KEMBARA EROPAH ATOK NINI 2022

Share this article

Ahad – 13 Februari 2022

LEBIH TIGA BULAN kami buat perancangan untuk trip ala-ala backpackers ke beberapa buah negara di Eropah. Dengan bajet RM20K all-in yang aku sendiri tetapkan untuk perjalanan 30 hari pada awal rancangan, akhirnya aku pilih 13 Februari untuk hari kami memulakan kembara 40 hari dan destinasi pertama yang dipilih adalah Turki (Turkiye).

Ini merupakan kali kedua suami ke luar negara, dan trip yang aku rancang ini melibatkan beberapa negara dan memang secara khusus aku pilih destinasi-destinasi untuk dia. Cuma, ada satu destinasi saja yang khusus untuk aku – Glasgow. Tempat jatuh bangun, ketawa dan menangis bersama rakan seperjuangan yang menuntut ilmu di sini.

Kami pilih Turki sebab sekarang matawang mereka tengah jatuh. Lagipun, aku tak pernah ke Turki lagi, jadi ini peluang terbaik untuk melawat negara bekas Uthmaniyyah ni. Kebetulan dua sepupu aku pun melawat Turki juga. Jadi, kami dah janji nak jumpa di Kapadokya (Cappadocia) dan kononnya akan reunion kat sana. Saja pilih bulan Februari juga sebab nak bagi peluang pada suami untuk merasa sejuk dan main salji, kalau ada rezeki.

Aku pilih empat destinasi utama di Turki; Istanbul, Kapadokya, Ankara dan Izmir. Memang semua bandar-bandar besar. Tapi, nanti kalau nak ke tempat-tempat lain, cadangnya boleh aje ambil bas atau day trip ke mana-mana. Jadi transport dan penginapan kami pun aku dah booking untuk di empat destinasi ini. Insya Allah kami akan berada di Turki selama 17 hari sebelum ke destinasi seterusnya.

Untuk perjalanan ini, aku pilih Eithad Airlines sebab syarikat ini saja yang ada promosi menarik. Disebabkan kami akan pulang ke Malaysia dari UK, kami beli tiket satu hala sahaja dan harga yang kami dapat adalah RM1,105, termasuk insurans perlindungan Covid 19.

Seperti yang diwajibkan, kami membuat saringan Covid 19 di Klinik Amal & Surgeri Sdn Bhd di Bukit Katil dua hari sebelum tarikh penerbangan. Bayaran yang dikenakan untuk ujian PCR dua orang adalah RM320. Alhamdulillah keputusan ujian kami Negatif.

Waktu penerbangan pesawat Etihad EY411 kami pada jam 2.15 pagi 13 Februari tapi sengaja kami datang empat jam awal, nak elakkan apa-apa masalah yang tak diduga. Sempatlah makan malam di Food Court KLIA yang serba mahal tu. Alhamdulillah tiada masalah besar untuk check-in.

Sebab kami sudah online check-in, kami beratur untuk drop bag saja. Sediakan semua photo copies vaksin, ujian PCR. Manalah tahu mereka nak tengok. Tapi, tak ada masalah apa pun. Biasanya penumpang sudah maklum apa yang perlu dilakukan sebelum penerbangan. Cuma kena sentiasa aware dengan perubahan polisi sekurang-kurangnya seminggu sebelum tarikh penerbangan.

Kaunter check-in dan drop baggage dibuka tepat jam 11 malam, 12 Februari. Memandangkan kami beli open-jaw tickets atau pulang dari destinasi lain, kami kena tunjukkan bukti kami sudah beli tiket pulang ke Malaysia. Penerbangan pulang kami dari Manchester ke Kuala Lumpur. Untuk yang penerbangan return tickets takkan ada masalah.

Keadaan di KLIA sudah mula sibuk sejak kerajaan benarkan warganegara Malaysia keluar untuk bercuti. Nampak queue di kebanyakan kaunter memang panjang.

