DAH TONTON PASKAL: THE MOVIE?

Share this article

AKU TAK TENGOK cerita Melayu laa…

Agak-agak berapa kali kita dengar kawan-kawan kita cakap macam ni? Kadang-kadang kita pun bersalah juga. Tak mahu menonton cerita Melayu. Alasan… Geli.

Yep, aku pun sama. Sangat jarang menonton cerita Melayu. Boleh dikira dengan jari berapa kali aku menonton wayang cerita Melayu. Terakhir yang aku tonton, Hantu Kak Limah.

Jadi bila filem PASKAL: THE MOVIE keluar, awalnya ia langsung tak menarik minat aku. Dalam minda sudah terbayang siri polis Gerak Khas arahan Yusof Haslam. Tak pun Polis Evo yang juga aku tak ada feel kalau nak menonton di panggung. Ah! Tunggu ajelah keluar Astro masa cuti Raya.

Tapi, aku perlu kata bahawa selepas menonton promo di YouTube, aku dah mula rasa teruja nak menontonnya di panggung. Selepas beberapa kekangan akhirnya berjaya juga aku menonton filem ni.

Jadi, betul ke PASKAL: THE MOVIE filem wajib tonton tahun 2018?

Taklah, tak jatuh dosa kalau tak tonton filem PASKAL: THE MOVIE ni. Cuma kalau korang sejenis kaki wayang yang dah tak larat dengan filem genre hantu atau cintan cintun, mungkin benarlah filem ni filem yang memang korang kena tonton.

Dengan bajet RM10 juta, pengarah Adrien Teh, kiranya berjaya jugalah melakukan sesuatu yang berbeza untuk memenuhi ruang kosong dalam industri perfileman Malaysia. Satu percubaan yang mendatangkan hasil.

Sekurang-kurangnya filem ini, seperti yang tertulis di awal babak, adalah berdasarkan beberapa kejadian sebenar. Antaranya, Misi Pengaman PBB di Angola pada 1998 dan misi merampas kapal dagang MT Bunga Laurel daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.

Sebelum itu kena faham dahulu, ini filem aksi, maka, tak berapa banyak sangat main emosi atau drama. Malah, babak cinta pun cuma err.. sebabak aje, antara Joshua dengan Lily. Secara ringkas, ini filem lelaki yang penuh dengan testosterone.

Kalau kita nak jadi picky reviewer, mungkin kita boleh komen tentang watak ibu Arman. Ramai yang kata watak ini tak consistent. Dari segi pemakaian dan penampilan. Pada awal ibu Arman mahu dilihat sebagai orang tua yang kekampungan, namun selari dengan progres plot, ibunya boleh berubah menjadi sangat moden.

Dan makcik, orang Islam jarang sangat-sangat beli tanah kubur. Itu termasuk dalam fardu kifayah. Jadi terasa sangat ralat apabila beliau asyik menyebut untuk beli tanah kubur.

Begitu juga dengan peranti yang digunakan dalam filem ini. Baru kita tahu bahawa TLDM mempunyai kapal selam yang berfungsi, dan bukan saja duduk atas darat jadi muzium macam di Klebang, Melaka.

Oh ye, peranti. Kita juga perlu mengingatkan Kementerian Pertahanan perlu membuat penambahbaikan dalam fasiliti anggota tentera kita. Latihan yang baik tidak cukup untuk anggota keselamatan menjaga keselamatan perairan, udara dan tanah tumpah darah kita. Kita, perlu berbelanja besar untuk menggantikan peralatan yang ketinggalan zaman.

Contohnya, gajet komunikasi yang digunakan oleh Arman dan pasukannya untuk memerangkap lanun dan Jeb. Adoi besarnya earpiece. Macam cyst telinga pula aku tengok. Perlu ke aku panggil Dr Sandra Popper untuk pop ketumbuhan hitam di telinga itu?

Sama juga dengan telefon bimbit Nokia yang digunakan oleh Arman untuk berkomunikasi dengan ibunya. Nokia 3310 ke tu?

Kelihatannya remeh namun, perkara kecil-kecil sebegini boleh menghilangkan sedikit mood penonton.

Namun, secara keseluruhan dari segi komitmen aktor, memang aku salute. Mereka begitu komited untuk memastikan mereka membawa watak sebagai anggota PASKAL dengan baik. Sanggup membuat latihan sebenar, belajar menyelam dan angkat berat demi untuk kelihatan sado dalam filem. Memang berbaloi.

Pengarah juga banyak belajar teknik dari Hollywood, dari segi kamera dan menggunakan drone untuk eagle-eyes shots. Juga, skor muzik yang mampu memainkan perasaan suspens penonton.

Watak antoganis dan protagonis juga seiring. Masing-masing mempunyai kekuatan sendiri. Ada dialog-dialog yang membuatkan kita berfikir kembali, adakah menghantar pasukan keselamatan kita sebagai pemantau UN itu berbaloi? Persoalan itu banyak diutarakan oleh watak Jeb.

Begitu juga dengan dialog-dialog selamba yang membuatkan penonton relaks. Jarang sangat keluar dialog bahasa Melayu tinggi. Keselambaaan inilah yang mewarnakan lagi filem PASKAL: THE MOVIE.

Mungkin kita perlu lagi pengarah berbangsa lain untuk mengarahkan filem Melayu yang berkualiti. Maksud aku bukan Michael Ang. Tapi, pengarah filem seperti Chiu Keng Guan yang mengarahkan Ola Bola.

Kita ketandusan filem yang benar-benar memaparkan kehidupan rakyat Malaysia seperti ini. Sudah-sudahlah dengan filem cinta, walaupun filem PULANG itu pun dianggap masterpiece. Kepelbagaian genre filem yang begini yang kita mahu.

Diharap semakin kuranglah penonton filem yang akan menjawab, “Aku tak tonton filem Melayu, tunggu je nanti keluar Astro time Raya.”

PASKAL: THE MOVIE dibintangi oleh Hairul Azreen, Ammar Alfian, Hafizul Kamal, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Henley Hii Jasmine Suraya Chin dan ramai lagi.

#paskal #filemmelayu #filemaksi #paskalthemovie #HairulAzreen, #AmmarAlfian, #HafizulKamal, #TaufiqHanafi, #GambitSaifullah, #HenleyHii #JasmineSurayaChin

You might also enjoy