HELLO GLASGOW!

Share this article

Selasa: 15 Mac 2022

INILAH TEMPAT JATUH bangun selama 5 tahun. Banyak kenangan pahit manis di sini. Bandar yang menyatukan kami yang ke sini berjuang demi untuk menimba ilmu. Macam aku cakap semalamlah, di sinilah air mata jatuh berbucket-bucket.

Pagi ni selepas alas perut dengan teh dan kopi dalam bilik, kami keluar. Hari ni memang cuma nak jalan-jalan di bandar Glasgow saja. Tak mahu ke mana-mana dulu. Kami singgah di Tesco Express. Macam biasa cari sarapan ringkas dulu. Sandwich la apa lagi. Shopping area ni memang tempat kami main selalu. Kalau tak di Sauchiehall kami ke Argyle Street dan kawasan sekitar.

Masa kami ke bandar, banyak kedai belum buka lagi. Rasa sedih juga bila lihat banyak kedai-kedai tempat kami selalu keluar masuk dulu dah tutup. Ekonomi yang merudum kemudian PKP, menyebabkan banyak kedai-kedai ‘marhaen’ sudah tak ada lagi. Nasib baik kedai Primark masih boleh bertahan.

Macam biasa Atok teringin nak masuk Sports Direct, jadi temankan dia ajelah. Sports Direct di Sauchiehall ni pun dah nak tutup, jadi dia buat jualan murah. Seronok tengok harga barang hahaha. Atok aim seluar Adidas. Beli ajelah.

Lepas tu masuk pula Primark dan TKMAXX. Aku cakap aku cuma nak tengok-tengok aje sebab nanti kalau nak membeli pun aku akan beli masa nak balik aje. Lagipun duit refund Easy Hotel Liverpool tu belum masuk lagi. Aku strict sikit dalam bab belanja untuk diri sendiri ni.

Kami jalan terus keluar masuk kedai kemudian belok untuk lepak di George Square. Makan roti yang kami beli dan bagi burung merpati makan. Burung-burung merpati kat sini memang jinak tapi susah nak tangkap. Atok buat kerja gila, sambil bagi burung makan, dia tangkap pula. Dah jadi pigeon man pulak dah…

Sambil Atok bagi makan burung, aku sempat juga book tiket bas untuk ke Edinburgh esok. Asalnya aku nak tempah kereta api, tapi ya ampun, harganya mahal pulak. Pilihan kedua naik baslah jawabnya. Itupun aku berkira-kira nak ke Edinburgh atau ke Sterling. Tapi memandangkan Edinburgh lagi meriah, aku fikir baiklah ke sana. Lagipun aku rindu nasi biryani Masjid Edinburgh hahaha.

kali ni aku nak melawat alma mater aku, University of Strathclyde. Memang dah banyak bangunan baharu di sini. Bangunan perpustakaan pun semakin besar. Aku beritahu Atok kat sinilah aku selesaikan semua kerja-kerja haram aku, mengedit tesis PhD sedangkan aku undergrad, terjemahkan dua buku fiksyen dan menulis dua buku aku di sini.

Aku tengok jalan untuk pejalan kaki dah makin sempit sebab banyak bangunan besar-besar kiri kanan. University of Strathclyde tengah banyak duit kut, dapat grant. Aku tunjuk juga bangunan lama Charles Oakley Building, City of Glasgow College, tempat kat mana aku mencuci 5 hari seminggu dari jam 6am sampai 9am. Lepas mencuci terus lari ke universiti untuk lecture pagi.

Tunjuk juga Strathclyde University Muslim Students Association (SUMSA) yang dibangunkan oleh pelajar-pelajar Islam dari Asia Tenggara (Malaysia dan Indonesia majority). Kat bangunan ni juga letaknya masjid untuk solat jemaah 5 waktu, solat Jumaat dan solat raya. Alhamdulillah SUMSA terus kuat dan kali ini diambil alih pula oleh jemaah dari Pakistan dan Arab.

Dari Cathedral Street kami terus ke Glasgow Cathedral bergambar di luar dan ke St Mungo pula. Ni tempat wajib untuk bergambar di Glasgow hahaha. Dari situ kami menyusur pula di High Street turun terus jalan dan belok masuk ke Ingram Street dan ambil gambar di Equestrian Statue of Duke of Wellington depan bangunan GOMA (Gallery of Modern Art).

Dah jadi tradisi di sini Duke of Wellington ni akan dipakaikan kon merah di kepalanya. Dulu rajin jugalah pekerja majlis bawak turun kon tu tapi tak lama, adalah manusia yang akan letak balik kon tu kat kepala Duke. Tapi, kali ni lagi best, ada dua kon terus kat situ. Yang merah tu memang wajib, tapi ada kon knitted warna kuning biru, siap ada bunga pula kat situ. Kelasss!

Patung Duke of Wellington memang ikon Glasgow dengan kon atas kepala. Tahun ni special sikit sebab ada 2 kon. Duke pakai kon knitted, kuda pakai kon merah pulak

Kami terus berjalan ke Argyle Street sebab nak cari makan pula. Dah petang ni perut pun lapar lagi. Kami ni menyusur sana sini keluar masuk kedai sebenarnya. Saja suka-suka cuci mata. Kedai wajib aku mestilah Primark dengan TKMAXX. Tu yang sampai kat Argyle pun aku mencari kedai-kedai ni.

Banyak kedai halal yang jadi tempat favourite kami dah tutup macam Best Kebab. Inilah kedai wajib sekurang-kurangnya sekali untuk setiap student Muslim di Strathclyde University atau Glasgow College sebab ini paling dekat dengan kami.

Aku nak cari kedai Baguette Express pun dah tak ada. Masa zamannya baguette dia sedap. Memang selalu kami beli kat sini dulu. Aku boleh eksyen sikitlah sebab aku kerja cleaner kan jadi gaji pun dalam GBP. Bolehlah nak makan mewah sikit.

Dah jalan-jalan mencari tu, akhirnya kami jumpa jugalah satu kedai kedai halal.

Wraps 4 U  220 Argyle St, Glasgow G2 8HA, United KingdomFloor G, Glasgow Central Station.

Atok pilih beli mi goreng ayam hahaha. Tak kisahlah asalkan kenyang. Borak juga dengan owner dia beritahu aku dulu pernah belajar di sini circa 2006-2010 dan stay hingga 2011. Dia kata dia buka kedai dia dah 7 tahun. Memang tak sempatlah.

Dengan bungkusan makanan di tangan, kami pun jalan kaki balik ke hotel.

Di Glasgow ni memang kami light and easy aje. Aku memang nak lepak aje. Atok pun kata dia dah tak kisah nak pergi mana pun. Kami nak rest aje sebab esok pagi kami nak ke Edinburgh pula.

You might also enjoy