Kami ingatkan kalau datang awal bolehlah drop bag awal tapi rupanya kaunter akan dibuka tiga jam sebelum masa penerbangan. Tapi, tak apa, kami tunggu saja.

Rasanya memang orang Malaysia memang dah tak sabar-sabar nak kembara ke luar negara. Mungkin prosedur agak leceh sikit dan bajet pun bertambah disebabkan perlu buat ujian PCR sebelum penerbangan, tapi masih ramai (termasuk kami) anggap itu macam masalah kecil dan tutup sebelah mata. Asalkan dapat keluar.

Macam kami, walaupun ada beberapa prosedur dikuatkuasa disebabkan Covid 19, aku tengok ramai juga jemaah yang hendak mengerjakan umrah. Alhamdulillah semoga mendapat umrah yang mabrur.

Sempat juga jumpa Minarni di KLIA untuk terima kiriman barang kepada Marina di Hull. Aku ok aje sebab beg kami pun ringan lagi. Macam biasa aku bawa beg Deuter Transit 65L yang dah dekat 20 tahun umurnya. Mohonlah bertahan lagi untuk travel kali ni. Suami pula bawa beg umrah dia. Masing-masing beg medium size. Aku harap kekal lah sampai balik nanti.

Beg galas pula, suami bawa beg Deuter Act Trail 32L. Dalam tu kami isi dengan jaket, baju panas, thermal wear dan kasut boots. Cadangnya nanti sampai di airport Istanbul, kami akan salin baju dan tukar kasut.

Ini kali pertama aku naik Etihad. Economy seat agak sempit sebenarnya. Mungkin sebab sebelum ni aku selalu travel naik Emirates untuk long haul. Mulanya memang nak ambil Emirates tapi harga tiket mahal sangat. Maka, terpaksa berpuas hati dengan Etihad.

Tiba di Abu Dhabi International Airport jam 5.25 pagi. Besar lapangan terbangnya. Kami menaiki bas ke bangunan satelit. Kami transit lebih kurang lima jam di sini. Sempatlah untuk kami tunaikan solat Subuh, makan dan kembali menaiki pesawat ke Istanbul International Airport. Pesawat Etihad EY97 akan berlepas jam 10 pagi di Terminal 3. Beza masa antara Malaysia dan Abu Dhabi adalah -5 jam.

Musolah pula terletak di tingkat atas satu aras dengan medan selera, tak jauh dari Burger King. Ada papan tanda tunjuk arah. Macam biasa, kami ambil giliran untuk solat. Walaupun agak kecil, tapi musolah ni sangat selesa. Karpetnya sangat tebal.

Terjumpa pula dengan satu kakak ni, sempatlah berborak seketika. Dia lebih adventurous dari aku. Dia dan tiga rakan dalam perjalanan ke Arab Saudi untuk buat umrah DIY. Usia sekitar 50an. Salute dengan wanita-wanita berani macam mereka. Ter-inspirasi nak buat Umrah DIY juga dengan suami suatu hari nanti. Selesai melakukan ibadah, bolehlah melawat tempat-tempat menarik di Arab Saudi.

Perut pula lapar. Memandangkan penerbangan awal pagi, kami cuma dapat sarapan pagi, rasa macam nak makan lagi. Jadi, dah sebab beg dan suami duduk di Burger King, maka kami beli satu set burger, makan berdua sajalah. Macam biasa, harga di airport memang mahal. Untuk satu meal Burger King, harganya lebih kurang RM58.

Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi menyediakan wifi percuma untuk pengembara. Alhamdulillah tak perlu roaming. Sedang check WhatsApp, terima berita ibu mentua anak buah meninggal dunia.

“Ya Allah, ampuni dan rahmatilah dia. Selamatkanlah dan maafkanlah dia. Berikan kehormatan untuknya, luaskanlah tempat masuknya. Mandikanlah dia dengan air yang jernih lagi sejuk. Bersihkanlah dia dari kesalahan sebagaimana Engkau bersihkan baju yang putih dari kotoran.

