –
#merahbungadahlia #novelcinta #khairynothman #cinta #atidanjack