Gantikanlah baginya rumah yang lebih dari rumahnya, pasangan yang lebih baik dari pasangannya (di dunia). Masukkanlah dia ke dalam syurga, lindungilah dari azab kubur dan azab neraka.” (Hadis Riwayat Muslim).

Lagi dua jam untuk berlepas, kami meneruskan perjalanan mencari Terminal 3 untuk penerbangan ke Istanbul. Semua urusan transit berjalan mudah. Seperti biasa, kami menunggu bas yang akan bawa ke pesawat.

Pesawat ke Istanbul kali ini agak kecil sedikit. Yang lebih menarik kalau dari Kuala Lumpur ke Abu Dhabi ada individual console untuk entertainment, pesawat kali ini cuma sediakan gadget holder sahaja. Maknanya sekiranya anda mahu menonton movies atau mendengar radio atau bermain game, anda perlu menggunakan handphone atau tablet sendiri. Wifi disediakan dan USB port juga ada untuk charge peranti masing-masing.

Aku pula letak handphone dalam cabin bag dan tak bawa charger. Maka, untuk penerbangan empat jam dari Abu Dhabi ke Istanbul, aku cuma makan tidur ajelah. Sudah separuh perjalanan barulah ada mood nak berborak dengan jiran sebelah tingkap. Orang Turki yang bekerja di Abu Dhabi.

Banyak juga yang kami bualkan, terutama hal-hal politik di Turki dan Malaysia. Jelas dia bukan peminat Erdogan. Seorang yang berfikiran liberal seperti kebanyakan masyarakat kelas atasan Turki.

Alhamdulillah, selepas lebih tiga jam dalam pesawat, penerbangan Etihad EY97 akhirnya selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul jam 1.55pm. Bermulalah pengembaraan Atok dan Nini di bumi bekas empayar Uthmaniyyah selama 17 hari.

#atoknini #makcikwanderer #orangtuabackpackers #turki #turkiye #istanbul #etihad #covid19 #backpacking #oldpeople #klia #pengembara

You might also enjoy

KE DUBLIN

Isnin lepas, saya mengendeng ikut ‘housemate’ pergi ke menyeberang laut

DESTINASI TERAKHIR: MANCHESTER

Jumaat: 18 Mac 2022 HARI NI KAMI tinggalkan Glasgow dan mulakan perjalanan ke Manchester pula. Ini bandar terakhir kami di UK sebelum…

DUNEDIN, IBU KOTA SCOTLAND

Rabu: 16 Mac 2022 BAS KAMI KE Edinburgh bertolak jam 9.40 pagi. Awal pagi kami dah ke Buchanan Bus Station untuk naik bas ke ibu kota…

HELLO GLASGOW!

Selasa: 15 Mac 2022 INILAH TEMPAT JATUH bangun selama 5 tahun. Banyak kenangan pahit manis di sini. Bandar yang menyatukan kami yang ke…

BYE HULL, SAMPAI KETEMU LAGI

Isnin: 14 Mac 2022 TIBA MASA KAMI tinggalkan bandar York dan pasangan yang dah jadi keluarga angkat aku. Hari ni kami akan ke Glasgow…

KOTA DI BALIK TEMBOK

Sunday: 13 Mac 2022 HARI NI KAMI ke York pula. Asalnya nak cari carboot tapi memandangkan masih lagi dalam bulan musim sejuk, belum ada…

KNARESBOROUGH PEKAN FAIRY TALE

Sabtu: 12 Mac 2022 HARI NI KAMI ke Knaresborough. Tempat ni lebih kurang 70 batu jauhnya dari Hull. Jadi, pagi lepas sarapan, kami pun…

PERJALANAN KE HULL

Jumaat: 11 Mac 2022 JAM 6AM, KAMI dah sedia nak keluar heret beg ke stesen kereta api King Cross. Pembantu hotel kata, tak perlu buat…